Pokok Halia Bara

Pokok halia bara sering dijadikan sebagai tanaman seri bagi kawasan rumah. Ia agak berbeza dengan halia makan. Ia juga dikenali sebagai halia merah dan halia udang. Dikatakan tanaman ini tidak mempunyai masalah kepada serangan serangga perosak. Jadi, ia sangat sesuai digunakan bersama baja organik kerana ia mudah untuk tumbuh dengan subur. Selalunya, rizom halia bara banyak digunakan dalam rawatan tradisional berbanding bahagian lain.  Ia sering digunakan dalam rawatan untuk meredakan bengkak kaki, membuang angin dalam badan, mengawal tekanan darah tinggi dan melegakan lenguh badan.

Klasifikasi

Family: Zingiberaceae

Genus: Zingiber

Species: Officinale roscoe

Nama Saintifik

Zingiber officinale roscoe

Nama lain

Halia bara (Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Pahang, Selangor), halia merah (Terengganu), halia udang

habitat

Tepus ini tumbuh banyak di Malaysia tetapi jarang berbunga.

sifat

Sejenis tepus yang tumbuh secara menegak. Rizom berwarna merah di bahagian luar dan berwarna kuning di bahagian dalam.

Daunnya pendek dan berwarna merah pada bahagian pangkal daun. Daun glabrus kecuali pada bahagian pangkal daun mempunyai bulu yang pendek. Mempunyai tangkal daun berwarna kemerahan daun berbentuk lurus, kurus dan runcing.

Jambak bunga jenis spika, berbentuk eliptik atau oblong. Braktea berbentuk obovat dan kurus, berwarna hijau, margin beralunbrakteol berbentuk eliptik, lebih panjang daripada braktea, korola berwarna kuning, labelum berwarna merah dan bercoreng krim. Apendaj berwarna ungu gelap. Buah berwarna merah.

cara pembiakan

Rizom

temu lawak banyak khasiat antara untuk penyakit kulit
temu lawak sering dijadikan sebagai jamu

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Hasil penemuan kajian yang dijalankan, pokok halia bara mempunyai pelbagai jenis kandungan bahan aktif di dalamnya. Ia termasuklah sebatian phenol, terpenes, polysaccharides, lipids, organic acid. Manfaat kesihatan oleh halia bara banyak disumbangkan oleh kehadiran sebatian phenol iaitu gingerols dan shogaols.

Penyelidikan yang dilakukan mengumpulkan keupayaannya untuk aktiviti biologikal termasuklah anti-oksidan, anti-radang, anti microbial, anti-kanser, anti-obesiti, anti-diabetik, anti nausea, melindungi saraf, mengelakkan penyakit kardiovaskular.

Halia bara kering menunjukkan aktiviti anti oksidan yang paling tinggi melalui penemuan kandungan phenol yang banyak. Demostransi menggunakan halia bara menunjukkan ia mampu menghalang pertumbuhan untuk pelbagai jenis bakteria, fungi dan virus.

Ia juga mampu menganggu proses carcinogenic bagi colorectal cancer. Secara tidak langsung, rawatan menggunakan halia banyak menggalakkan apoptosis (kematian sel secara semula jadi) dengan mengurangkan penghasilan gene yang menyebabkan pembentukan kanser.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti sebatian phenol, terpenes, polysaccharides, lipids, organic acid

Farmakologi Tradisional Pokok Halia Bara

Dalam rawatan tradisional banyak menggunakan rizom halia bara untuk pelbagai jenis penyakit. Ia merupakan ramuan penting dalam kebanyakan masakan Asia. Rizom segar sering digunakan sebagai rempah dalam masakan India dan Cina.

Minyak halia digunakan untuk menyedapkan bir halia dan minuman halia. Masyarakat menggunakan juga halia bara sebagai ubat yang sangat efektif untuk masalah senak dan sakit perut. Ia juga sangat berkesan untuk merawat cirit birit dan loya. Bahan kimia dalam halia mampu mengurangkan demam dan jangkitan.

Selain menggunakan jus rizom atau rizom dalam bentuk hancur, daun juga boleh dimakan, ditumbuk dan digunakan sebagai tuam untuk kegunaan luaran.

Cara guna (perubatan traditional)

Melegakan lenguh badan

Cara 1

Rizom halia bara dibersihkan dan direbus. Air rebusan dijadikan sebagai minuman sekali sehari sehingga sembuh (Johor).

Cara 2

Rizom halia bara dijadikan satu daripada ramuan diracik, ditimbang, dan dicampurkan bersama-sama dan dimasak dengan minyak masak sehingga mendidih selama setengah jam. Minyak digunakan untuk mengurut atau apabila diperlukan (Kedah).

Ramuan majun

Rizom halia bara sebesar ibu jari kaki dicampurkan bersama-sama tiga pokok kancing baju, kunyit terus sebesar ibu jari kaki, tongkat ali sebesar ibu jari kaki, 100 g lada hitam, dan 100 g daun lemuni. Ramuan dikisar sehingga lumat dan dicampurkan madu lebah. Majun dimakan sekali sehari selepas sarapan (Kedah).

Melegakan sakit sendi

Rizom halia bara dibersihkan dan direbus. Air rebusan diminum sekali sehari sehingga sembuh (Johor).

Meredakan bengkak kaki

Seruas rizom halia bara ditumbuk bersama-sama secekak bagi setiap jenis daun ganda rusa, tutup bumi, pokok dewa,  kulit jebak rimba, bawang merah, dan bawang putih sehingga lumat. Sediaan ditempel pada bahagian kaki yang bengak (Selangor).

Merawat patah

Rizom halia bara ditumbuk bersama-sama kunyit hitam, beberapa helai daun gandarusa dan jintan hitam. Ramuan dicampurkan dengan putih telur dan disapu pada tempat yang patah kemudian dibalut menggunakan kain. Balutan dibuka selepas beberapa hari dan diamalkan sekali sahaja (Kedah).

Merawat gout

Rizom halia bara ditumbuk bersama-sama halia, cekur, dan jerangau sebesar ibu jari bagi setiap ramuan. Ramuan kemudian direbus dan dicampurkan bersama-sama dua sudu cuka. Sediaan direbus sekali sehari sehingga sembuh (Pahang).

Mengawal tekanan darah tinggi

Cara 1

Rizom halia bara dijadikan satu daripada ramuan diracik halus, digoreng tanpa minyak sehingga garing, dan dikisar menjadi serbuk jamu. Jamu dicampurkan bersama-sama satu sudu asam jawa dan dilarutkan ke dalam air kemudian diminum tiga kali sehari.

Cara 2

Rizom halia bara dijadikan satu daripada ramuan air mandian. Ramuan yang telah dikeringkan disukat dalam lingkungan 200 g dan dibunjutkan dalam kain kasa kemudian direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan mandian dua hingga tiga kali sehari dan diamalkan sehingga penyakit semakin sembuh atau berkurangan (Kedah).

Rawatan komplemen kepada masalah buah pinggang

Rizom halia bara dicampurkan bersama-sama buah petai belalang, lobak putih dan kunyit hitam dibersihkan, dipotong dan dimasak dengan empat gelas air sehingga surut menjadi segelas air. Sediaan diminum empat kali sehari (Pahang).

Membuang angin badan

Cara 1

Rizom halia direbus bersama-sama secubit jemuju, jintan putih, jintan manis, dan sedikit halia makan. Air rebusan diminum dan diamalkan dua kali sehari sehingga sembuh (Kedah).

Cara 2

Rizom halia bara dicampurkan bersama-sama suntun, habbatus sauda, kunyit, serai wangi, dan lada hitam. Semua bahan dikeringkan, dipotong halus, dan dimasak menggunakan minyak kelapa selama sejam. Minyak digunakan untuk mengurut badan (Pahang).

Kesan sampingan

Wanita hamil perlu menggunakan halia dengan berhati-hati kerana keselamatannya belum dapat disahkan sepenuhnya. Ia juga telah diperhatikan dan diketahui menyebabkan reaksi alahan pada sesetengah orang apabila disapu pada permukaan kulit (Nparks).

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top