Pokok Gandarusa

Perubatan tradisional telah menggunakan herba selama berabad-abad untuk merawat penyakit dan kini sains moden mula menyokong bahawa herba mempunyai potensi untuk meningkat tahap kesihatan kita. Pokok gandarusa antara yang banyak digunakan dalam pelbagai jenis rawatan antaranya sakit kepala, sakit otot, sakit telinga. Selain boleh dijadikan tanaman hiasan, ia juga dikatakan mempunyai khasiat perubatan herba yang tersendiri. Antaranya ialah ia dikatakan dapat merawat bengkak yang terseliuh, merawat cacing kembung perut dan muntah.

Klasifikasi

Family: Acanthaceae

Genus: Justicia

Species: Gendarussa Burm.f.

Nama Saintifik

 Justicia Gendarussa Burm.f.

 

Nama lain

Gandarusa (Kedah), sangkal putung, jeruang, peruang (Johor), kateh murai hitam (Kelantan), serusa hitam (Melaka), ganduk rusa, kanda, janda rusa, gandang rusa, kandar rusa (Pahang), gendarusa (Terenggganu)

habitat

Pokok gandarusa selalunya ditanam dan dijadikan sebagai pokok perhiasan. Pokok ini banyak dijumpai di kawasan hutan yang beriklim panas lembap.

sifat

Sejenis pokok renek yang ketinggiannya boleh mencapai sehingga 2 m. Batangnya mempunyai banyak cabang, glabrus dan bengkak di bahagian nod batang, permukaan batang bewarna hijau atau hitam.

Daun pokok gandarusa ringkas dan mempunyai susunan daun bertentangan, bentuk memanjang dan bentuk menirus pada kedua dua pangkal dan hujung daun.

Ia mempunyai jambak bunga pada aksilari daun, bunga bersaiz kecil dan jambak bunga boleh mencapai sehingga 5-10 cm panjang.

cara pembiakan

Keratan batang

Pokok gandarusa mempunyai banyak khasiat perubatan
Pokok gandarusa sering dijadikan tanaman hiasan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Pokok Gandarusa mempunyai banyak bahan fitokimia seperti alkaloid, flavonoid, tannins dan phenols. Bahan-bahan ini banyak dijumpai di bahagian akar, batang dan daun. Kandungan bahan-bahan ini mungkin berbeza berdasarkan umur, fisiologikal pokok dan kawasan geografi tanaman.

Kajian menunjukkan pokok ini mempunyai tindakan anti microbial dan anti fungal keatas sesetengah pathogen. Ekstrak bahagian daun digunakan sebagai kaedah mengawal kehamilan. Ia turut mempunyai kesan anti-radang.

Pokok gandarusa juga mempunyai patentiflorin yang menunjukkan tindakan yang positif ke atas virus HIV.     

Ingredien Aktif

Ingredien aktif yang wujud seperti alkaloids, saponins, flavonoids, polyphenols, essential oils, tannins dan steroid 

Farmakologi Tradisional Pokok Gandarusa

Dalam perubatan tradisional, daun pokok gandarusa digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti demam, hemiplegia, rheumatism, arthritis, sakit otot, sakit kepala dan sakit telinga (India).  Di Reunion Island, ia digunakan untuk merawat malaria.

Di China, ia digunakan untuk merawat kecederaan. Ekstrak keseluruhan bahagian pokok digunakan untuk merawat bisa kala jengking.

Di Malaysia, Gandarusa digunakan untuk membantu merawat sengal-sengal sendi, sakit belakang, pinggang, kudis malam (Pucuk), patah, terseliuh dan wanita lepas bersalin.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat bisul

Sebanyak 10 helai daun gandarusa ditumbuk dan dicampurkan sedikit cuka. Sediaan ditempelkan pada bisul dua kali sehari.

Meredakan bengkak kaki

Secekak daun gandarusa dicampurkan bersama sama tutup bumi, pokok dewa, kulit jebak rimba, seruas halia merah, bawang merah dan bawang putih. Semua bahan ditumbuk sehingga lumat dan ditempelkan pada bahagian kaki yang bengkak.

Merawat kudis

Secekak daun gandarusa dikisar sehingga lumat. Sapukan pada bahagian yang berkudis sehari sekali sehingga sembuh.

Melegakan lenguh badan

Daun gandarusa dicampurkan bersama sama isi jerangau, halia (sebesar ibu jari), lada hitam, dan serai wangi. Semua bahan dipotong kecil dan dimasak dengan minyak kelapa. Minyak disapu pada tempat yang sakit.

Melegakan sakit lutut

Tujuh helai setiap jenis daun gandarusa, pandan, mengkudu dan secekak serai wangi dihiris sehingga halus dan disangai di atas api untuk seketika. Campuran daun dibalut pada bahagian lutut yang sakit sehari sekali sebelum tidur selama tiga hari berturut turut.

Merawat lumpuh

Cara 1

Daun gandarusa dikeringkan bersama sama kantan, serai wangi, seringan, mengkudu, jambu batu dan bidara. Semua bahan direbus dan air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari selama sebulan. Daun yang direbus dituam pada bahagian lumpuh 

Cara 2

Daun gandarusa dikeringkan bersama sama kantan, serai wangi, seringan, mengkudu, jambu batu dan bidara. Semua bahan direbus dan air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari selama sebulan. Daun yang direbus dituam pada bahagian lumpuh 

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top