Lada Pahit

Pahit itu ubat dan ia sangat sinonim digunakan untuk pokok lada pahit. Ia kerana pokok ini sememangnya pahit terutama bijinya. Ia sering dicari untuk digunakan dalam rawatan alternatif. Sesiapa yang boleh makan begitu sahaja dengan menggigit atau menguyah bijinya, maka dia memang hebat.  Ia dikatakan sangat berkesan untuk merawat masalah bisul dan juga penyakit yang bernanah. Selain dari itu, ia juga mampu menurunkan aras glukosa di dalam darah, merawat tekanan darah tinggi dan gastrik. Selain itu, banyak rawatan komplemen menggunakan tumbuhan ini.

Klasifikasi

Family: Simaroubaceae

Genus: Brucea

Species: Javanica (L.) Merr.

Nama Saintifik

Brucea javanica (L.) Merr.

 

Nama lain

Melada Pahit (Kedah, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu), lada pahit (Kedah, Kelantan, Selangor, Pahang), lada barau, cerek jantan, embalau, embalau padang, embalau betina, malau, hemepedu beruang, sisek manek, sarai pusur, serajat, habelur, abelor, suntang hutan

habitat

Tumbuhan ini sering dijumpai di kawasan hutan sekunder, kawasan terbuka, dan kawasan batu kapur.

sifat

Pokok lada pahit jenis renek dan boleh mencapai ketinggian sehingga 10 m. Ranting dan daun mempunyai bulu lembut.

Daunnya jenis majmuk, tersusun secara setentang dan berpilin, bilah daun berbentuk ovat hingga oblong hingga lanseolat. Tepi daun jenis serat atau krenat, hujung daun atenuat, pangkal daun membulat, dan peruratan sekunder daun tidak bercabang. Tidak mempuynyai stipul, tangkai daun pendek.

Jambak bunga pada aksilari, pubesen, terdiiri daripada simos kecil dan seakan akan jenis rasem. Bunga unisex, bersaiz kecil, berwarna putih kehijauan, kemerahan atau ungu.

Buah berisi jenis drup, buah kering berwana hitam-ungu. Biji berbentuk ovoid.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

lada pahit berguna dalam rawatan tradisional untuk merawat bisul
buah lada pahit yang telah kering

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan laporan dari kajian yang dijalankan, kandungan pada biji lada pahit mempunyai 50% minyak tetap dan kajian makmal mendapati bahawa pada bahagian isi bijinya terkandung bajan dikenali sebagai Yatanin dan Yatanosid.

Kandungan lain didapati dalam biji seperti ialah Brucamarin, Brusealin, Brusatol, Bruseantin, Bruseajavanin, Glukosa dan bahan Kosamin. Bahan Yatanin berupaya untuk membunuh protozoa tetapi tidak bertoksik kepada manusia.

Dalam kes lain dilaporkan bahan antioksidannya yang tinggi amat berkesan untuk mengawal dan menghapuskan radikal dalaman badan. Dos yang terkawal juga menentukan sama ada yatanosid bertoksik atau tidak.

Gliukosid kosmin pula dilaporkan mampu untuk membunuh nematod. Ia juga didapati mempunyai kesan antibiotik dan menghalang darah membeku atau likat. Bahan bruseantin berkesan sebagai antiamoeba, antikanser dan antimalaria.

Ia juga dilaprkan amat berkesan penawar tekanan darah tinggi, diabetes, sakit jantung, demam terutama demam denggi, sakit-sakit sendi dan disenteri. Menurut kajian Ketua Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Prof. Mohamed Abdul Majid, pokok ini sememangnya mempunyai khasiat tersendiri dari segi perubatan herba khususnya dalam merawart cirit-birit, demam, penyakit kulit, sakit sendi, anti kanser juga mencairkan kepekatan darah dari kepahitannya.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti yatanin, yatanosid, brucamarin, brusealin, brusatol, bruseantin, bruseajavanin, glukosa dan kosamin.

Farmakologi Tradisional Lada Pahit

Dalam rawatan tradisional, pokok lada pahit memang dikenali sebagai ubat bisul di mana kebanyakan orang di sebelah pantai timur tahu bahawa orang yang berpenyakit bisul akan sembuh selepas memakan buah melada pahit. Dahulu ada kaum wanita yang berpenyakit payudara bernanah menggunakan lada pahit sebagai alternatif rawatan.

Selain itu, lada pahit turut digunakan untuk pelbagai rawatan seperti masaalah darah tinggi, kencing manis, masalah prostat lelaki, gout, demam malaria dan juga sakit kepala.

Tambahan kepada khasiat herba melada pahit seperti ia mampu untuk merawat masaalah sakit sendi, masalah kebas, lengu, lelah, masalah resdung dan juga masalah cirit-birit. Bukan itu sahaja, khasiat herba ini didakwa boleh merawat anti- kanser, batu karang, membantu untuk melancarkan haid dan masalah jerawat. 

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat bisul

Cara 1

Akar lada pahit direbus dan diminum atau dikisar sehingga halus dan dimasukkan ke dalam kapsul. Air rebusan diminum atau kapsul dimakan dua kali sehari (Kelantan).

Cara 2

Buah lada pahit dimakan begitu saja untuk merawat bisul (Terengganu).

Penjagaan kesihatan dalaman lelaki dan wanita

Akar pokok lada pahit dikeringkan dan diracik halus-halus. Segenggam sedian diambil dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum dua kali sehari pada waktu pagi dan malam utnuk meningkatkan kesihatan dalamn lelaki dan Wanita (Kedah)

Penjagaan bagi ibu selepas bersalin

Akar lada pahit dicampurkan dengan akar hempedu beruang, gajah Tarik, gajah beranak, saga guri, kacip Fatimah, api perengguk, ubi jaga, dan lembar batu. Kesemua bahan dibasuh kemudian diracik halus sebelum dijemur sehingga kering. Secekak atau segenggam campuran herba direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum mengikut keperluan selepas empat hari bersalin sehingga habis tempoh pantang (Kedah).

Mengawal aras glukosa dalam darah

Cara 1

Buah lada pahit dijemur sehingga kering kemudian ditumbuk atau dikisar dan diayak. Serbuk yang diayak dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul dimakan sebiji sekali sehari pada waktu malam mengikut keperluan (Kelantan).

Cara 2

Buah lada pahit direbus bersama dengan isi setawar kampung, daun hempedu bumi, daun mas cotek, daun teh cina dan daun limau purut. Air rebusan kemudian  diminum (Negeri Sembilan).

Merawat gastrik

Buah lada pahit dijadikan sebagai satu daripada campuran yang diracik halus dan dikeringkan. Ramuan yang dikeringkan kemudiannya direbus dan diminum dua kali sehari sebelum makan pagi dan sebelum tidur malam (Kelantan).

Mengawal tekanan darah tinggi

Biji lada pahit bersama dengan akar cerita, akar seruntun, dan biji timun pahit dibasuh sehingga bersih dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan tersebut diminum dua kali sehari (Kedah)

Rawatan komplemen kepada masalah jantung

Buah lada pahit dibasuh sehingga bersih kemudian dimakan sekali sehari (Kedah).

Merawat buasir

Cara 1

Biji lada pahit dibasuh sehingga bersih, dibuang kulitnya dan dimakan (Kedah, Terengganu).

Cara 2

Keseluruhan pokok lada pahit direbus bersama dengan keseluruhan pokok cekak biawak, calit murai, dan selayak hitam. Air rebusan diminum dua kali sehari.

Rawatan komplemen kepada masalah ketumbuhan

Akar lada pahit direbus dan diminum atau dikisar sehingga halus dan dimasukkan ke dalam kapsul. Air rebusan diminum atau kapsul dimakan dua kali sehari (Kelantan).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top