Pokok kermak putih, atau lebih dikenali sebagai “kermak hijau” dalam kalangan masyarakat kampung, merupakan tumbuhan herba menjalar yang sangat mudah didapati di kawasan tropika Asia, termasuk Malaysia. Ia sering tumbuh meliar di tepi parit, batas sawah dan kawasan lembap. Di kampung-kampung, ia menjadi antara ulam kegemaran masyarakat desa kerana rasanya yang segar dan sedikit pahit.
Tidak seperti varieti merah yang lebih dikenali dalam bidang perubatan tradisional India, varieti putih lebih banyak digunakan dalam amalan masyarakat Melayu dan Asia Tenggara sebagai makanan harian dan ubat kampung. Rebusannya dipercayai mampu menurunkan suhu badan, merawat luka dalaman serta menguatkan fungsi hati dan buah pinggang
Klasifikasi
Family : Amaranthaceae
Genus : Alternanthera
Species : sessilis
Nama Saintifik
Alternanthera sessilis
Nama lain
Kermak putih, bayam batu, bayam pasir, bayam air, tampal besi
habitat
Pokok kermak putih tumbuh subur di kawasan beriklim tropika, subtropika, kawasan sawah padi, kebun yang tidak disembur racun
sifat
Daun berwarna hijau cerah hingga hijau tua, berbentuk bujur dan tersusun secara bertentangan. Daunnya lebih nipis dan tidak mempunyai pigmen antosianin yang menjadikan varieti merah tampak kemerahan.
Batangnya berwarna hijau muda, bersifat lembut, menjalar dan boleh membentuk akar pada ruas yang menyentuh tanah.
Akar jenis berserabut dan mampu membiak dengan mudah melalui keratan batang.
cara pembiakan
Keratan batang
Penemuan dan kajian saintifik/akademik
Beberapa kajian telah dijalankan terhadap Alternanthera sessilis varieti putih bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya. Tumbuhan ini mempunyai aktiviti antioksidan dan anti-Radang. Kajian oleh Borthakur et al. (2017) mendapati bahawa ekstrak metanol dari kermak putih mengandungi kapasiti antioksidan yang tinggi berdasarkan ujian DPPH dan FRAP. Aktiviti anti-radang turut dikesan dalam ujian makmal menggunakan kultur sel manusia dengan tindak balas sitokin yang berkurang.
Anwar M et al. (2019) menunjukkan bahawa ekstrak air dari kermak putih membantu menstabilkan tahap enzim hati seperti ALT dan AST dalam tikus yang terdedah kepada bahan toksik karbon tetraklorida. Histologi hati juga menunjukkan pengurangan kerosakan sel. Ini menunjukkan kermak putih mempunyai kesan hepatoprotektif yang baik.
Dalam kajian oleh Pushparaj PN et al. (2007), tikus diabetes yang diberi ekstrak daun kermak putih menunjukkan penurunan kadar glukosa darah yang signifikan selepas 14 hari. Ini menunjukkan potensinya sebagai herba tambahan dalam kawalan diabetes.
Tumbuhan ini juga disahkan mempunyai aktiviti antimikrob. Ekstrak etanol daripada daun dan batang menunjukkan keberkesanan terhadap bakteria Gram positif dan negatif, termasuk Staphylococcus aureus, E. coli dan Klebsiella pneumoniae. Ini menunjukkan potensinya sebagai alternatif dalam rawatan luka dan jangkitan kulit.
Beberapa kajian awal di Asia Selatan menunjukkan potensi tumbuhan ini dalam mempengaruhi hormon estrogen, yang menjelaskan penggunaannya dalam pemulihan wanita selepas bersalin. Walau bagaimanapun, kajian lanjutan masih diperlukan.
Ingredien Aktif
Kandungan bahan aktif yang wujud dalam tumbuhan antaranya ialah flavonoid, saponin, triterpenoid, Sebastian fenolik dan alkaloid
Farmakologi Tradisional Pokok Kermak Putih
Penggunaan tradisional pokok kermak putih amat meluas dalam perubatan Melayu, khususnya sebagai tonik selepas bersalin. Rebusan daun digunakan sebagai minuman untuk menguatkan rahim, membuang darah kotor, dan mempercepatkan pemulihan tenaga wanita selepas bersalin.
Selain itu, ia juga sesuai bagi rawatan gastrik dan ulser. Teh daun kermak putih digunakan bagi melegakan perut yang pedih atau kembung. Ia dipercayai menenangkan mukosa gastrik.
Penurunan tekanan darah dilaporkan bila ia diambil secara konsisten untuk membantu melancarkan peredaran darah dan menstabilkan tekanan darah tinggi.
Penggunaan ini diwarisi secara turun-temurun dan diamalkan terutamanya oleh penduduk luar bandar dan pengamal herba tradisional. Rebusan akar dan daun diambil sebagai agen diuretik untuk melawaskan air kencing dan menyokong kesihatan buah pinggang.
Cara guna (perubatan traditional)
Pemulihan selepas bersalin
Ambil segenggam daun segar. Rebus dengan 3 cawan air hingga tinggal 1 cawan. Minum suam setiap pagi selama seminggu.
Penampal untuk Bisul dan Luka Bernanah
Daun segar ditumbuk halus dan dicampur dengan sedikit kunyit hidup, lalu ditempekkan pada bisul atau luka bernanah bagi mempercepatkan pengeringan dan pemulihan.
Dijadikan Teh Herba (Herbal Infusion)
Beberapa helai daun kering disediakan sebagai teh herba – direbus dengan air panas. Pengambilan teh ini secara sederhana dipercayai membantu menstabilkan tekanan darah dan menyokong fungsi hati.
Penggunaan sebagai Penyejuk Badan untuk Kanak-Kanak
Beberapa helai daun dilumatkan dan disapu pada kepala atau belakang leher bayi dan kanak-kanak untuk menurunkan suhu badan semasa demam
Jus Herba Segar
Daunnya diblender bersama sedikit air dan ditapis, lalu dijadikan jus herba untuk diminum sekali sehari selama beberapa hari berturut-turut bagi menyegarkan badan, menambah darah (khususnya dalam kes anemia ringan), serta mencantikkan kulit.
Kesan sampingan
Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.x
Sumber Rujukan
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
