Beka

Pokok herba yang mempunyai banyak manfaat khususnya dalam penggunaan masyarakat Melayu. Pokok Beka digunakan untuk pelbagai jenis rawatan seperti asma, bronchitis, diarrhea, luka dan banyak lagi. Banyak negara selain Malaysia seperti China, Vietnam dan Thailand menjadikannya sebagai tumbuhan utama dalam rawatan. Ia mempunyaikan banyak kandungan bahan aktif yang menyebabkan memberi kelebihan kepada aktiviti anti microbial, anti radang, anti diabetes. Lebih menarik, hasil kajian terkini menunjukkan pokok beka digunakan dalam rawatan jangkitan akibat COVID 19.

Klasifikasi

Family: Bignoniaceae

Genus:  Oroxylum

Species: Indicum (L.) Kurz

Nama Saintifik

Oroxylum indicum (L.) Kurz

Nama lain

Beko (Kedah), beka (Kedah, Perak, Terengganu), boli (Pahang), beka kampung, merkulai, merulia, merlai, bonglai kayu, berak, bikir, bikir hangkap

habitat

Pokok yang biasanya dijumpai di kawasan tropika dan subtropika dengan altitud rendah seperti di kawasan hutan terbuka, tepi jalan dan lereng bukit.

sifat

Ketinggian pokok beka boleh mencapai sehingga 6-10 m. Batang pokok bewarna kelabu keperangan.

Daunnya majmuk dan jenis pinat iaitu 2-4 kali pinat, anak daun berbentuk segi tiga-ovat, permukaan glabrus, bertukar menjadi kebiruan apabila kering, pangkal daun berbentuk hampir bulat, serong, tepi daun licin,  dan hujung daun berbentuk akuminaat pendek.

Mempunyai jambak bunga panjang iaitu 40-150 cm. Bunganya kembang pada sebelah malam dan berbau busuk. Buah pokok beka jenis kapsu; berkayu, berbentuk leper dan panjang seperti parang. Biji berbentuk bundar dan mempunyai sayap kekertas.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji

beka mempunyai banyak khasiat
Pokok Beka menghasilkan buah yang panjang

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian yang menemukan bahan aktif dalam pokok beka seperti alkaloids dan flavanoids mampu menentang jangkitan mikrobial, kanser, hepatic, gastrointestinal.  Model pre-klinikal yang dijalankan melalui in vivo dan in vitro berguna sebagai rawatan bagi obesiti dan menyembuhkan luka. Ia mempunyai tindakan anti oksidan, anti radang, aktiviti analgesik, anti alergik. Kandungan bahan aktif pokok beka banyak ditemui di bahagian ekstrak akar, batang dan biji.

Kajian terkini menunjukkan pokok ini digunakan dalam ujian untuk menentang jangkitan Covid 19. Data membuktikan ia mampu menghalang pertumbuhan virus covid 19 disebabkan kehadiran baircalein. Ia mengurangkan kesan daripada jangkitan Covid 19.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloids, flavanoids, tannins, sterols, phenols, baircalein dan saponins

Farmakologi Tradisional Beka

Dalam rawatan tradisional, pokok beka digunakan untuk merawat kulit melecur, melegakan sakit sendi dan badan, membuang angin dalam badan, merawat sakit usus, merawat kecacingan, meredakan demam panas, ramuan minyak urut, mengawal aras glukosa dalam darah dan rawatan komplemen kepada masalah buah pinggang.

Di Thailand, batang pokok beka digunakan untuk membunuh ulat pada haiwan. Kulit akar biasa digunakan bersama minyak bijan bagi tujuan membantu sistem pencernaan.  Di India, pokok beka digunakan bagi merawat kanser nasopharyngeal dan tuberkulosis, diarrhea dan rheumatism. Serbuk dari biji pokok beka disapu pada bahagian leher bagi mengurangkan penyakit tonsil.

Di Malaysia, ia selalu digunakan bagi merawat sakit gigi, taun, demam dan kurang selera makan.  Di Vietnam, biji pokok beka digunakan untuk merawat bronkitis, batuk dan gastrik. Masyarakat di negara China menggunakan biji untuk merawat ulser, luka, dan sakit perut.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat kulit melecur

Kulit batang pokok beka ditumbuk dan ditempelkan pada bahagian yang melecur. Digunakan tiga kali sehari dan diamalkan sehingga sembuh.

Melegakan sakit sendi

Sejengkal kulit pokok beka direbus bersama-sama kulit halban dan keseluruhan bahagian rempah padang menggunakan 2 liter air sehingga susut menjadi ½ liter air. Air rebusan dijadikan minuman dua kali sehari pada waktu pagi sebelum sarapan dan pada waktu malam selepas makan malam (Perak)

Merawat muntah darah

Pucuk beka dimakan sebagai ulam dan diamalkan sehingga sembuh

Merawat kecacingan

Kulit batang pokok beka diasah menggunakan belakang periuk tanah kemudian dicampurkan dengan sedikit air. Sedian disapukan pada pperut setiap malam sehingga sembuh.

Ramuan minyak urut

Segenggam campuran kulit kayu beka dan kulit kayu halban yang panjangnya sejengkal dimasak dengan minyak sehingga ramuan menjadi hitam dan garing menggunakan periuk tanah.

Mengawal aras glukosa dalam darah

Akar beka besama-sama keranci, gambir, belimbing tanah perlu dibersihkan, diambil seinici bagi setiap ramuan, dan direbuskan sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman dua kali sehari pada waktu pagi dan malam (Kedah)

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top