Pokok bidara

Pokok bidara merupakan sebuah pokok yang menghasilkan buah yang enak dimakan dan mudah dijumpai. Pengambilan buah bidara dalam diet banyak membantu bagi penjagaan kesihatan seperti jantung, penghadaman, darah tinggi. Buah yang menyamai buah kurma apabila dikeringkan dan ia mengandungi serat, vitamin C dan B yang tinggi. Ia mampu mengawal berat badan yang berlebihan seterusnya membolehkan seseorang mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik.

Klasifikasi

Family:  Rhamnaceae

Genus: Ziziphus

Species:  Jujuba Mill.

Nama Saintifik

Ziziphus jujuba Mill.

 

Nama sinonim :

Ziziphus celata

Ziziphus lotus (L.) Lam.

Ziziphus mauritiana Lam.

Ziziphus nummularia (Burm.f.)

Ziziphus obtusifolia

Ziziphus parryi Torr

Ziziphus reticulata (Vahl) DC.

Ziziphus rignonii

Ziziphus taylorii (Britton)

 

Nama lain

Bidara (Kedah, Perak), bedara, bedara cina, langkeng, bidara madinah (Pahang), bidara kampung (Perlis)

habitat

Mudah ditemui di Semenanjung Malaysia dan biasanya ditanam di halaman rumah. Pokok bidara dipercayai berasal dari Timur Tengah atau India.

sifat

Pokok bidara boleh mencapai ketinggian sehingga 15 m. Batangnya jenis tegak, berwarna kelabu atau hitam pudar, dan merekah. Berdahan banyak dengan ranting yang berjuntai dan berbentuk zig zag.

Daun tersusun berselang, mempunyai duri yang bersaiz kecil pada pangkal daun, permukaan hujung daun membulat dan jelas kelihatan tiga urat memanjang.

Mempunyai jambak bunga jenis sima pada aksilari. Bunga berwarna putih kehijauan, beraroma lembut.  Permukaan kulit buah licin, jenis drup, bewarna hijau ketika muda dan bertukar kekuningan ke warna merah apabila masak. Buah mempunyai isirung yang keras, berbentuk bujur, dan mengandungi dua biji. Biji berwarna perang

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Daun pokok bidara banyak khasiat perubatam
Buah bidara

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian yang dilaporkan menunjukkan buah bidara mempunyai kesan aktiviti anti-kanser. Kehadiran bahan aktif dalam buah bidara seperti triterpenic acids dan polysaccharides berpotensi melawan kanser pada pelbagai peringkat sel kanser. Ia juga mempunyai pelbagai kegunaan teraputik dalam rawatan seperti anti-bakteria, sedatif, anti-hyperglycemic.

Ekstrak buah yang dilakukan menunjukkan aktiviti anti-oksidan yang tinggi. Buah yang segar atau kering menunjukkan aktiviti ketara terhadap kesan anti-kulat, anti-ulser dan anti radang.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloids, tannis, flavanoids, phenols, saponin, terpenoids, asid amino, triterpenic acids, polysaccharides.

Farmakologi Tradisional pokok bidara

Dalam perubatan tradisional, pokok bidara banyak digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti penyakit sistem pernafasan (asthma, batuk, laryngitis), masalah gastrointestinal (sembelit), penyakit kardivaskular.

Dalam perspektif perubatan islam, buah bidara boleh membersihkan darah dan meningkatkan peredaran darah, melegakan haba dalaman dan mengurangkan keradangan.

Di India, akar pokok bidara digunakan untuk merawat batuk, loya dan sakit kepala. Kulit kayu digunakan untuk merawat penyakit disentri kronik dan cirit-birit. Daunnya boleh digunakan untuk mengurangkan berat badan dan melawan obesiti. Buah bidara digunakan untuk membantu sistem penghadaman, tonik, batuk kering. Ekstrak daun digunakan untuk merawat radang mata, smallpox dan chickenpox.

Cara guna (perubatan traditional)

daun pokok bidara Mengurangkan jerawat

Daun bidara dicampurkan bersama dengan dukung anak dan bawang merah. Ramuan dibasuh bersih dan direbus sehingga mendidih. Letakkan di dalam besen dan wapkan pada bahagian muka (Kedah

Meredakan demam kuning

Segenggam daun bidara dan kucai diramaskan di dalam sebesen air. Air tersebut dijadikan mandian dua kali sehari (Perak)

Merawat senggugut

Rebus secekak akar bidara bersama-sama tawas sebesar jari kelingking menggunakan 500ml air sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman setengah cawan dua kali sehari (Kedah)

Mengawal tekanan darah rendah

Basuh dan rebus secekak akar bidara dan lemba. Air rebusan dijadikan minuman tiga kali sehari (Pahang)

Merawat lumpuh

Daun bidara dibersihkan dan dikeringkan bersama kantan, serai wangi, seringan, mengkudu, jambu dan gandarusa. Kesemua bahan direbus dan dijadikan air mandian dua kali sehari pagi dan petang selama sebulan. Daun yang telah direbus dituam pada tempat yang lumpuh (Pahang)

Kesan sampingan

Buah bidara kurang sesuai diambil bagi ibu mengandung, menyusu, kanak-kanak, pesakit diabetes. Ini kerana ia mampu bertindak balas dengan ubat-ubatan yang sedang diambil (wellhealth.com)

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top