Pokok Serai Kayu

Serai kayu satu dari tumbuhan yang boleh dikatakan popular dalam masyarakat. Selalunya ditanam di Kawasan kampung. Ramai yang keliru disebabkan nama mirip kepada serai yang sering menjadi bahan utama dalam masakan. Tetapi ianya sebenarnya berbeza. Di Kelantan, menu popularnya nasi kerabu sering menggunakan serai kayu sebagai ramuan utama bersama timun dan taugeh. Bahagian pucuk mempunyai banyak khasiat antaranya ialah untuk penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol, cirit-birit, demam, kudis, bisul, gout dan awet muda.

Klasifikasi

Family: Myrtaceae

Genus: Syzygium

Species: Polyanthum

Nama Saintifik

Syzygium polyanthum

Nama lain

Serai kayu (Kedah,Kelantan, Terengganu), salam (Johor), samak (Kedah, Kelantan), semamak (Kedah), kelat putih, kelat merah, kelat samak, jambu hutan, pokok palung, daun salam, palung.

habitat

Biasanya ditemui tumbuh di kawasan hutan tanah pamah atau kawasan kampung.

sifat

Pokok serai kayu adalah sederhana besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 25 m. Batangnya lurus, berdahan banyak.

Daunnya berbentuk eliptik-lanseolat, hujung daun berbentuk akuminat, pangkal daun akut, daun kering berbau wangi.

Jambak bunganya pada aksilari. Bunga berwarna putih, kaliks bunga berwarna merah susu dan bertukar merah apabila matang, dan bunga berbau wangi.

Buah bersaiz kecil, jenis beri, berwarna merah dan bertukar coklat apabila matang sepenuhnya.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

pokok serai kayu mudah tumbuh apabila tanam
Pucuk serai kayu sering digunakan dalam masakan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Hasil dapatan kajian yang dijalankan, daun serai kayu mempunyai nilai teraputik dalam rawatan antaranya antidiabetic, antihipertensive, anti microbial, anti oksidan, anti cancer, anti tumor, anti diarrheal, pencegah pembentukan plak gigi.

Kandungan aktif berdasarkan laporan penyelidikan menemui kehadiran tannins, alkaloids, steroids, triterpenoids,  dan flavonoid.

Kajian yang sama juga menyerlahkan kehadiran beberapa sebatian bioaktif dengan pelbagai aktiviti farmakologi seperti hentriacontane (anti-inamatori), asid palmitik (anti-inflamasi dan antibakteria), nerolidol (anti-infamatori, antinociceptive, antikulat, dan antiulser), linalool (antibakteria, anti-inflamasi, antidiabetik, dan hepatoprotektif), dan α-pinene (anti-inflamasi, antibakteria, dan hipotensi).

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti tannins, alkaloids, steroids, triterpenoids,  dan flavonoid.

Farmakologi Tradisional Pokok Serai Kayu

Di Eropah dan kawasan negara Mediterranean, daun serai kayu ini lazimnya dikeringkan dan digunakan sebagai penambah perisa kepada masakan terutama dalam sos, sup, stew dan masakan berunsurkan makanan laut, sayur serta daging.

Tidak ketinggalan, dalam masakan Arab, India dan Pakistan. Antaranya, digunakan untuk menambah keenakan rasa dalam masakan nasi beriani dan bahan dalam garam masala (rempah ratus).

Di Kelantan dan Terengganu, daun serai kayu ini banyak digunakan dalam masakan seperti laksam dan dijadikan ulam untuk dimakan bercicahkan budu.

Serai kayu sesuai dimakan oleh penghidap kencing manis serta darah tinggi. Air rebusannya agak kelat dan didakwa mampu menurunkan kadar gula dalam darah.

Cara guna (perubatan traditional)

Ramuan minyak urut

Daun serai kayu Bersama-sama pandan, sirih, sembung, limau purut, senduduk, jambu, serigan, inai, lempoyang, serai wangi, daun halia, daun tebu hitam, daun sup, daun kunyit, mengkudu, dinding, habatus sauda dan peria katak dimasak dengan minyak (Johor).

Penjagaan bagi ibu selepas bersalin

Akar serai kayu dijadikan satu daripada bahan dalam penyediaan air rebusan. Air rebusan diminum tiga kali sehari selama tiga hari (Kedah).

Mengecutkan peranakan

Akar serai kayu direbus bersama-sama kacip Fatimah, sekati lima, gajah beranak, teja lawing, lirik merah. Air rebusan diminum dua kali sehari (Kedah).

Merawat bentan

Pokok serai kayu dibersihkan dan direbus. Air rebusan boleh diminum empat hingga lima kali sehari seperti amalan meminum air biasa. Bahan rebusan boleh diulang rebus 2-3 kali (Kelantan).

Merawat keracunan makanan

Segenggam pucuk seraui kayu dibersihkan, ditumbuk, diperah ke dalam cawan dan ditambah dengan sedikit air. Air diminum ¼ gelas seminggu (Kelantan).

Melegakan sakit urat

Segenggam daun serai kayu direbus bersama-sama kulit dan batang pokok sepang kederang. Air rebusan diminum apabila perlu sahaja (Terengganu).

Melegakan sakit lutut

Akar serai kayu bersama-sama tongkat ali, serai wangi, meti putih, meti hitam, dan akar sendi dibersihkan dan dijemur sehingga kering. Kesemua bahan direbus kemudian air rebusan diminum dua kali sehari (Kedah).

Merawat kecacingan

Seikat pucuk serai kayu digenggam, dipotong pada bahagian hujung daun, diramas di dalam pasu yang mempunyai air dan digunakan untuk membasuh kepala kanak yang mengalami masalah kecacingan (Terengganu).

Merawat kudis

Daun serai kayu dijadikan satu daripada ramuan untuk dicampurkan dengan gel petroleum untuk disapukan pada bahagian yang berkudis (Kelantan).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top