Pokok Kapal Terbang

Pokok kapal terbang merupakan  herba yang mempunyai banyak khasiat dalam perubatan tradisional. Pengamal perubatan banyak menggunakan tumbuhan ini  untuk merawat luka, jangkitan pada kulit, menghentikan pendarahan. Rasanya amat pahit. Peringkat awal, dikenali kerana rumpainya berbahaya dan beracun terutama pokok kapal terbang yang muda. Bahan kimia daripada daun ini boleh menyebabkan keracunan dalam jangka pendek dan boleh juga menyebabkan kanser hati dalam jangka panjang. Akan tetapi, kajian berterusan menemukan nilai perubatan yang tinggi. 

Klasifikasi

Family: Asteraceae

Genus: Chromolaena

Species: Odorata 

Nama Saintifik

Chromolaena odorata

Nama lain

Kapal terbang (Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Pahang), panca alam (Pahang), pokok Jerman.

habitat

Pokok kapal terbang boleh dijumpa di pinggir hutan dan kawasan terbuka. Herba ini telah beradaptasi di semenanjung Malaysia dan dipercayai berasal dari kawasan tropika Amerika.

sifat

Pokok kapal terbang tumbuh secara menegak dan memanjat. Ia mempunyai batang yang berbentuk silinder hingga bersegi dengan garis memanjang. Ranting sentiasa bercabang secara mendatar, bersifat pubesen dan diliputi bulu0bulu yang lembut. 

Daunnya tersusun secara setentang, berbentuk ovat, hujung daun berbentuk hampir akut, tepi daun jenis serat, lebih padat pada permukaan bawah terutama pada urat. 

Jambak bunga berkelompok pada sisi, menghasilkan buah berwarna hitam perang .

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Pokok kapal terbang menghasilkan banyak bunga yang berwarna putih
Pokok kapal dikatakan beracun

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian yang dijalankan menunjukkan kehadiran bahan fitokimia phenols yang mempunyai sifat anti oksidan yang tinggi. Kandungan alkaloid ditemui pada ekstrak daun.

Pokok kapal tebang mempunyai aktiviti anti-bakteria, anti-protozoa, anti-fungal, anti-hipertensi, anti-radang, diuretik, hepatotropic, anti-kanser. Aktiviti anti radang yang tinggi dalam tumbuhan ini menunjukkan kesan penyembuhan luka yang cepat berlaku. Anti-radang yang berlaku boleh menghalang pembentukan bahan radikel bebas yang berpotensi untuk menghasilkan sel kanser.

Analisis dilakukan ke atas luka yang dirawat menggunakan pokok kapal terbang meningkatkan sintesis kalogen, yang membolehkan luka cepat sembuh.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloids, tannis, flavanoids, phenols, saponin, asid organik

Farmakologi Tradisional Pokok Kapal Terbang

Di Vietnam, pokok kapal terbang digunakan untuk rawatan gigitan pacat, jangkitan kulit, ruam, diabetes dan penghalau serangga. Daunnya selalu digunakan untuk menghentikan pendarahan dan menyembuhkan luka.

Eupolin merupakan produk yang dihasilkan dan mendapat lesen dari kerajaan Vietnam bagi tujuan rawatan kecederaan tisu. Rebusan akar digunakan sebagai remedi bagi anti-piretik, analgesik. Ekstrak daun kapal terbang dengan garam digunakan sebagai kumuran untuk sakit tekak dan selsema. 

Di Malaysia, ia digunakan untuk meredakan kembung perut, gatal kulit dan cirit birit pada bayi. Digunakan juga untuk mengurangkan jerawat, meredakan bengkak, merawat kecacingan, kayap, kudis, meredakan demam panas, mandian bagi ibu selepas bersalin, menjarakkan kehamilan, ramuan minyak urut, merawat buasir dan mengawal aras glukosa di dalam darah.

Cara guna (perubatan traditional)

Mengurangkan jerawat

Daun kapal terbang dicampurkan bersama dengan dukung anak dan bawang merah. Ramuan dibasuh bersih dan direbus sehingga mendidih. Letakkan di dalam besen dan wapkan pada bahagian muka (Kedah).

Meredakan bengkak

Segenggam daun kapal terbang ditumbuk sehingga lumat, ditampal dan dibalut dengan kain. Kemudian ditungku dan dituam pada tempat yang bengkak (Terengganu).

Melegakan sakit lutut

Tumbuk daun kapal terbang, ibu kunyit dan halia merah bersama dengan sedikit kapur, beras dan air. Balut pada tempat yang sakit (Terengganu).

Melegakan kembung perut

Keseluruhan pokok kapal terbang dicincang halus dan direbus. Air rebusan diminum satu sudu teh (Kedah).

Merawat kecacingan

Akar kapal terbang yang segar ditambah dengan sedikit garam dan direbus. Air rebusan diminum dua kali sehari pada waktu pagi dan waktu malam hingga sembuh (Kedah).

Merawat kayap

Lima helai daun kapal terbang dicampurkan dengan secalit kapur. Sediaan disapukan pada tempat yang terkena kayap pada waktu pagi selama tiga hari berturut turut (Selangor).

Merawat kudis

Daun kapal terbang diupar dengan sedikit kapur hingga mengeluarkan lendir. Lendir disapukan pada kudis sekali sehari atau sediaan ditempelkan pada kudis dua kali sehari selepas mandi (Kedah).

Kesan sampingan

Mempunyai kesan sampingan seperti mual, pening kepala, sakit perut, muntah disebabkan kandungan pyrolizidin yang tinggi terutama pokok muda (Hellodoktor.com).

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top