pokok bayam duri

Penggunaan tumbuhan herba dalam rawatan pelbagai jenis penyakit sudah diamalkan daripada generasi terdahulu. Pokok bayam duri antaranya mempunyai pelbagai jenis khasiat kepada kesihatan antaranya antimikrobial, anti oksidan, anti diabetik, anti tumor, anti radang dan banyak lagi. Kajian daripada pelbagai sumber penyelidikan menemui pelbagai jenis bahan aktif yang wujud secara semula jadi di dalam pokok bayam duri seperti alkaloids dan flavanoids. Nilai perubatan tradisional yang tinggi menjadikan pokok bayam duri sebagai pilihan untuk digunakan bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

Klasifikasi

Family: Amaranthaceae

Genus: Amaranthus

Species: Spinosus L.

Nama Saintifik

Amaranthus spinosus L.

Nama lain

Bayam duri (Kedah, Pahang, Pulau Pinang), bayam berduri (Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan), bayam hutan

habitat

Tumbuhan yang sering ditemui di kawasan sampah sarap, kebanyakkannya ditanam dan boleh dimakan

sifat

Mempunyai ketinggian pokok mencapai sehingga 130 cm. Batang pokoknya mempunyai banyak cabang, berbentuk teret, permukaan glabrus dan sedikit pubesen. Batang berwarna hijau atau ungu dan mempunyai duri berbentuk tirus yang tumbuh dari aksilari daun.

 

Daun pokok bayam duri jenis ringkas, tersusun berselang, berbentuk ovat, tepi daunnya licin. Tangkal daun mempunyai panjang yang sama dengan helai daun.

Jambak bunga jenis spika. Bunganya berwarna hijau. Buah bagi pokok ini berbentuk oblong dan mempunyai biji berwarna hitam berkilat atau hitam perang.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Pokok bayam berduri

Penemuan dan Kajian Saintifik/Akademik

Daun dan batang pokok bayam duri mengandungi alkane, sterols, protein dan campuran saponins seperti oleanolic acid dan D-glucuronic acid. Bahagian akar pokok juga mengandungi banyak kandungan aktif yang berbeza seperti octacosanoate, campesterol, stearic, oleic acid, quercitin dan rutin.

Menurut kajian Medicinal Plants Database of Bangladesh, pokok bayam duri mempunyai banyak aktiviti perubatan seperti antipyretic, diuretik, anti diabetes, analgesik. Laporan menyatakan ekstrak pokok bayam duri bertindak bagi menghalang biosintesis prostaglandin.

Pokok ini mempunyai kepekatan bahan anti-oksidan yang tinggi. Ia penting bagi menghalang pembentukan sel kanser.  Kehadiran flavanoids dalam bayam duri menghalang aktiviti keradangan ke atas sel.

Kajian Jabatan Bioteknologi ( Thanthai Hans Roever College ), menujukkan pokok ini boleh menghalang percambahan sel dan mendorong apoptosis ( kematian sel secara semula jadi ) dalam kanser  payu dara, kolorektal dan hati.

Ingredien Aktif

 

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, spinoside, lectins, betacyannins, phenols, saponins.

Perubatan Etno (Etnomedicine)

Dalam rawatan tradisional, air rebusan pokok bayam duri digunakan untuk merawat sakit gigi. Di China, ia digunakan untuk merawat diabetes, pendarahan dalaman, cirit-birit dan kitaran haid yang berlebihan. Bahagian akar pokok untuk merawat gonorrhoea dan bijinya untuk merawat tulang patah.

Di Bangladesh, seluruh bahagian pokok bayam duri digunakan rawatan malaria. Akar pokok digunakan untuk merawat luka. Ekstrak akar diambil dua sudu, dua kali sehari untuk merawat perempuan mengandung yang mengalami masalah diarrhoea. Akar pokok bayam duri diamalkan oleh masyarakat Bangladesh untuk merawat rasa pedih sewaktu membuang air kecil.

Di India, daun pokok bayam duri digunakan untuk merawat sakit rheumatic, sakit perut, ekzema, gastroenteritis, radang pundi kencing, gigitan ular, arthritis.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat kayap

Segenggam ramuan bagi semua bahan terdiri daripada akar bayam duri, akar pokok bunga melur, akar pokok bunga raya putih dan akar mertajam dibersihkan dan diasah. Dicampurkan dengan sedikit air. Sediaan disapu di bahagian kayap sehingga sembuh

Merawat sawan

Bayam duri direbus bersama-sama ibu kunyit dan air rebusan dijadikan sebagai mandian. Setiap rebusan digunakan sekali sahaja.

Meredakan bengkak

Beberapa helai daun bayam dibersihkan dan kemudiaannya diramas bersama-sama secubit kapur. Sediaan ditempel pada bahagian bengkak setiap hari pada waktu pagi dan petang sehingga sembuh.

Meredakan demam panas

Akar pokok bayam duri diasah pada belakang pasu dan dicampurkan dengan sedikit air kemudiannya diambil satu sudu, dua kali sehari, dan diamalkan sehingga sembuh.

Rawatan komplemen kepada masalah barah darah

Secekak daun bayam duri dan pokok sintuk bumi yang segar direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari sehingga sembuh.

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

 

 

Scroll to Top