pokok durian belanda

Penggemar pokok durian belanda percaya bahawa pokok ini bukan lah pokok biasa. Mereka menggunakan buah dari pokok ini untuk merawat masalah bagi kencing manis. Ia tidaklah susah untuk ditemui kerana boleh dikatakan orang Melayu suka menanam pokok durian belanda. Ia biasa ditanam di halaman rumah. Kandungan sesetengah bahan yang ada dalam pokok ini juga menyebabkan serangga kurang meminati pokok ini. Orang melayu juga percaya bahawa durian belanda adalah rawatan terbaik bagi tujuan mencegah kanser.

Klasifikasi

Family: Annonaceae

Genus: Annona

Species:  Muricata

Nama Saintifik

Annona muricata

Nama lain

Durian belanda (Perak,Kedah, Pahang, Langkawi), durian eropah, mengala (Kedah), durian Makkah, durian benggala, Nangka belanda, seri kaya belanda, mempisang, nona blanda, hampun klapa

habitat

Sering ditanam dan dijumpai di kawasan hutan beraltitud sehingga 1000 m

sifat

Pokok durian belanda boleh mencapai ketinggian sehingga 3-10 m. Batangnya bercabang di pangkal batang.

Daunnya ringkas, tersusun secara berselang, bentuk oblong-obovat, hujung daun berbentuk akuminat pendek. Panjang tangkai daun 3-7 mm

Jambak bunganya pada aksilari. Bunganya jenis tunggal, berwarna hijau kekuningan, mempunyai tiga sepal berbentuk segi tiga. Mempunyai enam petal.

Buah jenis pseudokarpa, berbentuk ovoid, berwarna hijau gelap dan dilitupi oleh duri lembut, berisi dan mempunyai pulpa berwarna putih. Biji banyak, berbentuk obovoid, berwarna hitam keperangan dan berkilat.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Pokok durian belanda biasanya menghasilkan banyak buah dalam satu pokok
Buah muda durian belanda

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Laporan kajian ilmiah melalui Journal of Medicinal Chemistry mengesahkan buah belanda digunakan untuk merawat kanser payu dara. Ia berkesan untuk menghapuskan sel kanser.

Ekstrak daun durian belanda mampu menghalang kerosakkan sel yang disebabkan oleh pengoksidaan yang berlaku ke atas sel. Bagi sifat anti kanser, esktrak buah durian belanda mampu untuk mengurangkan saiz dan berat tumor.

Kajian telah dijalankan untuk menguji sifat anti bakteria ekstrak buah durian belanda. Dua jenis ekstrak telah diperolehi dari durian belanda iaitu aqueous dan etanolik. Didapati bahawa ekstrak aqueous buah durian belanda mempunyai sifat anti bakteria terhadap S. aureus dan V. cholerae.

Tekanan darah juga menurun secara signifikan hasil kajian menggunakan daun dan buah durian belanda. Ini menunjukkan ia mempunyai sifat anti hipertensi.

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam buah ini juga mencegah masalah skurvi. Bagi setiap 100 g buah ini mampu membekalkan sebanyak 26.9 mg vitamin C di mana jumlah ini sudah memenuhi hampir satu pertiga keperluan harian vitamin C.

Ingredien Aktif

 

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, acetogenin.

Farmakologi Tradisional Pokok Durian Belanda

Selalunya masyarakat melayu menggunakan daun durian belanda untuk mengurangkan sakit kerongkong. Hampir semua bahagian pokok ini dipercayai mempunyai pelbagai khasiat. Akarnya sering digunakan untuk mengawal gejala kencing manis.

Daun dan buahnya yang muda dijadikan esktrak minyak dengan dicampurkan dengan minyak zaitun bagi mengatasi masalah sakit sendi dan juga sengal badan.

Pesakit jantung juga turut menggunakan kulit pokok durian belanda untuk rawatan sakit jantung. Turut digunakan bagi merawat masalah batuk dan juga bagi mengembalikan kesuburan bagi tujuan mendapatkan zuriat.

Di Malaysia, buah durian belanda diproses dijadikan sebagai minuman kesihatan untuk meredakan demam, membunuh cacing dan sebagai ubat cirit.

Cara guna (perubatan traditional)

Meredakan demam kura

Segenggam daun durian belanda dibasuh bersih kemudian diramas bersama dengan air dan ditapis. Air tersebut dijadikan mandian bagi bayi pada setiap pagi selama tiga hari (Pahang)  

Meredakan demam kuning

Cara 1

Sejengkal kulit halban dicampurkan dengan beka dan rempah padang. Semua bahan direbus dengan 2 liter air sehingga menjadi ½ liter air. Air rebusan diminum dua kali sehari pada waktu pagi sebelum sarapan dan malam selepas makan malam (Perak).

Cara 2

Tujuh helai daun durian belanda direbus untuk dijadikan mandian bayi sekali sehari (Terengganu).

Menghilangkan kutu rambut

Lima helai daun durian belanda diramas dengan air biasa dan disapukan di atas kepala sebelum tidur (Kedah).

Melegakan sakit gigi

Akar durian belanda diasah pada pasu dan dicampurkan sedikit air. Sediaan disapukan pada pipi di bahagian gigi yang sakit pada bila masa-masa mengikut keperluan pesakit (Kedah).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top