Lengkuas Kecil

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam lengkuas kecil sangat bagus untuk meremajakan kulit. Ia juga mampu melambatkan proses penuaan kulit. Lengkuas juga sering digunakan untuk merawat masalah kulit seperti panau, luka dan alahan.  Selain daripada itu, ia juga mampu menrawat asma di mana ia terbukti mampu untuk membuka saluran udara dalam paru-paru . ia juga mempunyai ciri anti radang.  Kandungan bahan semulajadi di dalamnya digunakan sebagai analgesic dan antiseptic untuk mencegah jangkitan yang menyebabkan demam.

Klasifikasi

Family: Zingiberaceae

Genus: Alpinia

Species: Conchigera Griff.

Nama Saintifik

Alpinia conchigera Griff.

Nama lain

lengkuas genting (Terengganu,Kelantan), lengkuas ranting, lengkuas padang, cengkenam, jerunang, rumput kelemoyang

habitat

Sering dijumpai di kawasan ladang getah atau ladang kelapa sawit, kawasan tanah gambut, kawasan yang terdedah berhampiran kawasan kampung. Tumbuhan ini seringkali ditanam dan juga meliar.

sifat

Sejenis tepus berbatang kecil dan tirus, mencapai hingga 1.2 m tinggi. Rizom berbentuk tirus, kurus dan kecil.

Daun ringkas, tersusun secara berselang, berbentuk oblong, tepi daun jenis siliat, permukaan glabrus, ligul licin, dan bersifat pubesen.

Jambak bunga jenis rasem, kadang kala dengan satu cabang pada bahagian pangkal, jambak bunga jenis sinsinus banyak, braktea kecil. Stamen melengkung dan berwarna kuning.

Buah jenis kapsul, berbentuk seakan-akan kacang pea, berwarna merah jambu atau merah terang apabila masak. Mempunyai 3-5 biji dan beraroma kuat

cara pembiakan

Rizom

Lengkuas mempunyai banyak manfaat kesihatan
Lengkuas sering dijadikan bahan dalam masakan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan kajian yang dijalankan, komponen 1′-acetoxyeugenol acetate dalam lengkuas merupakan sebatian yang paling utama dalam membasmi pertumbuhan bakteria.

Lengkuas memiliki banyak agen-agen antioksidan yang berkuasa dan berpotensi melindungi tubuh daripada kerosakan yang disebabkan oleh toksin dan radikal-radikal bebas.

Menurut kajian sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat, kandungan antioksidan adalah paling tinggi dalam bunga lengkuas berbanding rizomnya. Antara antioksidan yang dikenal pasti oleh mereka ialah α-humulane, pentadecane dan 1′-acetoxyeugenol acetate.

Kajian dari Singhad College of Pharmacy di India pada tahun 2010 telah mengulas bahawa komponen utama lengkuas iaitu acetoxychavicol acetate, yang turut memberi bau kuat lengkuas, berperanan sebagai antioksidan utama dalam membuang toksin dalam tubuh.

Pelbagai sebatian bioaktif dalam lengkuas memberi kesan antiradang yang boleh melegakan bengkak dan kesakitan. Apabila jus lengkuas ini disapu pada kulit terbakar, ini mampu melegakan rasa sakit serta menyembuhkan kulit terbakar.

Kajian oleh para penyelidik di Nagasaki University, Jepun pada tahun 2011 melaporkan bahawa ekstrak lengkuas mampu merencat pertumbuhan virus yang menyebabkan pelbagai penyakit. Didapati, komponen utama lengkuas iaitu 1′-acetoxychavicol acetate mampu menghentikan replikasi virus pada peringkat mekanisme sebelum virus terus merebak dengan lebih teruk.

Ingredien Aktif

Kandungan bahan aktif ialah α-humulane, pentadecane dan 1′-acetoxyeugenol acetate.

Farmakologi Tradisional Lengkuas Kecil

Lengkuas telah digunakan di Barat sejak zaman pertengahan. Sifat-sifat perangsang dan tonik dalam lengkuas pula telah membuatkan orang Arab memberikannya pada kuda untuk merangsangnya. Di Timur pula,lengkuas yang telah dijadikan serbuk digunakan dalam pembuatan pewangi dan minuman.

Di India pula, lengkuas dikatakan digunakan sebagai pewangi tubuh, ketiak dan juga untuk menghilangkan masalah mulut berbau busuk atau halitosis.

Air rebusan lengkuas dikatakan mampu dijadikan sebagai ramuan ubatan bagi melegakan masalah-masalah seperti kembung, dispepsia (pencernaan yang terganggu), muntah-muntah, dan perut yang mengembung.

Ia juga dikatakan mampu digunakan untuk merawat arthritis, ulser dan keradangan perut, memperbaiki pengedaran darah pada tangan dan kaki, merawat cirit-birit dan melindungi tubuh daripada risiko-risiko kanser tertentu.

Perubatan Ayurveda telah menggunakan lengkuas dalam rawatan rambut dan kulit kepala. Jika minyak ekstrak lengkuas disapu pada kulit kepala, ia dikatakan mampu meningkatkan peredaran darah dan merangsang pertumbuhan rambut.

Perubatan Cina dikatakan menggunakan lengkuas dalam formula untuk merawat masalah-masalah pencernaan dan kesihatan sistem penghadaman.

Cara guna (perubatan traditional)

Mengecutkan peranakan:

Lengkuas kecil ialah satu daripada campuran herba yang dibasuh dan direbuskan sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman(Terengganu).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Lengkuas kecil ialah satu daripada campuran herba yang dibasuh bersih dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan air mandian (Terengganu).

Merawat senggugut

Sebanyak 250g lengkuas kecil, bersama-sama 1kg tutup bumi, 250g lemuni putih 250g pegaga, 250g tapak kuda, dan 125g kemuning hitam diracik halus, dijemur sehingga kering atau selama seminggu, dan kemudian Dipanaskan menggunakan ketuhar selama 20 min pada suhu 130°C. Campuran bahan dikisar sehingga menjadi serbuk halus dan dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul dimakan dua kali sehari dan diamalkan sehingga sembuh (Pulau Pinang).

Membuang angin dalam badan

Lengkuas kecil ialah satu daripada campuran herba yang dibasuh bersih dan di rebus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan air mandian (Terengganu).

Merawat panau

Rizom lengkuas kecil diasah pada belakang pasu kemudian disapukan pada panau (Kelantan).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top