Lidah Buaya

Lidah buaya telah digunakan sebagai ubatan tradisional untuk melegakan luka, ruam, demam, gatal-gatal, kulit dan banyak lagi. Selain itu, pokok herba ini juga sangat terkenal dalam industri kosmetik dan produk kesihatan. Walau bagaimanapun, ia masih kurang ditanam secara komersial di Malaysia. Spesis ini juga menarik sebagai tanaman hiasan. Selain sebagai bahan utama dalam kecantikan, Ia juga dikatakan bermanfaat untuk kesihatan seperti mampu melambatkan serangan virus HIV kepada sel sihat, memperbaiki sistem pencernaan, bersifat antiseptik dan antibiotik semula jadi.  

Klasifikasi

Family :  Liliaceae

Genus : Aloe

Species : vera

Nama Saintifik

Aloe vera (L.) Burm.f.

Nama lain

Lidah buaya, Aloe vera

habitat

Di Semenanjung Malaysia, biasanya ditemui di kawasan hutan sekunder, pinggir hutan, atau kawasan rumah.

sifat

Aloe vera adalah merupakan tumbuhan yang mempunyai banyak kandungan air dan juga
tumbuhan yang boleh hidup lama dan boleh mencapai ketinggian sehingga 45-50 cm . Daunnya
berwarna hijau muda dengan susunan roset dan berisi pejal .

Daunnya berbentuk lansolat, glabrus dan mempunyai tepi daun yang berduri, pangkal daunnya bersusun dalam bentuk sarung dengan tepi daunnya berduri. Urat daun tidak kelihatan dan daunnya berbentuk memanjang dan berfungsi sebagai batang.

Tangkai bunganya boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m panjang
dengan penghujung tangkainya membentuk bunga yang berwarna merah kekuningan secara
berjambak

cara pembiakan

Batang dan akar

Lidah buaya mampu merawat luka
Lidah buaya mampu mengawal kandungan gula

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian terkini mendapati lidah buaya mengandungi glikoprotein yang mempunyai kesan anti alergik yang dipanggil sebagai alprogen dan sebatian anti keradangan iaitu C-glukosil kromon yang telah dijadikan sebagai jel.

Ia turut mengandungi 12 anthraquinones, sebatian fenolik yang digunakan sebagai ubat julap. Aloin dan emodin bertindak sebagai analgesik, anti bakteria dan anti virus.

Selain itu, terdapat empat jenis steroid iaitu kolesterol, kampesterol, B-sisoterol dan lupeol dalam lidah buaya. Keempat-empat steroid tumbuhan ini memberikan kesan anti keradangan dan lupeol menghasilkan kesan antiseptik dan kesan analgesik. Di sampung itu, auxin dan gibberellins merupakan dua hormon dalam lidah buaya yang membantu menyembuhkan luka dan kesan anti keradangan.

Ia mengandungi asid salisilik yang memberikan kesan anti keradangan dan anti bakteria. Lignin, bahan yang memberikan kesan penyerapan ke dalam kulit. Saponin pula bahan mempunyai kesan pembersihan dan kesan antiseptik.

Lidah buaya mengandungi enam agent antiseptik seperti lupeol, asid salisilik, nitrogen, asid cinnamonik, fenol dan sulfur. Kesemua ini menghasilkan kesan dalam menghalang virus, bakteria dan kulat daripada terhasil.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti sebatian fenolik, alkaloid, steroid, lupeol, asid salisilik, nitrogen, asid cinnamonik, fenol dan sulfur.

Farmakologi Tradisional Lidah Buaya

Lidah buaya telah digunakan untuk tujuan perubatan sejak zaman dahulu di negara Mesir, India, Mexico, Jepun dan China. Menariknya pada zaman dahulu, puteri-puteri di Mesir telah menggunakan lidah buaya sebagai produk kecantikan sehingga lidah buaya dipanggil sebagai tumbuhan yang kekal abadi.

Dari segi farmakologi, ia  turut digunakan untuk mengawal paras gula dalam darah. Ini kerana lidah buaya meningkatkan tahap sensitiviti insulin dan mengawal paras gula dalam darah daripada meningkat secara mendadak.

Lidah buaya merupakan tumbuhan yang mempunyai kesan perubatan. Sebagai contoh, ia disapu pada kulit untuk merawat dan melicinkan kulit, dilumur pada kulit kepala untuk menyihatkan kulit kepada, disapu pada rambut untuk menjadikan rambut lurus dan berkilat serta digunakan untuk menguatkan gusi.

Ia buaya bukan sahaja meningkatkan kandungan kolagen pada bahagian yang luka tetapi merubah komposisi kolagen dan meningkatkan penghubung silang kolagen. Ini akan mempercepatkan pengecutan luka dan meningkatkan kekuatan tisu parut yang terhasil.

Cara guna (perubatan traditional)

Menghilangkan parut

Ambil daun lidah buaya dan keluarkan gelnya. Kemudian campur dengan air lemon. Blend kedua jenis bahan ini. Jadikan ia seperti masker dan sapu pada wajah setiap malam sebelum tidur dan cuci dengan air bersih keesokan harinya. 

Perapian rambut

Campurkan gel lidah buaya dengan bahan lain seperti madu atau minyak zaitun untuk membuat masker rambut. Aplikasikan pada rambut dan kulit kepala, kemudian biarkan selama 30 menit sebelum dibilas.

Merawat jerawat

Cara 1

Ambil daun lidah buaya yang fresh dan keluarkan gelnya. Kemudian sapukan pada bahagian yang ada jerawat. Buat untuk dua kali sehari selama seminggu. 

Cara 2

Gel lidah buaya, madu, kunyit, susu dan beberapa titis air mawar. Campurkan kesemuanya dan jadikan ia sebagai lotion pada kulit yang berjerawat. Biarkan selama 15-20 minit dan bersihkan dengan air.

Kesan sampingan

Terdapat juga kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan tambahan daripada lidah buaya dalam tempoh masa yang panjang telah menyebabkan kerosakan pada hati. (Root of Science)

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top