Lemba

Dikategori sebagai herba tumbuh secara berumpun, daun lemba mempunyai banyak urat serta bertangkai. Ia mempunyai banyak khasiat. Buah lemba yang manis dikatakan boleh dimakan oleh pesakit kencing manis (diabetis), mengubati demam malaria, batuk, bengkak, melawaskan kencing dan sebahagian dari ramuan ubat periuk wanita selepas bersalin. Manakala biji-biji berwarna hitam di dalam buahnya dicampurkan ke dalam sirap dan diminum untuk menyejukkan badan. Daun lemba juga boleh dikeringkan dan dipintal menjadi tali dan benang.

Klasifikasi

Family: Hypoxidaceae

Genus: Molineria

Species: Latifolia

Nama Saintifik

Molineria latifolia

Nama lain

Lemba (Perak), nyiur puyuh (Kelantan), nyiur puyuh jantan (Kedah), lumbah, lumbah rimba, lembah, lumbah padi, kelapa puyuh, lembah bukit

habitat

Tumbuhan ini selalunya ditanam di kawasan kering dan dijadikan sumber makanan

sifat

Tumbuhan renek yang boleh mencapai ketinggian sehingga 5 m. Ia mempunyai akar berbentuk tubular, isi berwarna putih.

Batang atau dahan mempunyai kesan tinggalan daun, permukaan glabrus. Daun tersusun secara berpilin, berbentuk palmat, mempunyai 3-9 lobus, tepi daun licin, hujung daun akuminat, permukaan bawah daun glaukus.

Tangkai daun panjang, stipul berbentuk segi tiga lanseolat, bersifat kadukus. Jambak bunga pada terminal, jenis rasem. Kaliks bunga berwarna kekuningan.

Buah berbentuk globos dan bersayap enam.

cara pembiakan

Keratan batang

Lemba dikatakan sesuai bagi rawatan kencing manis
Lemba sesuai digunakan untuk merawat demam

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa lemba didapati mengandungi protein manis dari buahnya yang dipanggil curculin. Seperti miraculin, curculin mempamerkan ciri perubahan rasa buah (taste-modifying fruits) disebabkan kehadiran protin curculin. Curculin adalah sebatian yang molekulnya terdiri dari dua monomer polypeptides yang serupa dari 114 mendapan asid amino.

Ia memiliki rasa manis meresap berterusan selepas pengambilannya, minuman air akan terasa manis begitu juga bahan masam akan terasa manis, contohnya, limau yang dimakan selepas pengambilan curculin dari buah lemba mengekalkan rasa manis selama 10 minit.

Ingredien Aktif

Kandungan bahan aktif ialah  polifenol, flavonoid, antosianin, vitamin C, riboflavin

Farmakologi Tradisional Lemba

Di kalangan masyarakat kampong Malaysia, rendaman (infusions) daun, pangkal batang dan akar digunakan secara dalaman untuk merawat demam. Rebusan (Decoctions) bunga dan akar diambil sebagai ubat sakit perut dan diuretik, manakala rebusan rhizome digunakan untuk merawat penyakit haid yang tidak menentu atau terlalu banyak dan lama.

Rhizomnya juga digunakan untuk penyakit mata di India utara-timur. Di kawasan Borneo daun lemba memainkan peranan dalam upacara penyembuhan perkara mistik.

Pokok Lemba mengandungi pelbagai khasiat antaranya bahagian akarnya dikatakan mampu mengubati sakit ginjal atau buah pinggang, menguatkan fungsi seks, mengatasi sakit kepala, sakit perut dan ulser mulut.

Daun pokok lemba biasanya dimakan bersama pinang untuk merawat masalah pencernaan, gastrik atau dijadikan campuran ubat jamu. Akar pokok muda digunakan untuk merawat luka dalaman manakala akar dan daun yang ditumbuk pula digunakan untuk merawat sengal-sengal tulang, sendi dan otot.

Di negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina, daun lemba digunakan juga untuk melawaskan kencing dan untuk merawat batu karang. Pohon lemba juga menghasilkan minyak kayu kapor yang boleh digunakan bagi merawat bengkak sendi. Mempunyai kesan antimikrob, antitumor dan menurunkan tekanan darah.

Cara guna (perubatan traditional)

Penjagaan kesihatan dalaman

Akar lemba, kunyit, api tiga longgok, api bulan lima, bertih, cekur putih,cicah pucuk hitam, ebau, halban, janggut tok adam, keduduk melata, mata pelanduk, pagar anak, senha/teja bukit dipotong dan diambil segenggam bagi setiap jenis. Campuran direbus dan diminum 1-3 kali sehari mengikut keperluan. Air rebusan boleh disimpan di dalam peti sejuk atau pada suhu bilik (Kedah).

Rawatan komplemen kepada masalah buah pinggang

Akar lemba yang kering direbus dan diminum sehingga sembuh (Kelantan).

Mengawal aras glukosa dalam darah

Keseluruhan pokok lemba dijadikan satu daripada ramuan yang dikeringkan, kemudian dikisar hingga sebati, dan dimasukkan ke dalam kapsul. Sediaan tersebut dimakan tiga kali sehari, sekali seminggu (Kelantan).

Merawat buasir

Segenggam akar lemba dicampurkan bersama-sama akar paku jantan, akar salak gantung bersulur, akar kurmak, akar mata itik, akar serigek, akar/ubi lirek, akar anak menakan meroyang putih, dan akar jelatang ayam sehingga menjadi lebih kurang segenggam.Semua bahan dibasuh, direbus, dan air rebusan dibiarkan suam sebelum diminum. Bahan yang diambil digunakan hingga tiga kali rebusan. Rebusan kali pertama menggunakan 10 cawan air, rebusan kali kedua menggunakan lapan cawan air, dan rebusan kali ketiga menggunakan lima atau enam cawan air. Secawan air rebusan diminum untuk setiap kali rebusan (Perak).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top