Terung Kemar

Terung kemar mudah dijumpai di kawasan semak dan belukar. Ia merupakan sejenis tumbuhan pepanjat dan mempunyai bulu-bulu halus ada permukan daunnya. Umum menggunakan air rebusan ubinya untuk mengubati senggugut, asma, buasir, demam. Ia dikatakan begitu berkesan untuk merawat penyakit resdung. Ia menjadi pilihan kerana mudah dijumpai.

Klasifikasi

Family : Menispermaceae

Genus : Cyclea

Species : laxiflora Miers

Nama Saintifik

Cyclea laxiflora Miers

Nama lain

Terung kemar (Kelantan), terung kemau (Kedah),kebaya sari (Kedah), terung remau (Kedah), akar terung kemang,akar terung kemar, akar nerung kemang, akar pahit, akar rempenang,mentimun tikus, akar gasing bukit, cawan, terung kemang, sembelit rejam

habitat

Di Semenanjung Malaysia, biasanya ditemui di kawasan hutan sekunder, pinggir hutan, atau kawasan pertanian hingga 1200 m altitud.

sifat

Sejenis pepanjat yang boleh mencapai panjang hingga 15 m. Batang kecil, sedikit berkayu dan permukaan batang bersifat hispid hingga glabrus.

Daun berbentuk ovat-bersegi tiga, ovat-deltoid, atau ovat, hujung daun akut hingga akuminat,pangkal daun trunkat hingga sedikit emarginat, tepi daun biasanya hispid, permukaan atas daun hispid hingga glabresen, dan permukaan bawah daun hispid hingga puberulus atau sedikit bersifat tomentos. Tangkai daun mencapai sehingga 6 cm panjang dan bersifat hispid.

Jambak bunga jantan bersifat aksilari, bunga jantan berwarna putih atau krim,mempunyai kaliks bersifat glabrus atau subglabrus. Jambak bunga betina bersifat kauliflori, bunga betina tersusun dalam kelompok yang longgar (tidak padat) dan karpel bunga bersifat glabrus atau hampir glabrus.

Ia mempunyai buah jenis drup, berwarna putih, berbentuk obovat-obilk hingga bulat, dan permukaan buah glabrus.

cara pembiakan

Ubi atau rizom

Terung kemar boleh merawat resdung
rebusan ubi terung kemar boleh meredakan demam

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Di peringkat penyelidikan, belum ada penemuan kajian berkaitan tumbuhan ini. Sebarang maklumat akan dikemaskini pada masa akan datang oleh pihak psherb.com

Ingredien Aktif

Setakat harini, belum ada kajian berkaitan ingredien aktif yang ada dalam terung kemar. Ia akan dikemaskan kini pada masa akan datang.

Farmakologi Tradisional Terung Kemar

Dari segi farmakologi, terung kemar selalunya digunakan untuk merawat resdung. Di Malaysia, masyarakat melayu menggunakan terung kemar melalui rebusan air rizom @ ubinya untuk merawat masalah resdung dan asma.

Selalunya, air rebusannya diminum dan dikatakan berkesan untuk masalah senggugut dan demam. Bahagian ubinya selalu digunakan dengan kaedah menyapi di bahagian hidung terutamanya pada waktu malam untuk memberikan kelegaan kepada penghidap resdung.

 

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat buasir

250g akar terung kemar, 1kg pokok buasir, 250g kunyit,250g kunyit wantarahut, 250g isi peranakan, 125g majakani,dan 250g rumput kepala lalat dikeringkan di dalam ketuhar pada suhu 130℃. Ramuan kemudian dikisar sehingga menjadi serbuk dan dikapsulkan. Sediaan dimakan sebiji dua kali sehari sehingga sembuh (Pulau Pinang).

Membuang angin dalam badan

500g akar terung kemar, 250g pele pelanduk, 1kg perut ayam,1kg gua piyat hitam, 250g akar masin, 500g akar kaduk, dan 250g kepala cina dikeringkan di dalam ketuhar pada suhu 130°C. Bahan ramuan dikisar sehingga menjadi serbuk, dikapsulkan, dan dimakan sebiji dua kali sehari sehingga sembuh (Pulau Pinang).

Ramuan minyak urut

Buah terung kemar dijadikan satu daripada bahan ramuan yang dicampurkan dengan tumbuhan lain yang ditanak menggunakan minyak kelapa dara, minyak zaitun,minyak lenga, minyak kayu putih, dan minyak masak untuk dijadikan minyak urut (Kedah).

Merawat resdung

Cara 1

Akar terung kemar dikeringkan, diasah pada batu, dan disapukan pada muka(Terengganu).

Cara 2

Buah terung kemar dijemur sehingga karing dan diasah sehingga menjadi debu. Buah terung kemar yang sudah diasah dicampurkan sedikit air dan dijadikan sebagai bedak muka atau disedur ke dalam hidung. Sapu ke seluruh muka setiap malam sebelum tidur (Kelantan).

Cara 3

Batang terung kemar, akar tudung perluk putih, uii bukit, pokok terajan,akar cukilan, akar melur, akar tebuni hitam, dan akar tudung periuk merah dikeringkan dan diasah pada belakang pasu. Bahan ramuan kemudian dicampurkan dengan sedikit air dan disapukan pada seluruh muka dan disedut ke dalam hidung sedikit (Kelantan).

Cara 4

Akar terung kemar ialah satu daripada bahan ramuan yang dicampurkan dengan tumbuhan lain yang dikeringkan, dikisar, dan dikapsulkan. Uoat herba ini dimakan dua kali sehari (Kelantan).

Penjagaan Kesihatan dalaman

Akar terung kemar dimakan begitu sahaja untuk menguatkan tenaga (Kedah).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top