Kucing kecacingan
Tanda, bahaya dan cara rawatan
Masalah kecacingan merupakan antara penyakit yang kerap menyerang kucing, terutamanya kucing yang tidak diberi ubat cacing secara berkala. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan kucing, malah boleh membahayakan nyawa jika tidak dirawat segera.
Jenis Cacing pada Kucing
Antara cacing yang biasa ditemui pada kucing ialah:
- Cacing gelang (roundworm) – sering menjangkiti anak kucing. Paling biasa ditemui, terutama pada anak kucing. Menyebabkan perut buncit, muntah, cirit-birit, dan badan kurus walaupun kuat makan.
- Cacing pita (tapeworm) – biasanya berpunca daripada kutu atau tikus. Boleh dilihat segmen kecil seperti biji beras pada najis atau di sekitar dubur kucing.
- Cacing cangkuk (hookworm) – boleh menyebabkan cirit-birit berdarah. Menyerap darah dalam usus, menyebabkan anemia (gusi pucat), cirit-birit berdarah, dan kucing menjadi lemah.
- Cacing cambuk (whipworm) – Kurang biasa pada kucing tetapi boleh berlaku. Menyebabkan cirit-birit berlendir atau berdarah, penurunan berat badan, dan kekurangan zat makanan.

Tanda-tanda Kucing Kecacingan
Pemilik perlu peka dengan perubahan pada kucing kerana tanda-tanda kecacingan kadang-kadang jelas, kadang-kadang tersembunyi. Antara tanda yang biasa diperhatikan ialah:
- Perut buncit walaupun badan kurus (terutama anak kucing).
- Bulu kusam dan tidak bersinar.
- Ada cacing dalam najis atau muntah atau pada duburnya
- Najis lembik atau berdarah, ada cacing kelihatan.
- Kucing kerap menjilat atau menggesel punggung pada lantai kerana gatal.
- Selera makan berubah – ada yang kuat makan tetapi tetap kurus, ada pula yang hilang selera.
- Lesu dan kurang aktif.
- Cirit-birit, kadang-kadang bercampur lendir
- Dalam kes teruk: batuk akibat cacing sampai ke paru-paru
- Gusi pucat: Ini boleh menjadi tanda anemia yang disebabkan oleh jangkitan cacing cangkuk (hookworm)
Jika nampak tanda-tanda ini, segera rawat kucing anda dengan ubat cacing.


Bahaya Kecacingan
Jangkitan cacing boleh menyebabkan kekurangan zat makanan kerana cacing menyerap nutrien daripada tubuh kucing. Anak kucing yang kecacingan mudah terbantut pertumbuhannya, manakala kucing dewasa boleh menjadi sangat lemah.
Dalam kes yang serius, kecacingan boleh menyebabkan kerosakan usus, anemia, dehidrasi, malah kematian.
Cara Pencegahan & Rawatan
Langkah pencegahan terbaik ialah dengan memberi ubat cacing secara berkala – biasanya setiap tiga bulan sekali, atau mengikut nasihat doktor haiwan. Pastikan juga makanan dan minuman kucing sentiasa bersih, litter box dibersihkan setiap hari, dan kucing dijauhkan daripada sumber jangkitan seperti tikus atau serangga.
Jika kucing sudah dijangkiti, rawatan utama ialah dengan memberi ubat cacing khas untuk kucing mengikut dos umur dan berat badan. Selepas rawatan, cacing yang mati akan keluar melalui najis. Penting untuk ulang rawatan mengikut jadual kerana ada telur cacing yang mungkin masih tertinggal dalam badan.
Kesimpulan
Kecacingan pada kucing adalah masalah yang serius tetapi boleh dicegah dengan penjagaan yang betul. Dengan pemberian ubat cacing secara berkala, kebersihan yang terjaga, serta rawatan segera apabila bergejala, kucing anda dapat hidup lebih sihat, cergas dan gembira.
Rujukan/bacaan tambahan
Cornell University College of Veterinary Medicine – gastrointestinal parasites of cats
American veterinary Medical Association – Intestinal parasites in cats and dogs

