pokok limau Kasturi

Jarang orang tidak mengenali pokok ini. Buah limau kasturi mempunyai pelbagai jenis kegunaan. Rasanya yang masam selalu menjadikan dia sesuai sebagai bahan perasa semula jadi dalam masakan. Dalam minuman, ia turut digunakan kerana masyarakat percaya khasiat kesihatan yang banyak dalam buah limau kasturi.  Ia boleh menghilangkan batuk, sakit kepala, mengurangkan lelah, menghilangkan bau badan. Selalunya individu yang ingin menurunkan berat badan, buah limau kasturi sentiasa menjadi pilihan diet yang diamalkan oleh mereka.

Klasifikasi

Family: Rutaceae

Genus: Citrus

Species:   Japonica

(Sinonim : Citrus macrocarpa bunge )

Nama Saintifik

Citrus japonica

Nama lain

Limau kasturi, limau cuwit

habitat

Biasanya ditanam dan selalu digunakan sebagai perasa makanan atau minuman.

sifat

Pokok limau kasturi sederhana kecil yang boleh mencapai ketinggian sehingga 4 m. Batangnya kurus dan kecil, sedikit berduri, bercabang dan dahannya menegak.

Daun tersusun berselang, berbentuk eliptik hingga obovat, pangkal daun akut, tepi daun sedikit krenulat, hujung daun retus, sedikit berlekuk, oermukaan atas daun berkilat dan berwarna hijau gelap, permukaan bawah daun agak pudar, beraroma apabila diramas. Tangkai daun sedikit bersayap dan marginat.

Jambak bunga pada aksilari atau terminal, bunga berwarna putih, berbau harum, kaliks bunga bergigi lima, petal lima, filamen bergabung dalam satu tiub.

Buah jenis beri, berbentuk subglobos hingga globos dan rata pada bahagian hujung buah, bertukar kepada warna kuning kehijauan hingga merah jingga apabila masak. Mempunyai rasa masam. Bijinya kecil dan berbentuk obovoid.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Buah Limau kasturi sering dijadikan sebagai perasa dalam makanan dan minuman
buah limau kasturi yang masak berwarna kekuningan dan hijau tua sebelum masak.

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Hasil kajian yang dijalankan, limau kasturi mengandungi phloretin iaitu bahan yang bersifat anti oksida. Malah kandungannya jauh lebih banyak dari buah epal dan the hijau. Kandungan vitexin yang ada juga bagus bagi mencegah penyakit jantung dan kanser.

Ia juga mempunyai kandungan feluric acid. Bahan ini sering dikaitkan dengan proses melambatkan penuaan dengan mengurangkan kedutan pada kulit.

Sumber vitamin C yang tinggi dalam buah limau kasturi mampu menguatkan sistem imun badan, meningkatkan penghasilan kalogen bagi kulit dan bersifat anti radang.

Kandungan unsaturated fatty acids mengurangkan kandungan kolesterol darah seterusnya mencegah daripada penyakit kardiovaskular.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, saponin, tannin, phoretin, feluric acid, vitamin C, unsaturated fatty acids.

Farmakologi Tradisional Pokok Limau kasturi

Di Malaysia, buah limau kasturi sering digunakan untuk mengurangkan lelah, menghilangkan bau badan, menurunkan berat badan, menghilangkan sakit kepala dan batuk.

Bagi lelaki, ia mampu menguatkan stamina dengan menggunakan buah limau kasturi. Ia merupakan satu bahan detox yang baik untuk kesihatan.

Buah limau kasturi banyak dihasilkan sebagai produk. Ada antaranya untuk mengurangkan kelemumur, daun juga sebagai salah satu kandungan dalam bahan pencuci. Ia mampu menghilangkan kotoran  pada permukaan. Ia juga mampu untuk mencantikkan kulit.

Cara guna (perubatan traditional)

Mengawal tekanan darah tinggi

Cara 1

Sebiji limau kasturi dibuat jus bersama dengan segelas air dan diminum sekali sehari pada waktu pagi sahaja (Selangor).

Cara 2

Secekak daun limau kasturi dicampurkan dengan tiga gelas air, direbus sehingga tinggal segelas air kemudian air rebusan diminum (Selangor).

Cara 3

Buah limau kasturi dikisar kemudian dicampurkan dengan gula batu untuk diminum dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam (Selangor).

Melegakan batuk

Sebiji limau kasturi yang dibuang biji diperahkan ke dalam gelas dan dicampurkan dengan sedikit kicap, diminum sehingga sembuh (Perak).

Merawat paru-paru berair

Segenggam daun dan kulit buah limau kasturi direbus dan diminum dua kali sehari sehingga sembuh (Kelantan).

Penjagaan kesihatan dalaman

Perahan limau kasturi dicampurkan bersama dengan isi lempoyang dan kunyit yang ditumbuk kemudian ditambah madu. Ramuan ini diminum tiga kali sehari (Johor).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Tiga helai daun limau kasturi direbus bersama dengan lima helai daun lengkuas, tiga batang serai, tiga helai daun pandan, dan lima helai daun senduduk menggunakan seperiuk air. Air rebusan digunakan sebagai air mandian, dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang selama tempoh pantang bersalin (Johor).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top