Pokok ceri

Pokok ceri merupakan sejenis tumbuhan berkayu. Selalunya tumbuh meliar dan ada juga yang ditanam di kawasan rumah. Lazimnya, ia menghasilkan buah yang merah apabila masak. Ramai yang menggemari kerana ia dipercayai mempunyai banyak khasiat seperti mana tumbuhan herba lain. Antaranya ialah menyembuhkan luka atau kudis, menurunkan aras glukosa darah, mencegah kanser, menurunkan aras kolesterol. Daun ceri berfungsi hampir sama dengan ubat asid mefenamat yang mampu meredakan rasa sakit

Klasifikasi

Family: Muntingiaceae

Genus: Muntingia

Species:   Calabura

Nama Saintifik

Muntingia calabura

Nama lain

Ceri (Kedah, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu), kerukup siam

habitat

Biasanya ditanam di halaman rumah atau dijumpai di kawasan tepi jalan raya.

sifat

Pokok ceri boleh mencapai ketinggian sekitar 12 m. Ia mempunyai batang atau dahan yang berbulu lembut. Daunnya ringkas sahaja, berbentuk ovat-lanselot, pangkal daun tidak simetri, tepi daun jenis serat, permukaan bawah daun pubesen, berwarna kelabu.

Bunga yang dihasilkan berwarna putih. Ia mempunyai lima petal. Buah pokok ceri jenis beri, berbentuk bulat, berwarna hijau Ketika muda dan merah apabila masak, mengandungi banyak biji halus, dan berbau wangi.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Pokok ceri menghasilkan buah yang banyak
Buah ceri berwarna merah apabila masak

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Banyak kandungan bahan aktif yang ditemui di dalam daun ceri antaranya tannin. Sebatian kompleks dari kumpulan asid fenolik. Tannin umumnya efektif bagi menyingkirkan pathogen dalam badan seperti melawan bakteria, virus dan kulat. Ia juga mampu membantu mempercepatkan pembekuaan darah, memberikan kesan penyembuhan di samping mampu mengawal tekanan darah.

Kehadiran flavonoid dalam daun ceri memberikan kesan anti oksidan, anti radang, anti mutagen dan anti karsinogen. Bagi tumbuhan, flavonoid mampu melindungi tumbuhan daripada tekanan biotik dan abiotic dan juga menapis sinaran ultra ungu.

Glukosa dapat dikawal kerana kandungan antosianin yang ada di dalam pokok ceri.  Ia juga mampu memusnahkan radikal bebas, melawan molekul berbahaya di dalam badan dan menjadikan ia sebagai bahan anti oksidan yang baik untuk tujuan mencegah pembentukan sel kanser.

Saponin yang hadir menjadikan paras lipid dalam darah dapat dikawal, mengurangkan risiko kanser dan menjadi paras glukosa di dalam darah menjadi terkawal.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, saponin, tannin.

Farmakologi Tradisional Pokok Ceri

Dalam rawatan tradisional menggunakan pokok ceri, daunnya sering direbus untuk diminum air rebusannya kerana dikatakan mujarab bagi menurunkan paras gula di dalam darah. Rasanya agak pahit.

Daunnya yang lebat biasanya diproses untuk dijadikan bahan antiseptik yang dapat membunuh bakteria.  Ia juga sangat baik bagi penjagaan jantung kerana ia mampu mengawal kandungan kolesterol badan dan juga tekanan darah.

Selalunya buah ceri bermanfaat bagi rawatan penyakit gout, batuk, meredakan sakit kepala. Seseorang yang mempunyai masalah untuk tidur digalakkan menggunakan daun ceri kerana ia membantu meningkatkan kualiti tidur.

Cara guna (perubatan traditional)

Mandian bagi ibu selepas bersalin.

Cara 1

Tujuh helai daun ceri dan tiga keping asam keping direndam ke dalam air panas yang menggelegak dan diminum secawan apabila suam (Kedah).

Cara 2

Akar ceri, gelam putih, dan gelam merah dijemur sehingga kering. Kesemua bahan dicincang dan direbus dengan dua cawan air. Air rebusan diminum dua kali sehari (Kedah).

Cara 3

Pucuk ceri, pucuk manggis, dan upih pinang dikeringkan  dan direbus. Air rebusan diminum dua kali sehari mengikut keperluan (Perak).

Merawat masalah kelesuan badan

Daun ceri ialah satu daripada campuran ramuan untuk dijadikan minyak urut yang digunakan untuk merawat kelesuan badan. Ramuan digoreng bersama dengan 1 kg minyak masak. Minyak tersebut digunakan sebagai minyak urut (Pahang).

Merawat gout

Secekak daun ceri direbus dengan daun misai kucing. Air rebusan diminum sehingga sembuh (Pahang).

Mengawal aras glukosa dalam darah

Tujuh helai daun ceri direbus bersama dengan tiga cawan air sehingga air menyusut menjadi dua cawan. Air rebusan diminum satu cawan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam sebelum makan (Kedah).

Rawatan komplemen kepada masalah jantung

Lima helai daun ceri dicampurkan dengan satu sudu jintan manis, akar pucuk paku, lima helai daun sirih, dan lima helai daun jambu direbus dengan 3 L air. Air rebusan diminum sehingga sembuh (Selangor).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top