pokok cempaka

Pokok cempaka juga dikenali sebagai champak merupakan pokok yang terkenal kerana bunganya yang sangat harum. Bau bunga cempaka dikaitkan dengan campuran kompleks sebatian organik meruap (VOC). Bunga aromatik ini digunakan secara meluas dalam industri perisa dan pewangi. Ia banyak ditanam sebagai tumbuhan hiasan tetapi manfaat dari pokok cempaka dalam rawatan kesihatan termasuklah merawat ulser mulut, mandian bagi ibu selepas bersalin, ramuan minyak urut dan merawat angin ahmar. Penggunaan secara optimum mampu meningkatkan nilai yang ada pokok cempaka apatah lagi ia penting dalam industri wangian.

Klasifikasi

Family:  Magnoliaceae

Genus: Magnolia

Species:  Champaca

Nama Saintifik

Magnolia champaca (L.) Baill. Ex Pierre

 

Nama lain

Cempaka (Perlis), cempaka kuning (Melaka, Pahang), campa (Kedah, Pulau Pinang)

habitat

Pokok cempaka tumbuh di kawasan tanah rendah hingga ketinggian mencapai 1600 m dan biasanya ditanam.

sifat

Pokok cempaka boleh mencapai ketinggian hingga 30 m. Ia mempunyai kulit batang yang licin dan berwarna kelabu.

Daunnya tersusun berpilin, berbentuk oblong-lanseolat hingga sedikit ovat, hujung daun akut atau akuminat, pangkal daunnya bentuk membulat, permukaan bawah daun berbulu halus, sedikit glaukus berwarna kelabu.

Jambak bunga pada aksilari, di mana bunganya berwarna jingga kekuningan, berbau harum. Buah cempaka berbentuk ovoid atau hamper globos, berwarna perang dengan tompok-tompok putih.

cara pembiakan

Biji benih

Pokok Cempaka banyak digunakan untuk menghasilkan minyak wangi
Pokok Cempaka mempunyai bunga yang menarik

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian menemukan pokok cempaka mempunyai kandungan flavonoid yang tinggi. Bunganya  menghasilkan bau wangi disebabkan oleh kandungan minyak volatile seperti cheraniol, linalool, asid benzik dan nerol.

Ekstrak bahan fitokimia dalam pokok ini mempunyai banyak juga kandungan tannins, phenolic, lignin, saponins dan alkaloid.

Bunga dan daun pokok cempaka boleh bertindak sebagai anti-radang, anti oksidan.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, steroids, phenols, asid lemak, terpenoid

Farmakologi Tradisional Pokok Cempaka

Dalam rawatan tradisional, pokok cempaka digunakan untuk merawat tuberculosis dalam komuniti tempatan. Ia kerap ditanam untuk dijadian sebagai tanaman ubat.

Bagi bunga cempaka putih, ia dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti demam, keputihan, haid tidak teratur, batuk dan radang, memecah batu ginjal dan menghilangkan daun mulut.

Dalam perubatan tradisional tiongkok, bunga cempaka digunakan untuk menjaga keseimbangan energi tubuh selain daripada untuk mengatasi masalah radang gusi.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat angin ahmar

Secekak daripada setiap daun cempaka, daun kantan, daun pisang, daun lengkuas, daun pandan dan daun jambu batu direbus dan dijadikan mandian apabila suam (Pahang).

Rawatan minyak urut

Bunga cempaka dijadikan satu daripada minyak urut. Kesemua bahan dipotong, ditumbuk dan dicampurkan ke dalam minyak dan dimasak sehingga mendidih. Kemudian minyak ditapis sebelum digunakan (Pahang).

Merawat ulser mulut

Akar pokok cempaka diasah dan diasah pada bahagian yang sakit (Pulau Pinang).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Lima kuntum untuk setiap bunga cempaka, bunga tanjung, melur, cempaka putih, keembung dan kesidang dicampurkan ke dalam baldi yang diisi air dan dimasukkan air perahan limau purut. Air tersebut dijadikan mandian pada waktu pagi (Melaka).

Meningkatkan kesegaran badan

Tiga, lima atau tujuh kunum bunga cempaka, melur, kenanga, ros, orkid, dan kekwa dicampurkan dengan tiga biji limau purut dan diramas di dalam satu baldi air. Air dijadikan mandian sebulan sekali sebagai bilasan terakhir (Pahang).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top