Pokok Halban

Tumbuhan herba masih menjadi pilihan dalam rawatan kerana ia mempunyai potensi yang besar bagi penghasilan ubatan baru. Pokok halban banyak digunakan secara tradisional bagi melegakan sakit perut, demam, menyembuhkan luka. Ia turut digunakan dalam rawatan anti-kolesterol dan anti-diabetik. Risiko bagi penggunaan ubatan herba juga lebih rendah dan kurang merbahaya jika dibandingkan menggunakan ubatan moden.

Klasifikasi

Family: Lamiaceae (Labiatae)

Genus: Vitex

Species:  Pinnata

Nama Saintifik

Vitex pinnata

 

Nama lain

Halban (Perlis, Perak, Kedah), Halban tanduk (Kedah, Pahang), leban (Pahang), leban tanduk, leban hitam, leban nasi-nasi, leban kunyit, leban bunga

habitat

Di semenanjung Malaysia, pokok ini tumbuh liar di kawasan hutan yang diteroka.

sifat

Pokok halban tumbuh dengan ketinggian yang mencapai 24 m. Batangnya lurus, kulit batang berwarna putih kelabu atau perang pucat, permukaan licin.

Daunnya tersusun secara setentang. Tangkai daun panjang, beralur sehingga membentuk silinder. Hujung daun berbentuk akuminat, pangkal berbentuk obtus, tepi daun hampir licin.

Mempunyai jambak bunga pada terminal, jenis panikel, berbentuk bersegi hingga membulat, berwarna kelabu perang. Bunga yang banyak, berwarna ungu pucat hingga putih.

Buah berbentuk globus, permukaan licin, berkilat, berwarna hijau menjadi perang kehitaman berbintik perang apabila matang.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Pokok Halban mudah dijumpai di kawasan terbuka
Bunga pokok halban

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan kajian yang dijalankan, daun dan batang pokok halban mempunyai keupayaan bagi aktiviti anti-oksidan disebabkan oleh kehadiran alkaloids dan terpenoids.

Eksperimen yang dilakukan oleh Penyelidik Universiti Brunei Darul Salam (NCBI) menemui kandungan flavonoids yang tinggi dalam kulit pokok halban.

Selain dari itu, analisis fitokimia juga menemui kandungan saponins triterpenes dan steroids.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, steroids, phenols, asid lemak, terpenoid

Farmakologi Tradisional Pokok Mertajam

Pokok halban secara tradisionalnya digunakan untuk rawatan bagi sakit perut, demam, sakit badan. Bahagian kulitnya selalu dignakan untuk sakit perut manakala pucuk mudanya digunakan bagi agen penyahkuman.

Daunnya diletakkan di kawasan luka bagi mempercepatkan penyembuhan luka. Rebusan kulit kayu halban digunakan untuk merawat diarrhoea.

Serbuk kering dari kulit kayu halban diletakkan dibahagian kepala untuk mengurangkan sakit kepala.

Di Indonesia, mereka menggunakan tumbuhan ini bagi rawatan anti kolesterol, anti diabetic dan demam.

Cara guna (perubatan traditional)

Melegakan sakit urat

Akar pokok halban dicincang halus dan dijemur sehingga kering bersama-sama selayar putih dan mata pelanduk. Semua bahan direbus untuk dijadikan ubat periuk. Air rebusan diminum secawan dua kali sehari pada waktu pagi dan malam (Kedah).

Merawat sakit sendi

Sejengkal kulit halban dicampurkan dengan beka dan rempah padang. Semua bahan direbus dengan 2 liter air sehingga menjadi ½ liter air. Air rebusan diminum dua kali sehari pada waktu pagi sebelum sarapan dan malam selepas makan malam (Perak).

Melegakan lelah

Beberapa helai pucuk halban direbus dan air rebusan diminum mengikut keperluan pesakit (Pahang).

Penjagaan kesihatan dalam wanita

Kulit halban dibersihkan, dipotong dan dikeringkan bersama-sama lancing besi, lancing tembaga, kemarau bulan lima, kacip Fatimah, pakma, hamba raja, serapat, dan selayak. Semua bahan dicampur dan direbus untuk dijadikan air minuman. Air rebusan diminum sekali sehari pada waktu malam sebelum tidur (Kedah).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top