pokok mertajam

Pokok mertajam kelihatan seperti pokok rambutan. Pucuknya sering dijadikan ulaman dalam hidangan. Ia dipercayai mempunyai pelbagai khasiat antaranya ialah meredakan demam panas, demam campak, merawat kayap, penyakit kulit, memecahkan batu dalam hempedu, mengawal tekanan darah tinggi, mengawal aras glukosa dalam darah dan juga merawat kecacingan. Buahnya sering dimakan oleh kanak-kanak dan tidak mempunyai kesan sampingan berdasarkan kajian yang dijalankan.

Klasifikasi

Family: Sapindaceae

Genus: Lepisanthes

Species:  Rubiginosa

Nama Saintifik

Lepisanthes rubiginosa

Nama lain

Mertajam (Kedah, Pulau Pinang, Perlis), mentajam (Kedah, Perlis), mengtajam, terajang (Kelantan, Pahang)

habitat

Selalunya dijumpai tumbuh di kawasan pesisir pantai dan juga tumbuh dihutan tanah pamah hingga ketinggian 1000 m dan biasanya ditanam di kawasan tepi jalan di sekitar kampung. Buah boleh dimakan dan pucuk muda boleh dijadikan ulam.

sifat

Pokok mertajam boleh mencapai ketinggian 10 m. Kulit batangnya berwarna perang gelap, merekah, dahan muda berbulu padat dengan lapisan tomentos berwarna karat.

Daun majmuk, rakis daun berbulu, mempunyai 4-6 pasang anak daun. Anak daun tersusun bertentang atau separa bertentang, pasangan anak daun pertama bersaiz lebih kecil dan semakin membesar ke arah hujung daun, anak daun berbentuk eliptik, tepi daun licin, hujung akut.

Jambak bunga pada terminal, jenis resemos majmuk, bercabang sekali sahaja. Berbunga padat pada bahagian atas cabang. Bunga berbau, mempunyai lima sepal dan berbulu pada permukaan luar daun, empat petal berbentuk obovat.

Buah berbentuk elipsoid, berwarna kuning kemudian bertukar hingga jingga,merah ceri, ungu hingga kehitaman apabila masak.

cara pembiakan

Keratan batang

Daun pokok mertajam seakan daun pokok rambutan
Buah pokok mertajam apabila masak

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Laporan awal kajian yang dijalankan menemui kehadiran bahan aktif dalam pokok mertajam seperti alkaloid, flavanoid, phenolics, tannins, saponin, glycosides dan steroids. Kesemua bahan-bahan ini ditemui dari ekstrak daunnya.

Aktiviti anti-hyperglycemic  disebabkan oleh tinggi kehadiran flavanoid dan phenolics. Minyak semula jadi yang diperolehi dari ekstrak bunga menunjukkan pokok ini mempunyai aktiviti anti kanser (paru-paru), anti oksidan, anti mikrobial. Bagi anti kanser, ia disebabkan oleh kehadiran tannins.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti flavanoids, phenylbutanoids, glycodises, zerumbone, steroids, saponins, tannins, alkaloids, essential oils.

Farmakologi Tradisional Pokok Mertajam

Dalam perubatan tradisional, daun dan kulit batang pokok mertajam mengeluarkan buih seperti sabun bila dihancurkan dan boleh digunakan untuk membasuh tangan seperti sabun.

Buahnya juga dicampurkan bersama bedak sejuk dan digunakan secara tradisional untuk melicinkan kulit muka. Tumbuhan ini selamat ditanam di kawasan rumah kerana buahnya tidak beracun dan boleh dimakan serta digemari oleh kanak-kanak.

Di Malaysia, pokok mertajam digunakan untuk meredakan demam panas, merawat kecacingan, merawat ruam tekak, ramuan minyak urut, merawat kayap, penyakit kulit, memecahkan batu dalam hempedu, mengawal tekanan darah tinggi, mengawal aras glukosa dalam darah dan juga rawatan komplemen kepada masalah ketumbuhan

Cara guna (perubatan traditional)

Meredakan demam campak

Cara 1

Lima tangkai daun mertajam diramaskan di dalam air. Air tersebut dijadikan mandian sekali sehari (Kedah).

Cara 2

Akar mertajam diasah di bahagian belakang pasu atau batu dan ditambah dengan sedikit air. Sapukan bahan yang telah diasah di seluruh bahagian badan tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam sehingga sembuh (Kedah).

Meredakan demam

Tiga urat akkar daripada setiap pokok mertajam, nangka bubuk dan star dibersihkan, dikeringkan dan dipotong kecil. Kesemua bahan direbus dengan satu jag air sehingga menjadi setengah jag air. Air rebusan diminum dua kali sehari (Kedah).

Mengurangkan jerawat

Beberapa helai pucuk halban direbus dan air rebusan diminum mengikut keperluan pesakit (Pahang).

Merawat kecacingan

Secekak daun mertajam direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari (Kelantan).

Merawat kayap

Segenggam akar daripada setiap pokok mertajam, bunga melur, bunga raya putih dan bayam duri dibersihkan. Kesemua bahan diasah, ditambah dengan sedikit air dan disapu di bahagian yang terkena kayap (Pulau Pinang).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top