pokok mahkota dewa

Pokok mahkota dewa tidak perlu diperkenalkan lagi kerana banyak khasiat yang diperolehi daripadanya. Buahnya banyak digunakan dalam rawatan tradisional dan ia juga diproses untuk dijadikan sebagai minuman kesihatan. Pasaran menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap pokok mahkota dewa di mana ia mudah diperolehi kerana sering dijadikan tanaman di sekitar rumah untuk digunakan bagi pelbagai jenis kegunaan seperti meredakan sakit kepala, demam, batuk, alergi. Ia juga mampu mengawal aras kolesterol di dalam badan bagi mengurangkan risiko sakit jantung.

Klasifikasi

Family:  Thymelaeaceae

Genus: Phaleria

Species:  Macrocarpa

Nama Saintifik

Phaleria macrocarpa

Nama lain

Mahkota dewa, makuto dewa

habitat

Tumbuhan yang biasanya ditanam sebagai pokok hiasan di kawasan halaman rumah.

sifat

Tumbuhan renek, berdahan banyak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 6 m. Batang jenis berkayu, lapisan dalam kayu berwarna putih, dan kulit batang berwarna perang kehijauan.

Daun tersusun bertentangan, berbentuk ovat hingga eliptik, tepi daun licin, hujung daun akuminat dan permukaan daun licin tidak berbulu.

Mempunyai jambak bunga pada aksilari. Bunganya kecil, berwarna putih, berbentuk trompet, dan beraroma.

Buah mahkota dewa bewarna hijau dan bertukar menjadi merah apabila masak. Biji berbentuk bujur, berwarna perang pada bahagian luar, berwarna putih di bahagian dalam dan dipercayai merupakan bahagian tumbuhan yang sangat beracun

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Buah mahkota dewa apabila masak
Pokok mahkota dewa menghasilkan buah yang mempunyai banyak khasiat

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian menemui bahawa daun dan biji mahkota dewa mempunyai sifat anti bakteria kerana kandungan komponen flavanoid, saponin, polifenol dan tanin di dalamnya yang mampu mencegah aktiviti bakteria seperti Bacillus cereus, Bacillus subtilis, Eschericia coli.

Buahnya juga bersifat anti inflamasi, anti oksida disebabkan oleh kandungan flavanoid dan fenolik yang tinggi. Kaemferol merupakan kandungan yang ada di dalam buah mahkota dewa di mana berfungsi untuk mengawal tekanan darah. Ia berkebolehan untuk mengembangkan salur darah lalu menurunkan paras tekanan.

Satu kajian terhadap haiwan telah dijalankan menemukan yang buah mahkota dewa mampu untuk meningkatkan bilangan sperma haiwan

Bagi rawatan anti kanser, daun dan buah mahkota dewa digunakan di mana kajian menemui kandungan phalerin, gallic acid yang mampu mengurangkan perkembangan tumor di dalam sel payu dara.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, steroids, phenols, asid lemak, terpenoid

Farmakologi Tradisional Pokok mahkota dewa

Masyarakat Melayu percaya bahawa pokok mahkota dewa sangat berguna untuk merawat peyakit diabetes, darah tinggi, merawat kanser. Mereka sering menggunakan bahagian isi buah mahkota dewa samada ia dikeringkan atau direbus. Bahagian lain yang digunakan turut melibatkan daun dan kulit buah mahkota dewa.

Di Indonesia, air rebusan daun mahkota dewa digunakan untuk merawat kanser hati dan juga untuk melindungi hati. Pengambilan secara berkala dikatakan mampu mengurangkan kesan sampingan daripada rawatan kemoterapi sekaligus dapat kurangkan pertumbuhan kanser. Ia juga mampu mengurangkan radang yang berlaku dalam badan terutamanya radang kulit, ekzema dan jerawat.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat cirit birit

Tiga hingga tujuh helai daun mahkota dewa dibersihkan dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum satu cawan, dua kali sehari, pada waktu pagi dan petang sehingga sembuh (Kedah).

Mengawal tekanan darah tinggi

Cara 1

Buah mahkota dewa diracik, dikeringkan, dicampurkan bersama-sama tiga helai daun hempedu bumi dan direndam di dalam air panas sehingga suam. Air rendaman diminum sekali sehari dalam masa sebulan (Johor)

Cara 2

Buah mahkota dewa dipotong, dibersihkan dan dikeringkan. Hirisan buah yang telah kering direbus dengan satu jag air sehingga menjadi ½ jag. Air rebusan kemudiannya diminum 1-3 kali sehari. Biji buah mahkota dewa hendaklah dibuang (Kedah, Perak, Terengganu)

Cara 3

Buah mahkota dewa dikeringkan dan disangai sehingga garing kemudian direbus dengan lima helai daun tapak dewa sehingga mendidih,. Air rebusan diminum tiga kali sehari sehingga sembuh (Selangor)

Cara 4

Lima belas helai daun mahkota dewa direbus dengan kuantiti air yang sama banyak dengan aras daun. Air rebusan diminum ½ cawan sekali sehari pada waktu pagi (Kedah)

Melegakan sakit tulang belakang

Buah mahkota dewa dicampurkan bersama-sama keseluruhan bahagian semalu, sedikit akar lalang dan keseluruhan bahagian kaduk. Kesemua bahan direbus dengan tiga cawan air sehingga mendidih dan dibiarkan susut menjadi satu cawan air. Air rebusan diambil dua atau tiga sudu, dicampurkan di dalam air biasa dan diminum. Pengambilannya tiga kali sehari, selepas makan, pada waktu pagi, petang dan malam sehingga sembuh (Pahang)

Merawat gout

Buah mahkota dewa yang telah dihiris dicampurkan dengan segenggam daun mas cotek jantan dan betina yang telah dikeringkan. Kesemua bahan direbus dengan tiga gelas air sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman sehingga sembuh (Melaka)

Kesan sampingan

Bahagian putih dalam buah mahkota dewa dikatakan sangat beracun yang boleh menyebabkan pening dan kekejangan (bola.com)

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top