Penyakit Kucing Kurap

Biasanya bila terlihat kucing  berkudis, gatal dan kulit menggerutu, kita kata “kucing kurap”. Semua jenis pun kita rangkum dalam nama kurap. Walhal, penyakit kucing pelbagai jenis. Misalnya disebabkan oleh infestasi parasit seperti penyakit kurap scabies atau disebabkan oleh infeksi kuman (bektiria atau fungus) seperti penyakit sporotrichosis (sporo).

Penyakit berbeza mungkin memerlukan ubat yang berbeza. Jadi kita perlu kenal jenis penyakit sebelum merawat. Tujuannya supaya ubat yang diguna sesuai dengan penyakit kucing. Juga boleh elakkan pembaziran dan mendatangkan mudharat.

Kucing Kurap Scabies

Salah satu kurap yang sering menyerang kucing ialah kurap scabies atau kudis buta. Kurap ini disebabkan oleh sejenis hama parasit Notoedres cati yang mendiami kulit kucing. Jadi penyakit ini bukan penyakit infeksi, tetapi infestasi. Hama ini menyodok masuk ke bawah kulit untuk makan dan bertelur. Akibatnya kucing gatal. Bahan buangannya bertompok-tompok pada kulit dan keras berkerak, berwarna kelabu asap serta menggerutu. Kucing kurap scabies kelihatan hodoh dan menjijikan bagi sesetengah orang.

Jangkitan Scabies selalunya bermula di tepi-tepi telinga dan merebak ke muka, kelopak mata, hidung dan leher. Bila semakin teruk, jangkitan merebak ke badan, kaki, celah-celah jari. Jari menjadi keras kerana bahan buangan hama berpempek dan mengeras. Mata juga sukar dibuka kerana kelopak mata mengeras.

Kurap scabies gatal, kucing kerap menggaru dan menggigit badan. Akibatnya, kulitnya tercedera dan berlaku jangkitan bakteria dan fungus. Berat badan berkurangan, bulu gugur dan baunya tidak menyenangkan. 

kurap scabies bahagian telinga dan muka. Muka dan telinga menggerutu.
Muka dan telinga dijangkitan kurao scabies
Penyakit kudis buta atau scabies pada kucing. Kulit menggerutu
Telinga, muka, kaki dan badan menggerutu
Kurap scabies yang telah menebal pada kaki dan jari
Jari-jari jadi keras kesan buangan hama scabies yang mengeras.

Bagaimana jankitan kurap berlaku

Penyakit kurap scabies mudah berjangkit melalui sentuhan. Jadi kebanyakan kucing mendapat penyakit daripada kucing lain. Ini kerana sifat kucing yang suka saling grooming atau duduk bersama. Kerap juga jangkitan berlaku di hotel haiwan atau tempat grooming. Anak kucing juga boleh mendapat penyakit daripada ibunya.

Hama scabies boleh hidup beberapa hari di luar haiwan perumah. Dengan itu hama ini boleh berada dan hidup dalam medium seperti tilam, cat mat, kain atau mainan (toys). Perkongsian medium berkenaan menyebabkan hama berpindah kepada kucing yang lain. Anak kucing lebih mudah dijangkiti berbanding dengan kucing dewasa.

Tanda Jangkitan Kurap Pada Anak Kucing

Anak kucing sangat mudah dijangkiti kurap scabies. Selalunya jangkit daripada ibu berkurap scabies. Boleh juga daripada kawan atau berkongsi medium yang telah dijangkiti. Segera rawat anak kucing yang dijangkiti, kerana ia boleh sebabkan kucing mati. Ini kerana anak kucing sukar dirawat sekiranya hidungnya sudah mula tersumbat (tidak mahu menyusu)

Tanda awal Jangkitan Pada Anak Kucing

Biasanya, jangkitan awal pada telinga. sepanjang birai (bahagian tepi) cuping telinga berbiji warna kelabu asap. Mata bertahi dan jerapit kelopak mata. Periksa (raba) lengan, siku atau perut. Biasanya terasa menggerutu bila disentuh.  

Bolehkah Kurap sembuh sendiri

Tidak. Penyakit kurap kucing tidak akan sembuh sendiri. Ia perlu dirawat. Jika tidak hama scabies terus membiak menular ke seluruh badan dan boleh menyebabkan kucing mati.

Bila Patut Rawat

Jangan bertangguh, segera rawat bila melihat tanda-tanda jangkitan, kerana lebih awal, lebih mudah sembuh dan jimat kos. Rawatan segera bukan sahaja baik untuk kucing, bahkan baik untuk elakkan jangkitan kepada kucing atau haiwan.

Boleh jangkit kepada manusia tak?

Ya, penyakit kurap scabies haiwan boleh berjangkit kepada manusia jika kerap bersentuhan atau berkongsi barang atau tempat seperti tilam atau tempat duduk. Jangkitan sebenarnya sementara sahaja kerana hama scabies haiwan berbeza dengan hama scabies manusia.

Bila hama ini menjangkiti manusia, ia sempat hidup untuk beberapa hari pada kulit. Dalam tempoh itu, kulit akan gatal-gatal. Jika digaru, kulit cedera dan boleh menyebabkan jangkitan bakteria atau fungus. Jika kulit sensitif atau terutama kanak-kanak, maka ia boleh menyebabkan komplikasi. Jadi adalah lebih baik ambil langkah berjaga-jaga, khususnya bagi yang kulit sensitif.

Penyakit scabies hewan pada manusia akan hilang sendiri selepas beberapa hari. Masalahnya, jika sentiasa bersentuhan atau berkongsi tempat, penyakit akan berterusan. Contohnya berkongsi  tempat tidur, tempat duduk, katil, atau bermanja, maka jangkitan akan berterusan.

Cara mudah untuk mengatasi masalah jangkitan kurap kucing ialah, segera merawat kucing kurap. Tempat yang disyaki hama berlindung juga dicuci. Apabila kucing sembuh, jangkitan kurap kepada tuannya pun turut hilang.

Langkah Pencegahan

Asingkan kucing kurap scabies. Kurung sehingga rawatan selesai dan sembuh. Tempoh rawatan berbeza. Bergantung kepada keadaan penyakit dan rawatan diberikan. Kucing berbulu panjang mengambil masa lebih lama untuk sembuh. 

Elak kucing daripada berkontak dengan kucing berkurap. Hati-hati dengan kucing jiran atau gelandangan. Jika berkurap, elok juga kucing jiran atau kucing gelandangan dirawat bagi mencegah jangkitan.

Elakkan daripada menggunakan khidmat boarding or grooming yang tidak bersih. Minta pemberi khidmat grooming membersihkan alat grooming sebaiknya sebelum gunakan.

.

Klik butng untuk share artikel ini

Scroll to Top