Detok vaksin dengan garlic
Catatan Perjalanan dan Sebuah Kisah Inspirasi
Semalam (18 Mei 2025), saya sengaja berjalan kaki dari bengkel kereta berhampiran Pusat Islam Kelantan (MAIK) untuk pulang ke rumah di Salor. Jaraknya kira-kira 14 kilometer. Namun, kerana berjalan kaki, saya dapat melalui jalan pintas yang merentasi kawasan penempatan — satu bentuk “kampung dalam bandar” yang masih terpelihara suasananya.
Dalam perjalanan itu, saya terserempak dengan sepasang suami isteri yang sedang asyik berkebun di halaman rumah banglo mereka. Walaupun tanah mereka tidak begitu luas, ia cukup untuk dijadikan kebun tanaman yang subur. Yang menarik perhatian saya, pasangan itu berbangsa Cina tetapi bertutur dalam bahasa Melayu dengan loghat Kelantan yang fasih — persis orang Melayu jati dari negeri ini. Maka, mudah bagi saya untuk bertegur sapa dan berbual panjang.
Kami terus serasi apabila mendapati kami berkongsi minat yang sama: tanaman dan perubatan herba. Banyak ilmu yang saya peroleh daripada perbualan tersebut, dan saya berhajat untuk menziarahi mereka lagi pada masa akan datang. Namun, ada satu kisah yang benar-benar menarik perhatian saya — kisah bagaimana si suami terpaksa menutup perniagaannya selepas mengambil vaksin Covid-19.

Menurutnya, beliau yang kini berusia lewat 50-an. Dahulunya mengusahakan bengkel membaiki kenderaan pacuan empat roda (4×4). Namun katanya selepas mengambil tiga dos vaksin covid-19, beliau mula mengalami masalah kesihatan yang serius. Badan menjadi lemah, tangan sukar digerakkan, dan suara juga semakin sukar keluar.
Akhirnya, beliau membuat keputusan untuk menutup bengkel tersebut dan menumpukan perhatian kepada aktiviti yang lebih ringan — bercucuk tanam bersama isterinya di sekitar rumah. Sayur-sayuran yang ditanam menggunakan baja organik itu kemudiannya dijual kepada restoran-restoran di sekitar Kota Bharu. Kini, beliau kelihatan gembira dan puas hati dengan kehidupan serta punca rezeki baharu itu.
Saya juga berasa teruja apabila mengetahui bahawa walaupun hanya memiliki tanah yang kecil — orang Melayu kata “sekangkang kera” — namun jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan dengan pendekatan yang betul, ia tetap mampu memberikan hasil dan pendapatan yang baik.
Tambah menarik, beliau juga berkongsi petua kesihatan yang diamalkan selepas mengalami masalah kesihatan selepas ambil vaksin. Setiap pagi, beliau makan bawang putih secara konsisten. Katanya, keadaan tubuhnya kembali pulih, malah beliau kini boleh bekerja semula — bukan lagi sebagai mekanik, tetapi sebagai pekebun sepenuh masa.
Daripada cara beliau bercerita tentang pokok dan kegunaannya dalam perubatan, saya dapat mengagak bahawa beliau seorang yang cenderung kepada perubatan tradisional. Mungkin itulah yang mendorongnya untuk mencuba pendekatan semula jadi seperti bawang putih bagi memulihkan kesihatannya.
Banyak yang saya pelajari daripada perbualan singkat itu. Antaranya, bahawa bercucuk tanam tidak semestinya memerlukan tanah yang luas. Dan tentang kesihatan pula, kita sebenarnya mempunyai banyak pilihan — sama ada menggunakan rawatan moden atau pendekatan tradisional. Yang penting, kita sendiri yang menentukan jalan ikhtiar yang sesuai dengan diri kita.
Menariknya, walaupun beliau cenderung kepada perubatan tradisional, tetapi beliau tidak menolak perubatan konvensional, malah beliau juga aktif menderma darah.
Kesimpulan dan pengajaran
✅ Tanoh seciput pun buleh jadi rezeki, asalkan rajin.
✅ Sakit? Pilihan rawatan tu ada – moden atau tradisional, ikut kita.
✅ Bila rezeki tutup satu pintu, Allah buka pintu lain. Kadang-kadang lebih tenang dari dulu.

Nota: Ini hanya penceritaan semula pertemuan penulis dengan subjek dalam kesah ini. Penggunaan garlic atau bawang puteh untuk mengatasi isu berkaitan vaksin bukan idea penulis untuk menyaran penggunaan bawang puteh tetapi hanya menceritakan kembali apa yang dinyatakan oleh subjek.
Share info untuk manfaat ramai