Tomato

Tomato merupakan buah yang berwarna merah dan ia disebabkan oleh kandungan lycopene iaitu karotenoid  atau sebatian semulajadi. Ia antara sayuran buah yang mudah dijumpai di kedai. Selain boleh dimakan mentah, ia selalunya dijadikan sebagai bahan masakan seperti tomyam. Ia merupakan superfood yang tinggi kandungan nutrient. Ia dikatakan bermanfaat bagi mendapatkan kulit yang sihat, penurunan berat badan dan kesihatan jantung.

Klasifikasi

Family: Solanaceae

Genus: Solanum

Species:

Lycopersicum

Nama Saintifik

Solanum lycopersicum

Nama lain

Tomato

habitat

Biasanya ditanam dan buah digunakan sebagai sumber sayuran

sifat

Tumbuhan herba semusim, mencapai ketinggian sehingga 2 m. Pertumbuhan batang memaut pada pokok lain atau tidak menegak, batang berbulu dan mempunyai bau.

Berdaun majmuk, jenis imparipinat, anak daun tersusun bertentangan atau separa setentang, bentuk daun ovat, tepi daun bergigi, hujung daun obtus, pangkal daun berbentuk serong atau tidak simetri atau kadangkala berbentuk kuneat, permukaan daun berbulu, dan juga mengeluarkan bau apabila diramas.

Jambak bunga pada terminal atau aksilari, bunga berwarna kuning dan mempunyai lima kelopak. Buah jenis beri, berbentuk hamppir globos, berwarna hijau keputihan dan bertukar kepada merah atau jingga kekuningan apabila masak, buah jenis berlendir, mempunyai jus dan permukaan berkilat. Mempunyai banyak biji.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji

Buah tomato yang belum masak berwarna hijau dan keras
buah tomato masak sangat banyak khasiat untuk kesihatan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Tomato mengandungi antioksidan yang dinamakan lycopene. Ia merupakan antioksidan yang dikatakan berfungsi untuk melindungi kesihatan jantung. Kajian menunjukkan bahawa makan produk berasaskan tomato adalah lebih efektif berbanding mengambil suplemen lycopene.

Menurut kajian lagi, individu yang mempunyai kandungan darah yang tinggi dengan antioksidan ini kurang berisiko menghidapi sindrom metabolik yang merupakan faktor risiko penyakit jantung, strok dan diabetes.

Sebiji tomato boleh membekalkan sekurang-kurangnya 40% daripada keperluan vitamin C dalam badan. Selain itu, tomato juga mengandungi vitamin A yang mempunyai sangat penting untuk sistem imun, kulit dan penglihatan. Tomato juga tinggi dengan kandungan vitamin K yang bagus untuk tulang.

Ini kerana tomato mempunyai kandungan lycopene, lutein dan beta carotene, yang berfungsi membantu melindungi mata daripada katarak dan macular degeneration.

Bagi individu yang mempunyai mempunyai diabetes jenis 2, tomato adalah makanan yang bagus kerana ia boleh mengurangkan risiko berlakunya peroksida lipid yang menyebabkan radikal bebas dan serangan jantung.

Tomato yang mempunyai kandungan lycopne juga mampu mengurangkan risiko kanser perut, prostat, ovari dan paru-paru.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti lycopene, lutein dan beta carotene

Farmakologi Tradisional Tomato

Tomato dapat membantu melindungi kesihatan kulit daripada sinaran matahari dan menghasilkan pro-kolagen, yang berfungsi mengekalkan struktur kulit bagi membuat individu kelihatan awet muda.

Selain dari itu, tomato juga dipercayai mampu  mengawal tekanan darah tinggi, merawat masalah gusi berdarah, sakit kuning akibat hepatitis A dan merawat jerawat.

Masyarakat Melayu menggunakan tomato bagi mengawal kandungan gula di dalam darah, rawatan mata, vertigo, mengecilkan liang roma, diarhea,  dan juga bagi gangguan pernafasan

Cara guna (perubatan traditional)

Mengawal aras glukosa dalam darah

Sebiji buah tomato dikisar bersama-sama tujuh biji kacang panjang kemudian ditapis untuk mendapatkan patinya. Sediaan boleh diminum bila-bila masa sahaja sehingga aras glukosa terkawal (Kedah).

Mengekalkan kecantikan kulit

Buah tomato dikisar bersama-sama temu, kentang, lobak merah, timun, kulit kayu manis, putih telur, madu lebah dan tepung beras. Kesemua ramuan yang telah dikisar dimasukkan ke dalam bekas dan disimpan di dalam peti ais. Sediaan disapu di bahagian muka dan dibiarkan selama 15 minit sambil berada di bawah kipas angin, kemudian muka dicuci dengan menggunakan air suam (Johor).

Merawat gangguan usus dan hati

Minum segelas penuh jus tomato segar dan dicampur dengan secubit garam serta lada sulah. Minum pada awal pagi.

Rawatan mata

Segenggam daun tomato yang segar dibilas dan direndam selama 15 mnit dalam air yang tidak terlalu panas di dalam bekas tertutup dan sejatkan. Air hendaklah diminum sesudu teh setiap kali sebelum mengambil sajian utama, 3 kali sehari.

Mengecilkan liang roma

Campurkan satu sudu jus tomato segar dengan 2 hingga 4 titik jus limau. Sapukan bahan tersebut menggunakan kapas pada kulit wajah dan urut perlahan-lahan. Biarkan selama 15 minit. Bilas dengan air suam untuk mengecilkan lagi liang roma.

Vertigo (Pening kepala)

Hiris lima ulas bawang putih dan hancurkan sedikit, kemudian goreng sebentar dengan minyak zaitun. Tambahkan sedikit perahan tomato dan telur serta sedikit garam dan rempah ratus, menjadi telur dadar. Makan 3 kali sehari dalam 7 hari berturut-turut.

Sakit perut memulas

Ambil buah tembikai dan buah tomato dalam kuantiti yang sama banyak. Kisar sehingga menjadi jus. Minum segelas jus tersebut dan lakukan tiga kali sehari

Mengawal tekanan darah tinggi

Basuh bersih satu atau dua biji buah tomato yang telah masak dan segar. Makan secara mentah pada waktu pagi semasa perut masih kosong.

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini. Perlu berhati-hati kerana bagi sesetengah individu, asid daripada tomato yang dimasak boleh mengakibatkan senak perut dan asid refluks (Hellodoktor.com).

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top