Jering

Jering sering dimakan sebagai ulam tetapi kurang popular kerana baunya yang tidak menyenangkan. Bagi pesakit penyakit kencing manis, ia boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil berterusan dengan kadar yang sedikit. Kerana kandungan sebatian alkoloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan. Individu yang memakan buah ini akan mengeluarkan air kencing yang berbau hancing kuat.

Klasifikasi

Family: Fabaceae

Genus: Archidendron

Species: Fragrans

Nama Saintifik

Archidendron pauciflorum

Nama lain

Jering, jengkol

habitat

Pokok ini mudah dijumpai dan tumbuh meliar di kawasan pinggiran hutan-hutan Asia Tenggara

sifat

Pokok jering jenis saka yang tumbuh sederhana besar rendang setinggi 15-25 meter pokok saka yang besar. Kanapi bulat atau tiada bentuk.

Batang pokok berwarna kemerahan dan licin di mana warna kayunya boleh menggelap menjadi perang tua apabila semakin berusia. Daun-daunnya majmuk setiap helai mempunyai 2-3 pasang anak daun, sederhana besar, bujur dengan hujung menirus. Pucuk muda kemerahan bertukar hijau tua setelah matang.

Bunga yang dihasilkan pokok jering kecil dan berwarna putih kuning muda menjambak banyak di celah ketiak daun. Ia aktif berbunga serta berbuah dari bulan Jun hingga Ogos dan di luar musim iaitu dari Disember hingga Februari.

Lenggai yang terhasil berkulit keras, dan berwarna perang ungu. Ia tergelung apabila masak lalu terbelah untuk menyebarkan biji benihnya yang besar dan berwarna perang kemerah-merahan; setiap lenggai mempunyai antara 3 hingga sembilan biji.

Benih-benih ini sederhana besar, berkulit tebal dan berjerut serta berwarna perang keunguan. Isi kulit biji berwarna biji hijau ketika muda, bertukar coklat tua setelah tua. Ia mempunyai rasa yang pahit dan berbau yang adakala tidak disukai sesetengah orang.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

jering mempunyai banyak khasiat
Banyak kegunaan jering terutamanya dalam masakan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan, bijinya mengandungi sejenis bahan alkoloid yang merangsang penghasilan air kecil. Bagi pesakit penyakit kencing manis pula, ia boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil berterusan dengan kadar yang sedikit. Ia kerana kandungan sebatian alkoloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Pelbagai kajian telah menunjukkan aktiviti antioksidan yang ada di dalam ekstrak buah ini. Hal ini kerana jering mengandungi polifenol, flavonoid, terpenoid, alkaloid, vitamin C, dan vitamin A sebagai sumber antioksidan yang baik sekaligus berperanan melindungi sel daripada radikal bebas.

Kajian yang menggunakan ekstrak daun, kulit dan biji jering mempunyai aktiviti antibakteria dan antikulat terhadap mikroorganisma seperti Staphylococcus aureus.

Kandungan protein yang tinggi sangat penting dalam pembentukan tisu badan. Ia memainkan peranan dalam fungsi tubuh termasuklah pencernaan sehinggalah pembiakan.

Jering dikelaskan sebagai racun serdahana kerana ia mempunyai asid jengkol iaitu sejenis asid amino yang menyebabkan keracunan Jering (djenkolism – jengkol bean poisoning). Ia menyebabkan sakit mencucuk/berdenyut (spasmodic pain), penyakit gout, salur kencing tersekat dan kegagalan renal akut. 

Keadaan ini boleh dikurangkan dengan banyak meminum air kosong selepas memakannya bagi mengurangkan pengumpulan asid djenkolic dalam badan dan melawaskan kencing.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti polifenol, flavonoid, terpenoid, alkaloid, vitamin C, dan vitamin A

Farmakologi Tradisional Jering

Dalam rawatan tradisional, masyarakat percaya dengan memakan buah jering dan menjadikan amalan mampu untuk mengawal kandungan gula di dalam badan. Ia mampu mengelakkan penyakit kencing manis.

Selain itu, ia juga turut mampu membantu sistem pencernaan di mana orang dahulu sering mengambilnya sebagai ulaman. Kandungan gula dalam buah ini tidak seperti mana bahan gula dalam makanan lain yang mengandungi karbohidrat. Ia mudah diuraikan menjadi tenaga. Disebabkan pengambilan buah ini sering dikaitkan dengan peningkatan stamina badan.

Ia dikatakan juga baik untuk kesihatan jantung. Ia mampu untuk mengurangkan toksin dalam badan. Mampu membantu melancarkan pengeluaran najis sehingga secara tidak lagsung menjadikan perut tidak bermaslah. Ia mengelakkan kembung perut.

Masyarakat juga mengatakan buah jering mampu mencegah kecacatan pada bayi,menjaga pertumbuhan tulang dan gigi yang masih dalam rahim. Ia menyihatkan mata.

Dalam pada itu, orang tua-tua sering mengingatkan tentang bahaya mengambil buah jering yang banyak kepada tubuh badan. Ia sering dikaitkan dengan pengambilan buah ini secara mentah dan juga jering tua kerana kandungan asid djenkolic yang tinggi di dalam boleh menyebabkan masalah buah pinggang.

 

Cara guna (perubatan traditional)

Mengawal kandungan gula

Cara 1

Buah jering dijadikan sebagai ulaman dalam hidangan makanan

Cara 2

Akar pokok jering yang dikeringkan kemudian direbus. Air rebusan diminum segelas sekali sehari.

Melawaskan kencing

Buah jering tua direbus selama 24 jam. Ia dimakan bersama kelapa muda parut yng dicampurkan dengan gula dan sedikit garam.

Merawat sakit batu karang

Tiga biji buah jering ditumbuk sehingga halus bersama sedikit halia sebelum direbus dengan lima gelas air. Air rebusan dibiarkan sejuk dan diminum secawan sehari.

Kesan sampingan

Jering dikelaskan sebagai racun serdahana. Individu yang memakannya banyak kali tanpa apa-apa kesan, mungkin mendapat kegagalan renal pada satu ketika lain (Hellodoktor.com).

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top