Putat

Terdapat dua jenis putat yang selalunya dijadikan ulam oleh masyarakat Melayu iaitu putat hijau dan putat merah. Selain dari pucuk, buahnya juga boleh dijadikan ulam. Ulam pucuknya mampu memulihara kulit daripada penyakit gatal. Buahnya pula yang mempunyai rasa kelat perlu dikopek dan dihiris-hiris sebelum dimakan begitu saja atau dibuat sambal. Ekstrak biji terbukti secara saintifik mempunyai sifat anti kanser. Di Kerala India, bijinya digunakan untuk merawat pelbagai penyakit yang menyerupai kanser (ketumbuhan). Sementara itu, kulit batang putat boleh mengubati resdung.

Klasifikasi

Family: Lecythidaceae

Genus: Barringtonia

Species:

Racemosa

Nama Saintifik

Barringtonia Racemosa

Nama lain

Putat (Kelantan, Kedah, Selangor, Terengganu), putat padi, putat kampung, putat darat, putat kedul, putat ayam, putat ayer, putat anying.

habitat

Pokok ini boleh ditemui di hutan primer dan hutan sekunder, di semenanjung Malaysia, di kawasan berpaya dan juga kawasan paya bakau. Tumbuh dengan baik di kawasan tanah yang sedikit masin atau di kawasan pantai.

sifat

Pokok sederhana besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 27 m. Batangnya berwarna kelabu perang, kulit batang licin atau merekah dan dahan bersifat berjuntai.

Daun tersusun berpilin, berbentuk obovat-oblong, pangkal daun berbentuk baji atai kuneat, hujung daun berbentuk akut hingga akuminat, tepi daun serat-krenulat dan tangkai daun bersayap.

Jambak bunga pada terminal atau terbit di ketiak daun yang gugur, jenis rasem atau spika panjang, dan berjuntai. Kaliks bunga berbentuk tiub, bersifat akresen, dan berwarna merah. Petal empat, berbentuk eliptik, cembung, berwarna putih atau kadang-kadang berwarna merah. Stamen dan stil panjang berwarna putih, merah jambu, ungu atau merah.

Buah jenis beri, berbentuk ovoid, bersegi empat, trunkat, tirus pada pangkal. Biji berbentuk ovoid.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji

daun dan buah putat mempunyai banyak khasiat
daun putat popular sebagai ulaman

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan, akarnya telah dilaporkan mempunyai aktiviti antibakteria terhadap beberapa strain gram positif dan gram bakteria negatif. Ia juga berpotensi sebagai agen anti tumor menggunakan ekstrak biji di mana ia memberi kesan yang lebih baik daripada vincristine.

Selain itu, ia juga mempunyai aktiviti analgesik di mana ia dapat mengurangkan kesakitan. Ia juga mampu berfungsi sebagai anti oksidan dan juga anti radang. Aktiviti anti fungal dilaporkan banyak pada bahagian daun dan kulit.

Mycobacteria merupakan sejenis bakteria yang menyebabkan penyakit tuberklorosis. Penilaian berdasarkan penggunaan daun putat dapat mengurangkan kesan tuberklorosis.

Kehadiran bartogenic acid dalam ekstrak buahnya mengurangkan risiko arthiritic. Kajian pada tahun 2013, kulit pokok putat mengurangkan kesan diarrhoea.

Pokok ini juga dikaitkan sebagai racun bagi binatang seperti ikan di mana ia mampu untuk mematikan ikan. Ia disebabkan oleh kehadiran kandungan saponin dan tannins.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti bartogenic acid, saponin, tannins

 

Farmakologi Tradisional Putat

Kebanyakan pokok yang pucuknya boleh dibuat ulam, adalah baik untuk kesihatan kulit, melancarkan darah dan memberi banyak manfaat kepada golongan lelaki mahupun wanita. Putat adalah herba yang sesuai diamalkan untuk awet muda.

Selain itu, buahnya boleh diparut untuk dibuat jus minuman ataupun ditampalkan pada bahagian muka bagi melicinkan kulit.

Akarnya yang direbus dan diminum air rebusannya dipercayai boleh mengurangkan keputihan dan menghilangkan ketagihan dadah. Akar Putat juga boleh menyejukkan badan kerana ia mengandungi saponin.

Di India, buahnya popular untuk mengubati gatal-gatal kulit, cacar air dan bengkak di kulit. Kulit batang pula dapat mengurangkan komplikasi resdung. Caranya ialah kopek kulit batangnya dan jemur sehingga kering. Kemudian bakar dan sedut melalui hidung sehingga keluar air lendir. Ulangi setiap hari sehingga sembuh penyakit resdung.

Walaupun rasanya agak pahit namun ia mengandungi khasiat yang baik untuk mencuci darah, menghilangkan rasa pening kepala, mengecutkan rahim serta baik untuk darah tinggi.

 

Cara guna (perubatan traditional)

Mengawal tekanan darah

Pucuk daun putat dijadikan sebagai ulam atau sayur dan boleh diamalkan selalu (Selangor).

Membuang angin dalam badan

Pucuk daun putat dijadikan sebagai ulam atau sayur dan boleh diamalkan selalu (Selangor).

Merawat buasir

Biji buah putat yang segar diasah pada belakang pasu dan disapukan pada bahagian buasir (Kedah).

Merawat kudis

Daun putat dan daun rambutan jantan ditumbuk dan ditampal pada bahagian yang berkudis. Kaedah ini diamalkan sehingga sembuh (Kelantan).

Mengawal aras glukosa dalam darah

Pucuk daun putat dijadikan sebagai ulam atau sayur dan boleh diamalkan selalu (Selangor).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top