Hempedu Bumi

Pokok yang selalu digunakan untuk pelbagai jenis rawatan tradisional. Di Asia, kebanyakkan penggunaannya bagi merawat masalah usus, jangkitan pernafasan. Pokok ini mempunyai potensi yang besar dalam merawat jangkitan disebabkan oleh Human immunodeficiency virus (HIV) dan juga sebagai rawatan kanser.  Hempedu bumi mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ramai menggunakan herba ini untuk merawat masalah berkaitan penghadaman, pernafasan, demam, batuk dan penyakit berjangkit.

Klasifikasi

Family: Acanthaceae

Genus: Andrographis

Species: Paniculata

Nama Saintifik

Andrographis paniculata

Nama lain

King of bitter, pokok cerita (Malaysia), akar cerita, hempedu tanah

Habitat

Ia berasal dariapada Asia tenggara, china dan India. Mempunyai keupayaan pembiakan yang tinggi yang menjadikan tumbuhan ini sebagai tumbuhan musuh di beberapa tempat. Tumbuh meliar  di kawasan tanah terbuka dan kawasan yang ditumbuhi rumput dan lalang.

Sifat

Pokok hempedu bumi mempunyai jangka hayat yang pendek sekitar setahun dan mampu tumbuhan sehingga 80 cm. Ia tumbuh menegak, pokoknya yang bercabang, mempunyai batang hijau gelap dan daunnya berukuran antara 2 ke 5 mm diameternya.

Batang yang berbentuk segi empat dan memiliki banyak dahan. Susunan daunnya ringkas, licin dan bewarna hijau. Daun tersusun secara ‘decussate’ di mana ia berpasangan secara bertentangan.

Cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Hempedu bumi mempunyai rasa sangat pahit
Juga dikenali sebagai King of Bitter

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian klinikal dan bukan klinikal daun hempedu bumi dilakukan ke atas manusia dan haiwan membukti ia boleh membantu merawat penyakit malaria, anti thrombosis ( masalah darah beku ), diabetes dan kanser.

Laporan Research Journal of Pharmacy and Technology pada tahun 2019, menyatakan hempedu bumi mengadungi komponen seperti Lakton diterpenoid, Flavonoid dan lain-lain yang membantu dalam penciptaan ubatan-ubatan untuk pelbagai penyakit.

Menurut kajian Natural Small Molecule Drugs from Plants pada tahun 2018, komponen yang ada pada hempedu bumi seperti Andrographolide mampu mengubati demam disebabkan oleh bakteria sebagai contoh Pneumococcus dan hemolitik Streptococcus mutans.

Berdasarkan Prospects in Conservation of Medicinal Plants pada tahun 2019, telah menjelaskan bahawa antara salah satu kegunaan daun hempedu bumi adalah untuk penyakit usus seperti keradangan yang menyebabkan sakit perut.

Sementara itu, daunnya juga boleh mengubati selesema yang terjadi gara-gara dijangkiti virus influenza yang mengganggu saluran pernafasan.

Bersumberkan kajian daripada Archives of Virology pada tahun 2016, Andrographolide dan pelbagai turunannya berpotensi menghalang H9N2, H5N1 dan H1N1.

Malahan, terdapat beberapa bukti saintifik bahawa hempedu bumi membantu melindungi daripada jangkitan pernafasan seperti selesema dan mengurangkan kesan jangkitan.

Berdasarkan kajian klinikal Indian Journal of Pharmaceutical Education and Research pada tahun 2020 menunjukkan bahawa daun hempedu bumi mempunyai sifat tertentu yang mengekalkan enzim fungsi hati

Ingredien Aktif

Mengandungi flavonoids, andrographolide, diterpenoid

Farmakologi Tradisional Hempedu Bumi

Amalan perubatan tradisional menggunakan hempedu bumi sebagai analgesik di mana berfungsi untuk mengurangkan rasa sakit, penghadaman, kencing manis, demam, jangkitan cacing, julap, penyakit kulit ( terbakar, luka dan ulser ).

Turut digunakan bagi merawat sakit perut, kembung perut, mengeluarkan kahak, merawat gigitan ular di samping bagi masalah kitarana haid yang tidak teratur.

Bagi masyarakat Melayu, mereka menggunakan air rebusan hempedu bumi untuk merawat luka, cirit birit, gigitan serangga dan mengatasi masalah cacing dalam perut. Kegunaan yang meluas termasuklah dalam rawatan darah tinggi. Air rebusan yang pahit dipercayai membantu dalam memecahkan molekul lemak yang menyebabkan penyumbatan saluran darah. Ini sekaligus digunakan dalam rawatan sakit jantung.

Di Indonesia ia dijadikan sebagai jamu malahan terdapat suplemen yang dibuat dari ekstrak hempedu bumi ini.

Cara guna (perubatan traditional)

Rawatan sakit perut, darah tinggi

Daun hempedu bumi direbus sehingga 1/3. Hasil air rebusan diminum secara berkala bagi rawatan sakit perut, darah tinggi.

Rawatan sakit gigitan serangga dan ular

Daun perlu ditumbuk sehingga lumat dan disapukan di bahagian yang terkana gigitan serangga.

Kesan sampingan

Mempunyai kesan sampingan seperti rasa tidak selesa dalam perut, muntah dan hilang selera makan. Hempedu tidak sesuai diambil oleh ibu yang  mengandung dan sedang menyusukan bayi. Bagi kanak-kanak, perlu mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top