tutup bumi

Pokok tutup bumi adalah herba yang sangat mudah di persekitaran seperti di halaman, tepi jalan, dan taman rumah dan sering dianggap sebagai rumpai. Ia banyak digunakan untuk merawat nephritis, edema, sakit dada, demam, scabies, luka, batuk, tonik dan bronkitis, and asthma. Terdapat banyak sebatian bioaktif yang terkandung dalam tutup bumi sehingga kajian menyatakan bahawa pokok ini telah dibangunkan menjadi teh di China untuk menyembuhkan pelbagai penyakit dan sebagai minuman kesihatan.

Klasifikasi

Family: Asteraceae (compositae)

Genus: Elephantopus

Species: Scaber

Nama Saintifik

Elephantopus scaber

 

Nama lain

Tutup bumi (Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang), litup bumi (Kedah), tapak leman (Kelantan, Terengganu), tapak sulaiman, urat tutup bumi, tapak babi, berseh hitam, sebongbong, capa.

habitat

Di Semenanjung Malaysia, herba ini boleh dijumpai di kawasan berumput yang lapang atau laman rumah atau taman.

sifat

Pokok herba yang boleh mencapai ketinggian sehingga 50 cm. Batangnya berbentuk silinder, tumbuh secara menegak, dan bercabang dua, hirsut yang melekap pada batang.

Daun bawah tersusun secara berselang, kekal segar selepas antesis, berbentuk spatulat sehingga oblanseolat, hujung daun berbentuk obtus-membulat, pangkal daun atenuat hingga tangkai daun yang lebar dan pendek, permukaan bawah berbulu hirsut dan berkelenjar padat, daun pada batang sikit, semakin mengecil pada bahagian apeks, hujung berbentuk akut.

Jambak bunga pada terminal, jenis berkepala majmuk, diselaputi tiga braktea, berwarna hijau. Floret berwarna merah jambu-keunguan, berbentuk tiub yang ramping, berlobus lima.

Buah jenis aken, berbentuk oblongoid, puberulen, papus berwarna putih.

cara pembiakan

Keratan batang dan akar

tutup bumi juga dikenali sebagai tumbuhan tapak sulaiman
tutup bumi mempunyai bentuk seperti tapak sulaiman

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Beberapa penyelidikan telah dilakukan dan bioaktiviti utama tumbuhan ini berdasarkan penggunaan tradisionalnya telah disahkan.

Bioaktiviti pokok tutup bumi telah dikenal pasti menggunakan kaedah pengekstrakan yang berbeza dan analisis fitokimia bagi beberapa ekstrak ini telah membawa kepada penemuan dan pengasingan beberapa sebatian baru yang berpotensi digunakan sebagai ubat untuk pelbagai aplikasi farmaseutikal.

Antara kandungan bahan bioaktif yang wujud ialah lupeol, scabertopin, sesquiterpene, alkaloids, aurones.

Ekstrak etanol tutup bumi telah dilaporkan mempunyai pelbagai bioaktiviti termasuk sifat penyembuhan luka pada model tikus, aktiviti anti-bakteria dan rawatan untuk disuria.

Ekstrak etanol daun menggalakkan aktiviti penyembuhan luka pada tikus yang cedera seperti yang dibuktikan oleh kajian histologi yang menunjukkan penurunan bilangan sel radang kronik, mengurangkan edema dan meningkatkan kolagenasi.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti lupeol, scabertopin, sesquiterpene, alkaloids, aurones.

 

Farmakologi Tradisional Tutup bumi

Tumbuhan ini digunakan terutamanya sebagai diuretik, febrifuge dan untuk melegakan anuria dan blennorrhagia. Selain itu, ia turut digunakan sebagai antibiotik, agen anti bengkak, anti-radang dan emolien. Ia dipercayai sebagai ubat yang baik untuk keputihan, anemia dan bermanfaat semasa bersalin.

Di Malaysia, tutup bumi diambil secara dalaman sebagai diuretik, febrifuge dan sapuan

secara luaran sebagai tuam untuk sakit perut dan aduan lain.

Air rebusan akar tutup bumi telah digunakan untuk mempercepatkan pengecutan kawasan perut dan mencegah keradangan selepas bersalin. Selain itu, keseluruhan pokok tutup bumi juga direbus bersama kacang merah untuk menghilangkan perut kembung.

Masyarakat di Thailand telah menggunakan tutup bumi untuk merawat batuk, tonik (rebusan akar) dan bibir pecah-pecah.

Air rebusan yang diperbuat daripada daun atau akar juga digunakan sebagai tonik untuk menghilangkan cacing gelang dan merawat batuk dan penyakit kelamin. Air rebusan yang diperbuat daripada akar segar dan sireh ditetapkan untuk menahan muntah manakala daunnya disyorkan untuk mengubati demam.

Cara guna (perubatan traditional)

Menaikkan seri wajah

Cara 1

Keseluruhan pokok tutup bumi dibersihkan, ditumbuk dan dicampurkan ke dalam air. Sediaan diminum dua kali sehari sehingga sembuh (Kelantan).

Cara 2

Akar tutup bumi direbus bersama-sama akar kayu kapur, nyarum, sanggul fatimah, meroyan sejuk, kekatuk, londeh hijau, londeh merah, kerakap harimau dan tekelir. Air rebusan dijadikan minuman harian sehingga sembuh. Campuran ramuan boleh juga diulang rebus sehingga hilang rasa (Negeri Sembilan).

Cara 3

Beberapa helai daun tutup bumi direbus dan dijadikan minuman sekali sehari semasa tempoh berpantang (Terengganu).

Pelapik tungku

Beberapa helai daun tutup bumi digunakan untuk melapik tungku. Penggunaan tungku ialah tiga kali sehari sewaktu tempoh berpantang. Daun ditukar apabila daun sudah bertukar menjadi kering (Perlis).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Cara 1

Daun tutup bumi dijadikan satu daripada campuran yang direbus. Air rebusan dijadikan mandian selama tiga hari apabila selesai berurut (Terengganu).

Cara 2

Tiga, lima atau tujuh helai daun tutup bumi ialah satu daripada campuran daun yang direbus bersama-sama beras mengikut helaian daun yang diambil. Sebagai contoh, tiga helai daun dicampurkan dengan tiga butir beras, tiga hirisan kunyit dan sekeping asam gelugur. Air rebusan dijadikan mandian sekali sehari pada waktu pagi selama tiga hari (Terengganu).

Ramuan minyak urut

Cara 1

Batang patawali dijadikan satu daripada ramuan yang dimasak bersama-sama sebotol minyak jarak, 10 biji kelapa dara, tiga botol minyak masak zaitun, 1 kg minyak lenga, ½ minyak kayu putih, satu tin besar minyak masak, lima ketul inggu, tiga paket rampah ratu, 1 kg habatus saudam 1 kg ibu gamat yang telah dibakar di dalam ketuhar, seketul jadam, dan ½ kg garam bukit. Kesemua bahan direbus sehingga tiga hari berturut-turut. Minyak digunakan untuk mengurut (Kedah).

Cara 2

Batang patawali dicampurkan bersama-sama halia bara, habatus sauda, kunyit, serai wangi dan lada hitam. Semua bahan dikeringkan dan direbus dengan minyak kelapa selama 1 jam. Sediaan digunakan untuk mengurut (Pahang).

Meredakan bengkak

Cara 1

Secekak tutup bumi ditumbuk bersama-sama daun gandarusa, pokok dewam kulit jebak rimba, seruas halia merah, bawang merah, dan bawang putih sehingga lumat dan ditempelkan pada bahagian kaki yang bengkak (Selangor).

Cara 2

Daun tutup bumi bersama-sama jenalu hijau, melung, dan perapuh dicencang dan dikisar bersama-sama putih telur. Kapur makan disapukan pada tempat sakit dan dibiarkan kering sebelum disalutkan menggunakan sediaan yang telah dikisar kemudian dibalut menggunakan kain pembalut. Balutan dibiarkan sehingga campuran ramuan kering dan keras seperti disimen atau dibiarkan 2-3 hari barulah dibuka (Kedah).

Merawat patah

Daun tutup bumi bersama-sama segenggam pokok lalang, segenggam akar kemuncup, akar gelenggang kecil, akar gelenggang besar, segenggam jintan putih, jintan manis,  akar kemarau, nenas batu, dan kambing gurun yang telah disembelih dimasakkan menggunakan minyak kelapa hasil daripada 20 biji kelapa. Minyak digunakan untuk mengurut pesakit yabg patah setiap hari selama 15 hari atau sehingga sembuh (Perlis).

Ramuan majun

Secekak keseluruhan pokok tutup bumi dijadikan satu daripada campuran yang dicencang dan dijemur sehingga kering. Campuran dikisar dan dimasak. Kemudian, sediaan ditambah dengan minyak dan digentelmenjadi ketulan kecil. Majun dimakan sebiji sekali makan, dua kali sehari, pada waktu pagi dan petang sepanjang tempoh berpatang dan boleh dijadikan sebagai amalan (Pulau Pinang).

Melegakan sakit lutut

Daun tutup bumi bersama-sama jenalu hijau, melung dan perapuh dicencang dan dikisar bersama-sama putih telur. Kapur makan disapukan pada tempat sakit dan dibiarkan kering sebelum disalutkan menggunakan sediaan yang telah dikisar kemudian dibalut menggunakan kain pembalut. Balutan dibiarkan sehingga campuran kering dan keras seperti disimen atau dibiarkan 2-3 hari barulah dibuka. Dipercayai, pesakit akan pulih apabila balutan kali pertama dibuka (Kedah).

Melegakan sakit pinggang

Daun tutup bumi ialah satu daripada ramuan yang dibakar menggunakan ketuhar selama 20 minit pada suhu 130oC dan kemudian dikisar menjadi serbuk halus untuk dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul dimakan dua biji sekali, dua kali sehari sehingga sembuh (Pula Pinang).

Merawat sengugut

Satu kilogram daun tutup bumi bersama-sama 250g pegaga, 250g tapak kuda, 250g lemuni, 125g kemuning hitam, 250g lengkuas kecil yang telah diracik halus dijemur sehingga kering atau selama seminggu. Campuran kemudian dibakar menggunakan oven selama 20 minit dengan suhu 1300 C  dan dikisar menjadi serbuk halus untuk dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul dimakan dua biji sekali, dua kali sehari sehingga sembuh (Pulau Pinang).

Merawat resdung

Akar tutup bumi direbus bersama-sama akar periuk kera, akar sayap gado, akar kunyit bukit, dan akar pokok jeruh sehingga mendidih. Air rebusan dminum ½ cawan, tiga kali sehari sehingga resdung berkurang (Perlis).

Mengawal aras glukosa dalam darah

Keseluruhan pokok tutup bumi direbus dan diminum sehari sekali sehingga sembuh (Perlis).

Melawaskan kencing

Daun tutup bumi direbus dengan isi rumput buluh. Air rebusan dan diminum sekali (Terengganu).

Rawatan komplemen kepada masalah batu karang

Tutup bumi bersama-sama belimbing buluh, delima, kunyit hitam, bonglai hitam, dan sungkup labi-labi dikeringkan, dicampurkan dan dikisar sehingga menjadi serbuk sebelum dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul dimakan tiga kali sehari (Pahang).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top