Limau Purut

Limau purut biasanya ditanam dan sering digunakan oleh masyarakat untuk pelbagai tujuan.  Antaranya ialah sebagai bahan dalam masakan. Dalam aspek kecantikan, ia memang terkenal dari dahulu lagi untuk kecantikan kulit, rambut dan juga bagi tujuan untuk menguruskan badan. Orang awam biasanya sering tertukar di antara limau purut dan juga limau nipis. Ia berada dalam famili yang sama dengan pokok limau (citrus) yang lain cuma ia mempunyai struktur buah yang agak berkedut dan menggerutu. Ia tidak mempunyai jus sebanyak limau yang lain.

Klasifikasi

Family: Rutaceae

Genus: Citrus

Species: Hystrix

Nama Saintifik

Citrus hystrix

Nama lain

Limau purut (Kedah, Johor, Melaka, Selangor, Perlis, Terengganu, Perak), limau hantu, limau abang, limau sewangi.

habitat

Tumbuh meliar dan selalunya ditanam di iklim tropika dan subtropika.

sifat

Pokok bersaiz kecil dan boleh mencapai ketinggian sehingga 3-6 m. Batangnya tidak lurus, bercabang, dan dahan tumbuh menyebar atau berselerak, mempunyai duri-duri pendek.

Daun tersusun berselang, berbentuk ovat-ovat panjang, tepi daun krenat, hujung daun obtus, permukaan atas daun berkilat dan berwarna hijau. Permukaan bawah agak pudar. Tangkai daun mempunyai sayap yang agak lebar, kadang kala mempunyai lebar hampir sama dengan bilah daun.

Jambak bunga pada aksilari, bunga kecil, berwarna putih dan berbau sangat harum. Buah jenis beri, berbentuk ovoid hingga ellipsoid, berwarna hijau dan bertukar kuning apabila masak, dan kulit buah sangat menggerutu.

Buah menghasilkan jus yang sedikit atau tidak berjus. Ia mempunyai biji yang banyak.

cara pembiakan

Keratan batang

Sebuah pokok menghasilkan banyak buah limau purut
buah limau purut mengandungi kurang jus berbanding limau yang lain

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian pada tahun 2017 menunjukkan bahawa buah ini dikaitkan dengan penurunan tekanan darah sistolik dan beberapa sebatian di dalam buah ini boleh meningkatkan penanda kesihatan jantung. Serat larut dan flavonoid yang ada dalam buah ini boleh meningkatkan tahap kolestrol baik dan mengurangkan kolestrol jahat.

Flavonoid yang ada dalam buah ini adalah bersifat antiksidan yang kuat yang memberi manfaat kepada hati. Selain itu, ia turut berfungsi sebagai bahan terbaik dalam menghalang pembentukan asid yang berlebihan serta mengawal pertumbuhan lemak di dalam badan.

Ia juga bersifat anti-serangga oleh kerana kandungan citronellol dan limonene yang terdapat dalam buahnya yang sangat tidak disukai oleh serangga tersebut.

Sifat antioksida serta anti-bakteria yang dimiliki limau purut menjadikan ia mampu meningkatkan sistem imun badan yang bukan sahaja boleh digunakan sebagai sapuan, namun juga boleh diambil dalam diet seharian.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, vitamin, citronellol dan limonene.

Farmakologi Tradisional Limau purut

Dalam rawatan tradisional, ia dapat membantu merangsang perjalanan darah di dalam badan bahan masakan yang dicampur dengan perahan jus limau purut dapat membantu mengawal kolesterol di dalam masakan. Dikatakan bahawa mereka yang selalu mengamalkan pengambilan masakan yang dicampur limau jarang menghidap penyakit darah tinggi.

Di Jepun, didapati bahawa orang yang sering mengambil buah yang diperkaya dengan vitamin yang tinggi mempunyai kadar penyakit jantung dan strok yang lebih rendah.

Orang zaman dahulu percaya dengan mengamalkan mandian limau purut dapat menguruskan badan serta mencantikkan kulit. Ia juga terkenal sebagai agen anti penuaan. Seluruh tubuh badan akan susah berkedut dan menjuadikan diri lebih awet muda.

Di kampung, buahnya dijadikan skrub wajah dan tubuh. Ia menghaluskan kulit dan merawat luka kecil akibat gigitan serangga, kudis dan jerawat.

Kegunaan yang paling popular adalah dijadikan sebagai pembersih gusi, dengan menggunakan daunnya untuk digosokkan secara langsung pada gusi bagi menyahbakteria berbahaya dalam mulut.

Sebahagian masyarakat di beberapa buah negara menggunakan perahan atau minyak limau purut sebagai sapuan pada kulit bagi menghalang daripada serangan serangga.

Beberapa bahagian pada tumbuhan ini seperti daunnya ataupun esktrak minyaknya boleh digunakan sapuan mahupun minuman bagi individu yang mengalami kesakitan akibat daripada keradangan dipercayai kerana sifat anti-keradangan yang dimiliki oleh limau purut.

Ekstrak yang dihasilkan daripada buah dan daunnya boleh digunakan sebagai rawatan alami bagi masalah kutu kerana ekstrak tersebut mampu membunuh kutu yang bertindak sebagai parasit yang hidup di kepala individu.

Cara guna (perubatan traditional)

Menaikkan seri wajah

Daun limau purut dicampukan dalam masakan, atau dihiris halus untuk dijadikan sebagai ulaman (Selangor).

Ramaun bedak sejuk

Daun limau purut, dau cekur, halba, jerangau, kunyit, dan daun sup ditumbuk bersama-sama beras (direndam dan salin beras berkali-kali sehingga beras lembut). Bahan yang telah ditumbuk dijemurkan sehingga kering untuk dijadikan bedak. Bedak diletakkan di muka semasa tidur (Johor).

Tonik rambut

Daun limau dikisar dengan santan, putih telur dan ketumbar hitam. Sediaan diperap di kepala dan biarkan selama sejam (Johor).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Biji, buah, bunga dan daun limau purut dijadikan satu daripada ramuan untuk mandian selepas bersalin. Bahan campuran herba bersama dengan bahagian-bahagian limau purut ini direbus atau diramas di dalam air. Air tersebut dijadikan mandian selama tempoh berpantang (Kedah, Johor, Melaka, Perlis).

Merawat penyakit kulit

Tiga belas hingga empat belas helai daun jambu batu, daun senduduk, daun betik dan asam jawa direbus dan dijadikan air mandian dua kali sehari pada waktu pagi dan petang (Johor).

Meredakan demam panas

Jelum atau lumurkan air buah limau purut di atas kepala bayi selama tiga hari atau sehingga sembuh (Pulau Pinang).

Merawat angin ahmar

Daun limau purut direbus bersama-sama mengkudu, jambu batu, lengkuas, teja dan pandan. Air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari dan daun-daun tersebut diletakkan di anggota badan (Johor).

Mengawal aras glukosa dalam darah

Buah melada pahit bersama denga nisi setawar kampung, daun hempedu bumi, daun mas cotek, daun teh cina dan daun limau purut direbus dan kemudian airnya diminum (Negeri Sembilan).

Melegakan sakit otot, sakit urat dan sakit kepala

Daun limau purut dijadikan satu daripada bahan untuk melegakan sakit otot. Kesemua bahan dihiris senipis tudung botol minuman dan diletakkan di dalam kain dan dibalut kemudian diletakkan dalam minyak kelapa yang mendidih. Minyak digunakan pada bila-bila masa ketika rasa sakit (Terengganu).

Ramuan minyak urut

Daun limau purut dijadikan satu daripada campuran herba yang ditanak dengan minyak dan herba yang lain beberapa jam. Minyak digunakan utnuk mengurut bahagian yang sakit (Pulau Pinang).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top