saudara Yazid Deraman – Kisah Ujian, Sabar dan Kesembuhan
“Segalanya berlaku dengan izin Allah. Dengan berkat kesabaran untuk sembuh, doa para sahabat serta sokongan keluarga semasa saya melalui satu perjalanan ujian kesihatan yang sangat mencabar, Alhamdulliah saya kembali kembali sembuh”.

Saudara Mohd Yazid mengidap pelbagai penyakit kronik, seperti kanser, kegagalan ginjal (tahap 3), batu karang, sakit jantung dan stroke.
Beliau menghadapi saat saat kritikal. Namun kembali sembuh sepenuhnya setelah mengamalkan minum susu kuda.
Artikal ini berdasarkan maklumat bertulis kepada saya oleh Saudara Yazid. Saya telah menyusun semula penulisan asal supaya sesuai untuk media sosial. Beliau berharap agar pengalaman yang dilalui ini dapat memberi manfaat kepada orang lain, khususnya sebagai inspirasi untuk tidak berputus asa dalam menghadapi ujian Allah.
Latar Belakang Saudara Mohd Yazid
Beliau adalah pesara kerajaan. Jawatan terakhir ialah pensyarah Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan dan kini menetap di Kota Bharu. Saya mengenali beliau kerana kami pernah bersekolah di sekolah yang sama, iaitu Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah. Beliau merupakan junior saya, tiga tahun lebih muda.
Ini kesah Mohd Yazid (Seperti yang diceritakan)
Permulaan Ujian Kesihatan (Ketika PKP 2020/2021) – Kanser dan batu karang Ginjal
Semasa tempoh PKP tahun 2020/2021, saya mula mengalami sakit pinggang. Pemeriksaan X-ray mendapati terdapat batu karang pada buah pinggang sebelah kanan. Namun, selepas pemeriksaan lanjut oleh pakar urologi, doktor mengesan terdapat komplikasi lain.

Saya kemudian menjalani CT Scan, dan keputusan yang diterima amat mengejutkan — saya disahkan menghidap kanser buah pinggang sebelah kiri. Pembedahan segera dilakukan untuk membuang buah pinggang kiri kerana jangkitan telah merebak hingga ke paru-paru.
Selepas itu, saya menjalani rawatan kemoterapi dengan memakan ubat kemo setiap hari selama tiga tahun.
Selain masalah batu karang, buah pinggang yang sama juga mengalami kegagalan fungsi. Saya telah dirujuk kepada pakar buah pinggang di Hospital Lati, Pasir Mas dan menjalani pemeriksaan serta rawatan selama dua bulan.
Alhamdulillah, keadaan kini berada pada tahap 3 dan masih dalam pemantauan pakar.
Dugaan Berterusan (2023–2024) – sakit jantung dan strok
Ujian tidak berhenti setakat penyakit kanser, sebaliknya pada bulan November 2023, saya diserang sakit jantung dan perlu menjalani prosedur angiogram.
Kemudian, pada bulan Mac 2024, sehari selepas berpuasa, saya rebah secara tiba-tiba dan tidak mampu bergerak — disahkan mengalami strok. Saya dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) selama tiga minggu dalam bulan Ramadan.
Seminggu sebelum Hari Raya, doktor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar penyakit saya. Saya dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat tanpa sebarang ubat.
Fasa Kritikal di Rumah

(Gambar ihsan Mohd Yazid)
Selama lima bulan, saya hanya terlantar di atas katil di rumah tanpa mampu bergerak. Semuanya perlukan bantuan
Saya tidak mengambil sebarang ubat — hanya minum susu Ensure Gold dan makan Nestum. Sepanjang tempoh itu, saya memakai lampin sepenuh masa.
Walaupun keadaan fizikal sangat lemah, saya masih mampu bercakap dan mengenali orang yang datang melawat. Saya juga terus menunaikan solat secara baring, membaca Al-Quran serta mengamalkan zikir dan doa-doa Nabi.
ditakdirkan dapat kaedah ikhtiar
Dalam keadaan itu, Allah menggerakkan hati insan-insan yang baik untuk datang membantu.
Sekumpulan jemaah dari Pondok Pasir Tumbuh, yang juga ahli tarekat, datang menziarahi saya. Mereka kemudian memaklumkan keadaan saya kepada seorang ulama, Maulana Sheikh Dr. Mahmud Al Ghany dari Arab Saudi, semasa satu perhimpunan di Rembau, Seremban.
Apabila ditunjukkan keadaan saya, beliau mencadangkan satu amalan ikhtiar — minum susu kuda.
Perubahan dan Pemulihan
Saya mula istiqamah minum susu kuda setiap hari selama dua bulan tanpa mengambil ubat atau suplemen lain.

Subhanallah, dengan izin Allah, perubahan mula berlaku.
Saya mula mendapat tenaga, selera makan kembali, dan sedikit demi sedikit mampu bergerak. Pergerakan semakin pulih dari hari ke hari sehingga ke tahap sekarang.

(Gambar ihsan Saudara Yazid)

Amalan Kerohanian
Sejak mula sakit hingga sekarang, saya tidak pernah meninggalkan amalan berikut:
- Bersedekah kepada asnaf dan masjid (dalam bentuk wang atau makanan)
- Menaja majlis ilmu di masjid
- Tidur yang cukup (7–8 jam sehari)
- Mengamalkan tidur seketika sebelum Zohor (qailulah)
- Mengalu-alukan kunjungan orang ramai untuk ziarah
Selain itu, saya juga sentiasa:
- Berdoa tanpa putus asa
- Bertaubat dan berzikir
- Menunaikan solat
- Membaca dan mengkhatamkan Al-Quran 30 juzuk
pergerakan
Dari segi fizikal, saya berusaha untuk tidak terlalu banyak berbaring. Saya cuba bergerak secara perlahan dan berperingkat untuk memulihkan otot dan saraf.

Subhanallah, segala kesembuhan adalah milik Allah.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, keadaan saya kini berubah hampir 90% lebih baik.
Semua ini berlaku hasil gabungan doa, kesabaran dalam menghadapi ujian, sokongan keluarga, serta doa daripada sahabat-sahabat termasuk dalam kumpulan WhatsApp.
Sesungguhnya, setiap ujian itu adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jangan pernah berputus asa — teruskan berdoa, berusaha dan bertawakal.

(Gambar ihsan Yazid Deraman)

(Gambar ihsan Yazid Deraman)

(Gambar ihsan Yazid Deraman)
Nota disclaimer:
Artikal ini bertujuan berkongsi pengalaman dan bukan untuk menggantikan kaedah rawatan. Kesan minum susu kuda juga berdasarkan pengaman dan pemerhatian semata-mata tanpa bukti saintifik
