Pokok Nipah

Pokok nipah dianggap sebagai pokok serba guna seperti pokok kelapa. Boleh dikatakan semua bahagian pokok nipah digunakan untuk pelbagai tujuan terutamanya bagi kesihatan. Ia dikategorikan jenis pokok palma. Pucuk pokok nipah dijadikan sebagai rokok daun. Daunnya juga sering digunakan sebagai atap rumah. Buah dan bunganya boleh dimakan dan selalu dijadikan sebagai kerabu dalam menu makanan. Tambahan, manfaat yg umum diketahui bahawa tandan nipah mampu mengeluarkan air tuak yang dijadikan sebagai minuman. Sekiranya diperam lebih lama, ia sesuai bagi menghasilkan cuka yang sering digunakan untuk merawat kencing manis, gout dan darah tinggi.

Klasifikasi

Family: Arecaceae

Genus: Nypa

Species: Frutican Wurmbs

Nama Saintifik

Nypa frutican wurmbs

Nama lain

Nipah (Kedah, Selangor, Terengganu)

habitat

Tumbuhan ini banyak ditemui di kawasan muara sungai dan laut

sifat

Jenis palma, berketinggian 4-10 m, berumpun, tidak berbatang, diameter hingga 60 cm, membentuk satu koloni yang besar.

Daun tumbuh secara tegak, keras, helai daun mencapai ketinggian sehingga 9 m panjang, 57-100 anak daun, tidak tersusun secara teratur, bahagian bawah daun berdebu.

Jambak bunga tumbuh secara menegak, berketinggian sehingga 2 m.

Buah berwarna coklat, tumbuh di atas perbuahan berbentuk sfera, setiap satu berbentuk ovoid.

cara pembiakan

Keratan batang

Daun nipah sesuai dijadikan sebagai atap rumah
Pokok nipah selalunya digunakan untuk menghasilkan cuka nipah

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan penemuan hasil kajian yang dijalankan, daun pokok nipah mengandungi bahan aktif seperti phenol dan flavonoid. Ia mempunyai aktiviti anti oksidan. Tandan pokok nipah yang menghasilkan cuka juga mempunyai aktiviti farmakologi antaranya ialah antihipersensitif, antibakterial, antidiabetik.

Penggunaan cuka yang berkala boleh merawat pelbagai jenis penyakit seperti jangkitan bakteria, demam, kencing manis dan masalah gastrointestinal.

Ia mempunyai kandungan vitamin C di mana ia mampu mengawal kandungan bahan radikel bebas yang terhasil di dalam badan. Bahan ini mampunya menyebabkan Tindakan berantai dalam pembentukan sel kanser. Ia menjadikan seseorang mudah menghidap keradangan, arterosklerosis dan penuaan.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, saponin, tannin.

Farmakologi Tradisional Pokok Nipah

Pucuk nipah boleh dijadikan rokok daun. Daun pokok nipah yang tua pula digunakan sebagai atap rumah.  

Bunga nipah dan buah nipah yang masih muda amat sedap dijadikan sebagai kerabu. Buah nipah yang mempunyai isi matang boleh dimakan begitu sahaja kerana rasanya yang manis seakan buah rambutan.

Mengikut amalan orang tua-tua dahulu, batang nipah sekiranya dikikis dan serbuk itu boleh membantu menghentikan pendarahan luka.

Disamping itu juga, akar nipah juga dikatakan boleh merawat darah tinggi dan juga kencing manis. Namun begitu, hal ini belum dapat dipastikan kerana tiada kajian yang terperinci yang dilakukan.

Manfaat yang paling umum ketahui ialah tandan nipah mengeluarkan air yang dikenali sebagai tuak ataupun nira yang juga akan menghasilkan cuka sekiranya diperam lebih lama. Cuka nipah sering digunakan oleh orang ramai untuk merawat kencing manis, batu karang, darah tinggi dan juga gout. Nira ini juga dapat menghasilkan manisan nipah. 

Cara guna (perubatan traditional)

Mengawal tekanan darah tinggi

Cara 1

Air buah nipah yang masam dibiarkan selama 40 hari kemudian diminum dan diamalkan sehingga sembuh.

Cara 2

Bunga nipah bersama-sama sekeping kulit batang gajus dan secekak akar paya bakau(yang tidak mencecah tanah) direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum dua kali sehari selama seminggu (Kedah).

Cara 3

Buah nipah muda dicenceng, dijemur sehingga kering, dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman dan diamalkan sehingga sembuh (Terengganu).

Merawat bisul

Buah nipah yang telah diperam menjadi cuka dicampurkan bersama-sama ½ cawan tepung ubi dann dikacau sehingga sebati kemudian disapukan pada bahagian bisul sehingga sembuh (Kedah).

Merawat kayap

Buah nipah yang telah diperam menjadi cuka dicampurkan bersama-sama ½ cawan tepung ubi dan dikacau sehingga sebati kemudian disapukan ke bahagian kayap sehingga sembuh.

Meredakan bengkak kaki

Buah nipah yang telah diperam menjadi cuka dicampurkan bersama-sama ½ cawan tepung ubi dikacau sehingga sebati kemudian disapukan pada bahagian kaki yang bengkak sehingga sembuh (Kedah).

Mengawal glukosa di dalam darah

Cara 1

Buah nipah muda dicencang, dijemur sehingga kering dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman dan diamalkan sehingga sembuh (Terengganu).

Cara 2

Setangkai nipah muda direbus kemudia air rebusan dijadikan minuman dan diamalkan sehingga sembuh (Kedah).

Cara 3

Bunga nipah bersama-sama sekeping kulit pokok gajus dan secekak akar paya bakau yang tidak mencecah tanah direbus sehingga mendidih, air rebusan diminum dua kali sehari selama seminggu (Kedah).

Rawatan komplemen kepada masalah batu karang

Air daripada buah nipah dijadikan minuman harian sehingga sembuh (Selangor).

Rawatan komplemen kepada masalah ketumbuhan payudara

Buah nipah yang telah diperam menjadi cuka dicampurkan bersama-sama ½ cawan tepung ubi dan dikacau sehingga sebati kemudian disapukan pada bahagian payudara sehingga sembuh (Kedah).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top