pokok Cemumar

Perkembangan perubatan tradisional biasanya terhad untuk kepentingan budaya, biodiversiti dan pemeliharaan kesihatan. Tanaman tempatan boleh digunakan sebagai ubat herba untuk mencegah dan merawat penyakit. Ia boleh dikatakan kaedah yang selamat berbanding perubatan moden, kerana teknik telah dibuktikan secara empirik oleh masyarakat tempatan. Bagi pokok cemumar, herba ini banyak digunakan bagi tujuan penjagaan kesihatan dalaman wanita, membuang angin badan, melegakan sakit perut, meredakan demam kuning, mengawal tekanan darah rendah dan juga mampu untuk mengawal aras glukosa di dalam darah.

Klasifikasi

Family:  Rutaceae

Genus: Micromelum

Species:  Minutum (G.Forst.) Wight & Arn.

Nama Saintifik

Micromelum minutum (G.Forst.) Wight & Arn.

Nama lain

Cemumar (Kedah, Perlis), cemumak, cemamak, cemumar hutan, cemumar rimba, cemumai, cemuman (Kedah), semuru (Kelantan, Terengganu), ceneru, seneru, cemama, cerek-cerek, cerek putih.

habitat

Tumbuh meliar di kawasan hutan primer atau hutan sekunder hingga altitud 1000 m dari aras laut

sifat

Pokoknya kecil sehingga sederhana besar, boleh mencapai ketinggian sehingga 20 m. Dahan dan tunas berbulu pendek, padat.

Daun jenis majmuk, tersusun berselang dan mempunyai 7-15 anak daun. Anak daun tersusun secara berselang, berbentuk ovat-lanseolat, pangkal daun obtus dan tidak simetri, hujung daun akuminat, tepi daun licin, permukaan atas daun glabrus dan permukaan bawah sedikit pubesen

Jambak bunga pada terminal. Bunga nya biseks, mempunyai lima sepal, dan lima petal berwarna hijau pudar hingga putih kekuningan

cara pembiakan

Keratan batang

Pokok Cemumar mudah dijumpai
Pokok cemumar mempunyai banyak khasiat

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Hasil penemuan daripada kajian dijalankan menunjukkan pokok cemumar menghasilkan aktiviti biologikal yang berbeza antaranya ialah anti microbial, anti diarrhoeal, anti leishmanoal, anti protozoa dan juga anti oksidan. Aktiviti-aktiviti ini disebabkan oleh kehadiran bahan aktif seperti flavonoid, alkaloid, coumarins.

Coumarins yang hadir dalam pokok ini menjalankan aktiviti cytotoxic bagi melawan sel kanser. Aktiviti ini banyak dijumpai melalui ekstrak daun dan kulit daripada pokok cemumar.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, coumarins, triterpenes, phenylpropanoids

Farmakologi Tradisional Pokok Cemumar

Dalam perubatan tradisional, pokok cemumar sering digunakan bagi merawat kurap, masalah kitaran haid yang tidak teratur dan demam.

Di Thailand, ia digunakan untuk merawat tumor, jus daun cemumar digunakan untuk merawat sakit lidah, bau mulut, buasir dan sakit gigi.

Daun juga digunakan untuk melegakan kerengsaan pada kulit akibat kudis.  Bahagian akar pokok cemumar diberikan kepada kanak-kanak untuk mengatasi masalah cirit birit, sakit perut dan sakit kepala. Kepingan daripada akarnya dikunyah dengan sirih untuk menghilangkan batuk.

Cara guna (perubatan traditional)

Membuang angin dalam badan

Daun cemumar ialah satu daripada campuran herba yang direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan mandian sekali sehari (Terengganu)

Melegakan sakit perut.

Akar cemumar ialah satu daripada campuran herba yang direbus dan diminum dua kali sehari sehingga sembuh (Pahang)

Merawat gastrik

Akar untuk setiap jenis tumbuhan iaitu cemumar pucuk merah, kejing, duri tambun tahi, dan mengkudu dipotong kecil, dikeringkan dan direbus. Sukatan bagi setiap akar ialah tiga sudu makan untuk sekali rebusan. Air rebusan diminum sebagai amalan harian (Kelantan)

Meredakan demam kuning

Daun cemumar dicampurkan bersama-sama daun cape, daun kemaru, dan daun pisang kelat yang kering. Kesemua bahan direbus sehingga mendidih dan dibuat mandian sekali sehari pada waktu pagi (Perlis)

Penjagaan bagi ibu selepas bersalin

Segenggam akar cemumar direbus Bersama-sama akar tongheng, kemuncupm tongheaw dan tonghot. Air rebusan dibiarkan suam dan diminum oleh pesakit (Perlis)

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top