Buah Pala

Buah pala sangat sinonim dengan negeri Pulau Pinang kerana buah ini menjadi makan ikonik dan identiti kepada negeri tersebut. Sering dijadikan sebagai jeruk buah. Rasanya memang sedap dan menyegarkan. Tiada pantang larang untuk pengambilan buah ini kerana ia dipercayai mempunyai banyak khasiat kepada tubuh badan. Biji buah pala lebih banyak digunakan sebagai rempah dan ia pernah menjadi rempah yang paling direbuti suatu ketika dahulu ketika zaman kolonialisme.

Klasifikasi

Family: Myristicaceae

Genus: Myristica

Species: Fragrans

Nama Saintifik

Myristica fragrans

Nama lain

Pala (Johor, Melaka, Perlis, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor,Terengganu)

habitat

Tumbuhan ini biasanya ditanam dan jarang ditemui tumbuh meliar.

sifat

Pokok sederhana besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 20 m. Kulit pokok mengeluarkan eksudat atau lelehan berwarna merah yang lekit apabila terluka.

Daun tersusun berselang, bebrbentuk eliptik-lanseolat, pangkal daun akut, tepi daun licin, hujung daun akuminat, dan daun mengeluarkan aroma apabila direnyukkan.

Jambak bunga terletak pada aksilari daun, jenis sima umbel, jambak bunga jantan biasanya berbunga banyak manakala jambak bunga betina mempunyai 1-3 bunga. Bunga berbau harum, berwarna kuning pudar, dan  perianth mempunyai tiga lobus.

Buah jenis beri atau seperti buah drup, berbentuk subglobus atau berbentuk buah pir, berwarna kekuningan, terbelah kepada dua bahagian apabila matang, dan mengandungi satu biji. Biji berbentuk ellipsoid atau ovoid, berwarna perang gelap, keras, berkedut dan ditutupi oleh aril (salut biji) yang berwarna merah dan berbentuk seperti jaring.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

 

buah pala mempunyai banyak khasiat
Buah pala mempunyai isi yang merah di bahagian dalam

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Dalam kajian penyelidikan yang dijalankan, biji pala adalah kaya dengan sebatian tumbuhan yang bertindak sebagai antioksidan dalam tubuh. Antioksidan adalah sebatian yang melindungi sel anda daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Ia boleh mengurangkan risiko bagi terkena kanser dan sakit kronik seperti sakit jantung dan kanser.

Buah pala mengandungi banyak kandungan antioksidan, termasuk pigmen tumbuhan seperti cyanidin, minyak pati seperti phenylpropanoid dan terpenes, dan juga sebatian fenolik termasuklah asid protocatechuic, ferulik, dan kafein. Rumusan kepada kajian yang dijalankan ke atas sel tikus mendapati esktrak buah pala yang diberikan mampu mengelakkan kerosakan dan kematian sel. Ia melindungi sel daripada mengalami oksidatif.

Keradangan sering dikaitkan faktor dalaman dan luaran. Buah pala kaya dengan sebatian anti-radang yang disebut monoterpenes, termasuklah sabinene, terpineol, dan pinene. Sebatian ini boleh membantu mengurangkan keradangan dalam badan anda dan memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai masalah keradangan.

Menurut National Center for Biotechnology Information, U.S. National Library of Medicine, minyak buah ini yang dihasilkan daripada biji buahnya, telah terbukti fungsinya sebagai analgesik dan memberikan kelegaan terhadap penyakit kronik.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, monoterpenes, sebatian fenolik.

 

Farmakologi Tradisional Buah Pala

Dalam rawatan tradisional, buah ini disarankan untuk digunakan sebagai remedi bagi masalah tidur dan insomnia. Buah pala digunakan dan ditemui dalam pelbagai bentuk seperti minyak pati, serbuk, dan ekstrak.

Buah pala banyak digunakan sebagai pengubatan tradisional untuk mengatasi masalah cirit, masuk angin, gangguan ginjal, dan mual. Manfaat ini disebabkan oleh adanya kandungan protein, karbohidrat, minyak atsiri, sodium, kalsium, vitamin (A, C, B1), asam oleanolat.

Manakala bagi biji pala yang telah dikisar dan dihaluskan digunakan dalam banyak tujuan seperti pembuatan kek dan roti, puding, snek atau pencuci mulut, minuman, pai labu atau pai epal, selain ia turut digunakan dalam pembuatan mentega pala.

Di India, serbuk pala digunakan secara eksklusif dalam penyediaan hidangan manis. Ia dikenali sebagai Jaiphal di kebanyakan bahagian India dan Jathi di bahagian Kerala. Ia merupakan hidangan yang digemari oleh mereka.

Di Indonesia, buahnya dihiris dengan halus dan kemudiannya dimasak untuk dijadikan manisan. Jika di Malaysia, ia lebih popular dijadikan sebagai jeruk.

Cara guna (perubatan traditional)

Ramuan minyak urut

Cara 1

Buah pala dicampurkan bersama-sama 20 batang serai wangi, 10 helai daun pandan, lima batang kayu manis. Kesemua bahan dicampurkan ke dalam minyak masak yang dicampurkan dengan sedikit minyak kayu putih dan dimasak selama lima jam (Johor).

Cara 2

Empat biji buah pala dicampurkan bersama-sama enam biji kelapa hijau, 15 batang serai wangi, dan anak burut but-but yang digoreng sekali dengan sarang. Kesemua bahan dimasak sehingga menjadi minyak (Johor).

Cara 3

Biji pala ditumbuk bersama-sama beras pulut hitam, halia bara dan akar serai wangi yang telah dikeringkan. Semua bahan ditumbuk bersama-sama beras pulut hitam. Sediaan dimasak dengan minyak kelapa sehingga mendidih (Pahang).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Buah pala dijadikan satu daripada ramuan dalam penyediaan rebusan untuk dijadikan mandian (Johor).

Merawat keputihan

Buah pala dikeringkan dan dikisar sehingga menjadi serbuk bersama-sama serapat, kayu manis, kunyi, cekur, dan majakani. Kesemua bahan perlu dikisar dengan kuantiti yang sama banyak. Satu sudu serbuk sediaam diletakkan di atas bekas khas untuk  bertangas. Tangaskan selama 20 minit sekali sehari selama tiga hari berturut-turut (Pahang).

Penjagaan kesihatan dalaman wanita

Cara 1

Buah pala dijadikan satu daripada ramuan dalam penyediaan ubat untuk kesihatan dalaman wanita (Pahang).

Cara 2

Dua biji buah pala digiling bersama-sama sebesar ibu jari kaki iaitu isi kunyit hidup, halia bara, seulas majakani, tujuh biji lada hitam, tujuh bunga cengkih, dan kayu manis sebesar jari kelengkeng. Sediaan digentel kecil dan dimakan sebiji dua kali sehari selepas seminggu bersalin (Pahang).

Kesan sampingan

Pengambilan buah  pala yang berlebihan memberi kesan toksik kepada badan dan mendorong perasan halusinasi. Ketoksikan pala boleh menyebabkan simptom yang serius, seperti degupan jantung yang pantas, mual, muntah-muntah, dan fikiran yang terganggu. (Hellodoktor.com)

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top