Ulam Raja

Ulam raja merupakan tanaman yang popular di Asia Tenggara yang selalu dijadikan ulaman dalam hidangan. Tumbuhan jenis renek ini amat mudah membiak dan tidaklah sukar untuk ditemui. Ia digunakan dalam rawatan tradisional untuk meningkatkan taraf kesihatan. Khasiat utama antaranya ialah menghentikan darah nifas, menguatkan memori, mengawal paras glukosa darah. Ia amat bagus sekiranya diamalkan pengambilan secara kerap.

Klasifikasi

Family: Asteraceae (Compositae)

Genus: Cosmos

Species: Caudatus

Nama Saintifik

Cosmos caudatus

Nama lain

Tomato

habitat

Herba ini mempunyai kitar hayat setahun. Ia dipercayai berasal dari Amerika tropika dan subtropika. Herba ini telah lama beradaptasi di Semenanjung Malaysia dan biasanya dijumpai ditanam di kawasan perumahan sebagai hiasan dan ulaman.

sifat

Herba yang boleh mencapai ketinggian hingga 2 m. Batangnya berbentuk silinder hingga bersegi, menegak serta bercabang sepanjang batang pada jarak tertentu, permukaan hampir glabrus.

Daun tersusun secara setentang, daun jenis pinatifid, mempunyai 3-5 lous yang bercantum, margin licin, permukaan daun glabresen, dan berbau wangi.  Tangkai daun panjang dan berwarna hijau kemerahan.

Jambak bunga pada terminal, jenis berkepala tunggal atau korim. Kaliks bercantum pada bahagian bawah dan kelopak kepala bunga berwarna merah jambu. Filari menegak, berbentuk ovat-oblong dan berwarna putih, dan berwarna putih. Floret berwarna kuning.

Buah jenis sipsela, permukaan glabrus dengan kehadiran 2-3 papus berwarna putih dalam keadaan mencapah.

cara pembiakan

Biji benih

biji benih ulam raja amat mudah ditanam
daun ulam raja berbentuk bintang

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan, Kajian terhadap pesakit kencing manis (diabetes) yang mengambil 15 gram ulam raja setiap hari selama lapan minggu menunjukkan paras bacaan glukosa dalam darah yang lebih baik dan terkawal berbanding pesakit yang tidak mengambil ulam raja. Penurunan paras glukosa ini disebabkan oleh ciri-ciri ulam raja yang mampu meningkatkan paras sensitiviti insulin, hormon yang bertanggungjawab mengawal paras glukosa dalam darah.

Ulam raja kaya dengan sumber bioaktif kompaun seperti asid askorbik, asid klorogenik, quercetin, dan proathocyanidin yang boleh membantu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi dan kardiovaskular. Kompaun ini berperanan mengurangkan kadar penghasilan hormon prostaglandin, hormon yang berfungsi menyebabkan keradangan dalam badan khususnya di bahagian otot jantung.

Kandungan antioksida di dalam ulam raja merupakan juga tinggi. Ini termasuklah mengandungi asid askorbik, thiamine dan riboflavin sebagai antioksida utama.

Ekstrak ulam raja memberikan tindak balas anti-diuretik, sama seperti tindak balas yang dihasilkan oleh ubat darah tinggi. Ia sesuai bagi mengawal tekanan darah tinggi di dalam badan.

Ia juga berfungsi untuk menguatkan sistem hati dan menyokong fungsi pembuangan bahan kumuh yang terkumpul. Kajian yang dijalankan terhadap haiwan membuktikan pengambilan ekstrak ulam raja selama 21 hari dapat mengurangkan lactate dehydrogenase, enzim yang menandakan tahap keterukan fungsi hati.

Phenylpropane yang diekstrak daripada akar ulam raja juga telah terbukti mempunyai kriteria anti-kulat terhadap kulat

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti asid askorbik, thiamine dan riboflavin, Phenylpropane

Farmakologi Tradisional Ulam Raja

Di Malaysia, herba ini digunakan secara tradisional untuk penambahbaikan peredaran darah, sebagai agen anti-penuaan, mengurangkan badan panas, menguatkan sumsum tulang (kerana tinggi kandungan kalsium), untuk menggalakkan nafas segar dan merawat jangkitan yang berkaitan dengan mikroorganisma patogen.

Ia dikatakan dapat membaiki struktur asas tulang dan meningkatkan ketumpatan tulang. Justeru, struktur tulang menjadi lebih kuat dan stabil.

Masyarakat kampung pada zaman dahulu mempunyai tahap kecergasan yang tinggi serta jarang mendapat penyakit kronik. Ia dikatakan ulam raja mampu membantu menambakan kandungan oksigen dalam darah. Memberikan keseimbangan dan kesegaran kepada tubuh.

Ulam raja juga dikatakan mampu menjadikan seseorang itu awet muda. Ia mampu meningkatkan keanjalan kulit.

Cara guna (perubatan traditional)

Penjagaan kesihatan dalaman

Keseluruhan pokok ulam raja dibasuh dan dibersihkan, kemudian dijadikan sebagai ulam dan boleh diamalkan selalu (Pahang).

Menghentikan darah nifas

Untuk hari pertama rawatan, sedikit pucuk serai kayu ditumbuk sehingga lumat. Airnya diperah dan diminum sebanyak ¼ gelas. Hari kedua, pucuk kapal terbang ditumbuk sehingga lumat. Airnya diperah dan diminum sebanyak ¼ gelas. Hari ketiga, pucuk ribu seni ditumbuk sehingga lumat. Airnya diperah dan diminum sebanyak ¼ gelas. Hari keempat, air perahan pucuk ulam raja ditumbuk sehingga lumat. Airnya diperah dan diminum sebanyak ¼ gelas. Kesemua Teknik perlu dilakukan mengikut urutan dan air perahan diminum sehari sekali sehingga sembuh (Kelantan).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top