Kecubung

Kecubung mempunyai banyak jenis. Akan tetapi, kecubung berbunga putih dianggap paling beracun dibandingkan dengan jenis lain yang juga mengandung zat alkaloid. Ia menjadikan seseorang pening, mual dan mudah untuk pitam. Ia sekiranya diambil dalam kuantiti yang banyak. Penggunaan segala ubat dari pokok ini terhad untuk kegunaan luar sahaja. Dalam rawatan tradisional, kecubung digunakan untuk merawat kayap, merawat resdung, meredakan angin pasang, melegakan sakit lutut, dan merawat buasir.

Klasifikasi

Family: Solanaceae

Genus: Datura

Species: Metel

Nama Saintifik

Datura metel L.

Nama lain

Kecubung (Johor,Pulau Pinang, Perak,Pahang), terung pungar (Kedah), kecubong, (Selangor), terung pungap,terung pungat (Perlis),terung kecubung, kecubong putih, kecubung hitam

habitat

Biasanya ditanam atau tumbuh meliar di kawasan terbiar, tepi jalan, kawasan padang rumput,dan di kawasan tepi sungai sehingga kawasan 1000 m altitud.

sifat

Herba semusim, mencapai ketinggian hingga 2 m. Batang berwarna ungu gelap,berbulu pendek hingga glabrus.

Daun berbentuk ovat hingga ovat lebar, permukaan daun glabresen,pangkal daun berbentuk trunkat atau kuneat, tidak simetri, tepi atau margin daun sinuata-dentat,berlobus,atau licin, hujung daun berbentuk akuminat, dan tangkai daun panjang mencapai hingga 16 cm.

Bunga tegak,kaliks bunga berbentuk tubular,korola berwarna putih,kekuning-kuningan,atau ungu pudar,dan berbentuk corong.

Buah jenis kapsul,berbentuk hampir globos, dan mempunyai empat ruang atau injap.Biji banyak , berbentuk ginjal-diskoid, dan berwarna perang pudar.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji

Kecubung mudah tumbuh di kawasan terbuka
Banyak khasiat yang ada bagi pokok kecubung

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Pokok ini merupakan tumbuhan yang beracun kerana terdapat unsur-unsur toksik terutama kandungan alkaloid – alkaloid tropana. Gejala ini boleh menyebabkan kulit menjadi merah, sakit kepala, halunisasi dan mungkin konvulsi iaitu mengigil dan kejang serta koma.

Semua bahagian tumbuhan ini beracun, namun begitu keracunan hanya akan berlaku sekiranya sebarang bahagian tumbuhan ini dimakan dalam kuantiti yang banyak. Jika ada yang keracunan, terutamanya kanak-kanak jangan biarkan pesakit tertidur sebaliknya biarkan mangsa berada dalam keadaan sedar dengan cara minum kopi dan menyedut udara segar hingga kesan keracunan hilang.

Kandungan kimia yang terkandung dalam kecubung adalah hiosin, oksalik, lemak, dan hyosiamin. Kecubung putih ialah kecubung yang paling beracun sekali kerana ia mengandungi sebatian alkaloid beladona.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti hiosin, oksalik, lemak, dan hyosiamin, alkaloid

Farmakologi Tradisional Kecubung

Kecubung biasa digunakan dalam perubatan Melayu untuk merawat penyakit-penyakit seperti asma, rheumatik, sakit pinggang dan bisul.

Untuk asma, 10 helai daun kecubung dihiris halus dan dijemur hingga kering. Ia kemudiannya dijadikan rokok dengan dibungkus dalam kulit jagung. Kaedah ini juga dikatakan dapat merawat resdung.

Untuk rheumatik pula daunnya diramas hingga layu dan disapukan minyak kelapa. Daun ini kemudiannya dilayurkan pada api dan ditampal pada bahagian yang sakit ketika masih panas. Untuk sakit pinggang dan sengal-sengal badan 4 helai daun kecubung dicampurkan dengan kapur sirih secukupnya dan ditumbuk hingga lumat dan menjadi adunan yang sebati untuk disapukan pada bahagian yang sakit.

Berbagai cara dan kaedah boleh digunakan dan salah satu cara bagi menghilangkan bentan pada buah zakar bayi adalah dengan mengambil daun kecubung dan disapu dengan minyak kelapa dan dilayur di atas api kemudian balut buah zakar dan membiarkan untuk beberapa ketika.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat kayap

Daun kecubung dijemur sehingga tiada getah, kemudian diramas bersama dengan bedak sejuk dan ditempelkan pada bahagian yang terkena kayap dua kali sehari sehingga sembuh (Selangor).

Merawat resdung

Cara 1

Bunga kecubung dikeringkan kemudian dibalut dengan kain dan dibakar. Asap disedut melalui hidung dan dilakukan dua kali sehari (Kedah).

Cara 2

Bunganya dijemur hingga kering. Bunga yang telah kering dibakar dan asap disedut melalui hidung sekali sehari sehingga sembuh (Perlis).

Cara 3

Daun kecubung dikeringkan dan digulung seperti rokok. Hujung daun dibakar dan disedut melalui hidung secara pelahan-lahan dan diamalkan sehingga sembuh (Negeri Sembilan).

Cara 4

Segenggam daun kecubung diramas bersama dengan daun tahi babi dan sedikit air. Sapukan pada muka dua atau tiga kali sehari selama seminggu atau boleh menjadi amalan. Ramuan ini juga boleh dicampurkan dengan bedak sejuk (Perak).

Meredakan angin pasang

Cara 1

Daun kecubung direbus sehingga layu dan ditampal pada testis sekerap yang boleh sehingga sembuh (Kedah,Pulau Pinang, Perlis, Pahang).

Cara 2

Sehelai daun kecubung dibalut pada bahagian yang bengkak dan dilakukan setiap waktu pagi sehingga sembuh (Selangor).

Cara 3

Daun kecubung dilayur atas api sehingga menjadi layu. Daun disapu dengan sedikit minyak kelapa dan tuam pada bahagian yang bengkak sebelum dijadikan lapik di atas kain lampin bayi (Pahang).

Melegakan sakit lutut

Dua atau tiga helai daun kecubung dilayurkan di atas api sehingga layu. Balutkan daun pada bahagian lutut yang sakit. Daun ditampal ketika rasa sakit sahaja(Johor).

Merawat buasir

Daun kecubung bersama dengan buah terung susu dan putik kelapa dilayurkan di atas api sehingga daun menjadi layu dan dituam pada bahagian buasir dua kali sehari sehingga sembuh (Kedah).

Kesan sampingan

Semua bahagian tumbuhan ini beracun. Keracunan hanya akan berlaku jika sekiranya sebarang bahagian tumbuhan ini dimakan dalam kuantiti yang banyak (Jabatan Pertanian Malaysia).

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top