PS Herbs
Natural Remedies
Menghargai anugerah Ilahi, kami bertekad untuk terus mengkaji, meneliti, dan merekodkannya demi manfaat generasi akan datang.
Ditubuhkan pada 12 Mac 2017

Mohd Amin Abdullah
Pengasas dan Pengkaji
(Founder and Researcher)
minat terhadap perubatan herba
Minat saya terhadap perubatan herba mula berputik apabila tiga penyakit yang saya hidapi gagal disembuhkan melalui rawatan konvensional — namun pulih sepenuhnya dengan penggunaan ubat herba.
Pengalaman peribadi ini membuka mata saya bahawa tumbuhan di sekeliling kita merupakan anugerah Ilahi yang amat bernilai, dan sesuatu perlu dilakukan untuk memanfaatkannya.
Dengan tekad yang kuat, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan perniagaan yang selama ini menjadi sumber pendapatan utama, lalu menumpukan sepenuh masa kepada kajian dan pembangunan perubatan herba.
Selepas dua tahun meneliti, mencuba dan menguji pelbagai formulasi, Alhamdulillah, lahirlah produk herba pertama saya — hasil usaha, doa, dan keyakinan terhadap keajaiban ciptaan yang maha esa.
Sejarah Permulaan PS Herbs
Hikmah Dugaan
Saya mula percaya pada ubat tradisional secara tidak sengaja. Penyakit saya tidak sembuh dengan ubat moden, tetapi pulih dengan ramuan herba yang saya formulasi sendiri.
Semasa kecil di kampung, ayah merawat kami dengan herba, dan saya mengenali beberapa jenis tumbuhan ubatan. Namun, selepas mendapat pendidikan akademik, saya pernah menolak ubat tradisional.
Takdir sakit tak sembuh
Saya pernah menghidap tiga penyakit yang tidak sembuh walau mendapat rawatan pakar, namun pulih dengan ubat kampung. Dari situ timbul keyakinan saya terhadap keistimewaannya, hingga sanggup meninggalkan perniagaan kilang roti yang saya bina selama 12 tahun demi mengkajinya secara serius.
penyakit Beku Bahu Yang teruk
Pada tahun 2014, saya diserang penyakit beku bahu akut (severe frozen shoulder) sehingga tangan tidak dapat digerakkan, sakit teruk, sukar mengenakan berpakaian dan terpaksa memandu dengan sebelah tangan.
Berbulan saya menjalani rawatan pakar ortopedik di HPPZ II Kota Bharu, mengambil ubat tahan sakit, fisioterapi, serta mendapatkan khidmat urut Melayu dan Cina, namun keadaan tetap tidak pulih.
Suatu hari, saya diperkenalkan dengan sejenis makjun. Pada mulanya, saya agak skeptikal untuk mencubanya. Namun, mungkin kerana sudah buntu dengan keadaan ketika itu, saya ketepikan rasa ragu terhadap ubat kampung dan mencubanya juga. Alhamdulillah, hanya selepas lima hari, saya sembuh sepenuhnya.

Penyakit Sporotrichosis (Sporo)
Awal 2016, saya dijangkiti sporotrichosis akibat gigitan kucing. Rawatan konvensional tidak berkesan, malah kudis tumbuh sepanjang lengan, merebak hingga ke ketiak dan amat menyakitkan.
Dalam keadaan terdesak, saya menggunakan herba kampung yang saya kenali sejak kecil. Alhamdulillah, selepas enam bulan, kudis sembuh sepenuhnya dan doktor mengesahkan fungus telah hilang sepenuhnya.



Penyakit Fungus Pada Muka
Pada tahun 2016, saya diserang penyakit kulit di muka yang disahkan oleh pakar kulit di HPPZII Kota Bharu berpunca daripada fungus. Kulit muka gatal, kering, dan mengelupas, memaksa saya memakai minyak setiap kali keluar rumah.
Doktor membekalkan empat jenis ubat — tiga krim dan satu ubat makan tahan gatal — namun keadaan bukan sahaja tidak pulih, malah merebak hingga ke kepala. Alhamdulillah, akhirnya penyakit ini sembuh dengan ramuan herba buatan sendiri.
Keyakinan Terhadap Ubat Alami
Ketiga-tiga pengalaman ini benar-benar meyakinkan saya bahawa sumber semula jadi mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyembuhkan penyakit. Berdasarkan keyakinan itu, saya mula mendalami kajian mengenai perubatan herba dan seterusnya menghasilkan ubat berasaskan herba.
Pada peringkat awal, fokus kajian saya tertumpu kepada pembangunan ubat herba untuk haiwan, memandangkan penyakit paling teruk yang pernah saya alami ialah jangkitan kudis akibat fungus — sejenis penyakit yang boleh menular antara haiwan dan manusia.
Ubat pertama terhasil
Setelah dua tahun berusaha gigih menjalankan kajian, terhasil ubat pertama khusus untuk merawat haiwan. Saya menamakannya F7 kerana sepanjang tempoh tersebut, walaupun beratus kali formulasi diubah suai, terdapat tujuh kali perubahan besar yang menjadi asas kepada ramuan akhir ini.

