pokok manggis

Buah manggis sentiasa menjadi pilihan apabila musim buah tiba. Tekstur isinya lembut. Rasanya juga manis. Pokok manggis selalunya ditanam oleh masyarakat Melayu kerana ia jenis rendang dan sering dijadikan sebagai tempat berteduh pada waktu petang. Tumbuhan ini jenis saka dan menghasilkan buah setiap tahun. Bagi kegunaan tradisional, pokok manggis digunakan untuk menghilangkan parut, merawat kudis, gout, dan buasir, mengawal tekanan darah tinggi dan juga mengawal aras glukosa di dalam darah.

Klasifikasi

Family: Rutaceae

Genus: Garcinia

Species:  Mangostana

Nama Saintifik

Garcinia mangostana

Nama lain

Manggis (Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Selangor, Perlis, Perak), semete (Terengganu), manggusta, manggustan, masta, mesta, plesemeta, gamus, gamush.

habitat

Pokok ini biasanya ditanam sebagai pokok buah-buahan.

sifat

Ketinggian pokok manggis boleh mencapai sehingga 12-20 m. Mempunyai dahan yang banyak, padat, dan tersusun secara dekusat. Rantingnya berbentuk bersegi.

Daun tersusun setentang, berbentuk eliptik, pangkal daun berbentuk kuneat lebar, hujung daun berbentuk akuminat, permukaan daun berkilat, dan urat tengah daun timbul pada kedua-dua belah permukaan.

Jambak bunga pada aksilari. Bunga jantan agak jarang dan biasanya bergugus dihujung ranting manakala bunga betina tersusun secara tunggal atau berpasangan. Bunga mempunyai empat petal yang berwarna putih merah jambu dan empat sepal yang bersifat kekal.

 

Buah jenis beri, berbentuk globos, berwarna ungu merah apabila masak, dan kadan-kadang berwarna kuning perang berbintik. Mempunyai 4-7 biji, ditutupi dengan isi buah yang berwarna putih.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Buah manggis yang sering menjadi tumpuan apabila tiba musim buah
buah manggis mampu mengawal aras glukosa darah

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Sebatian semulajadi yang wujud dalam pokok manggis antaranya ialah xanthones dan benzophenones. Kedua-dua bahan ini digunakan untuk mengatasi masalah radang di dalam badan melibatkan system saraf, arthritis, kanser, system pencernaan, kulit dan masalah otot.

Selain itu, xanthones juga dilaporkan menpunyai banyak aktiviti biological seperti anti microbial, anti malaria, anti radang, anti tumor, anti cancer, anti oksidant, dan anti diabetic. Kandungan bahan ini ada di dalam buah, daun, batang dan ranting.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti xanthones, benzophenones

Farmakologi Tradisional Pokok Manggis

Bagi masyarakat Cina, mereka sering makan buah manggis bersama buah durian. Ia kerana buah durian sinonim kepada peningkatan suhu badan apabila diambil secara berlebihan. Pada masa yang sama, buah manggis mampu bertindak sebagai agen yang mampu menyejukkan badan.

Bagi kebanyakan negara Asia, kulit dan batang pokok manggis menjadi kegunaan penting untuk merawat diarrhea dan disenteri.

Orang melayu menggunakan air rebusan akarnya untuk merawat kitaran haid yang tidak teratur. Di Indonesia, kulit kayu dan daun digunakan untuk merawat demam.

Thailand menggunakan bahagian kulit buah manggis  untuk merawat jangkitan kulit, luka.

Cara guna (perubatan traditional)

Mengawal tekanan darah tinggi

Cara 1

Daun manggis direbus dan air rebusan diminum sekali sehari (Kedah).

Cara 2

Pucuk manggis dikeringkan bersama-sama pucuk ceri dan upih pinang. Kesemua bahan direbus dan air rebusan diminum dua kali sehari setiap pagi (Perak).

Cara 3

Tujuh helai daun manggis direbus bersama-sama sejemput akar manggis dan sejemput akar kaduk. Air rebusan boleh diminum pada bila-bila masa (Terengganu).

Merawat kudis

Kulit pokok manggis dijadikan satu daripada ramuan dalam ubat serbuk yang dicampurkan dengan gel petroleum untuk dijadikan ubat sapu (Kelantan).

Menghilangkan parut

Kayu batang manggis dibakar sehingga keluar buih di hujung kayu. Ambil buih tersebut dan disapukan di bahagian yang berparut sekali sehari sehingga kesan parut hilang (Terengganu).

Merawat luka (komplikasi kencing manis)

Kulit pokok manggis direbus bersama-sama batang patawali, kulit batang ketereh, kulit batang serai kayu dan kulit batang sentang. Air rebusan disuamkan seketika dan digunakan untuk merendam bahagian badan yang bermasalah akibat penyakit kencing manis (Kelantan).

Merawat gout

Kulit manggis diasah dan disapukan pada bahagian gout. Sapuan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa (Terengganu).

Merawat buasir

Kulit daripada sebiji buah manggis dipotong halus bbersama-sama setengah sudu kecil getah pokok sena, satu sudu kecil madu lebah, separuh cekak akar sekecut dan sebiji kulit buah delima. Kesemua bahan direbus dengan kuantiti air yang boleh diminum. Air rebusan diminum sekalis sehari setiap pagi sehingga sembuh (Johor).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top