Pandan

Daun pandan mempunyai bau yang sangat wangi. Ia juga mampu menghilangkan bau busuk dalam ruang kecil seperti bilik. Selalunya, ia mempunyai sangat banyak kegunaan dalam masakan kerana ia merupakan bahan utama yang ditambah untuk menjadikan makanan lebih sedap dan berbau harum. Biasanya dimasukkan dalam penyediaan nasi lemak dan juga bubur. Pandan wangi biasanya digunakan secara komersial untuk membuat kosmetik dan wangian.

Klasifikasi

Family: Pandanaceae

Genus: Pandanus

Species: Amaryllifolius

Nama Saintifik

Pandanus amaryllifolius

Nama lain

Pandan, pandan wangi

habitat

Biasanya ia sering ditanam di halaman rumah.

sifat

Sejenis pandan yang tumbuh menegak dan boleh mencapai ketinggian sehingga 1 m. Terdapat pertumbuhan akar aerial pada bahagian batang dan cabang. Batang bercabang dikotomus, berongga, berwarna kelabu perang dan terdapat kesan tinggalan daun

Daun berbentuk pedang, linear, tegak, mencapai panjang 1-2 m, tersusun berpilin, hujung daun panjang dan mirip flagella, permukaan atas daun hijau daun berkilat. Pada permukaan bawah daun terutama bahagian pangkal, jelas kelihatan jalur berwarna hijau pudar yang terletak di sisi urat tengah daun.

Berbau harum dan braktea yang besar jelas kelihatan.

cara pembiakan

Keratan batang

Daun pandan mempunyai bau yang harum
daun pandan sebagai pewarna semulajadi

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kandungan minyak pati yang ada dalam daun pandan boleh dikatakan rendah termasuklah 2-acetyl-1-pyrroline yang memberi aroma di dalam beras Thai dan Basmati. Selain itu, ia juga mengandungi styrene, linalool, and β-cayophyllene. Tumbuhan wangi ini juga mengandungi pandamarine atau pandamarilactones yang memberi rasa, bau dan aroma seperti bunga.

Tumbuhan wangi ini mengandungi laxative yang boleh berfungsi untuk melegakan kesakitan pada kepala, telinga, dada dan arthritis.

Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2014, ekstrak daripada akar dan daun pandan mengandungi cytotoxic, antimiotic, antiproliferative dan apoptotic. Ini menjadikan tumbuhan wangi ini mempunyai potensi untuk digunakan sebagai terapi kanser.

Ia mengandungi sebatian alkaloid yang boleh membantu memberi kesan lega terhadap tubuh badan.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti flavonoid, alkaloid, saponins, styrene, linalool, and β-cayophyllene

 

Farmakologi Tradisional Pandan

Ia kebiasaannya digunakan sebagai pembalut makanan tradisional kita iaitu nasi lemak dan ayam kapitan, lauk-pauk seperti daging, ayam atau ikan sebelum dipanggang atau distim selain juga merupakan intipati utama dalam manisan seperti kek dan pau serta dalam minuman seperti air sirap.

Cina Peranakan secara tradisinya menggunakan daun pandan sebagai penghalau serangga. Secara saintifiknya, ia memang boleh mengusir serangga seperti semut, lipas dan nyamuk ekoran aromanya yang wangi dan kuat lantas mengganggu serangga-serangga ini.

Makan makanan yang berasaskan daun pandan seperti teh pandan meningkatkan selera makan. Selain itu, minum minuman ini dua kali sehari dapat juga dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan perut dan oral.

Dikatakan juga orang zaman dahulu memasukkan tumbuhan wangi ini ke dalam makanan dan minuman untuk mengurangkan sakit kepala. Ia turut dipercayai dapat menurunkan suhu badan untuk orang yang demam. Selain itu, ia mampu membantu menyembuhkan masalah kulit.

Selain itu, ia juga boleh melegakan sakit perut yang boleh jadi punca infeksi atau inflamasi. Bagi para ibu pula, pengambilan ekstraknya juga boleh membantu pemulihan selepas bersalin atau semasa berpantang.

Pengambilan ekstrak tumbuhan ini juga terbukti boleh menyahtoksik tubuh badan sekiranya diambil secara kerap dan tetap.

Cara guna (perubatan traditional)

Menurunkan darah tinggi

Rebus beberapa helai daun pandan dengan sukatan 2 gelas air. Didihkan sehingga airnya tinggal kira-kira setengah gelas sahaja. Airnya diminum sekali sehari pada waktu pagi.

Mengatasi lemah syahwat

Sehiris halia, sekeping kulit kayu manis dan beberapa biji halba berserta 3 helai daun pandan dicuci sehingga bersih. Rebus dengan empat gelas air sehingga tersisa dua gelas. Minum ramuan tersebut dua kali sehari setiap pagi dan petang.

Mengubati lemah saraf

3 helai daun pandan dicuci bersih kemudian dipotong halus. Rebus dengan 3 gelas air hingga tersisa 2 gelas sahaja. Dibiarkan suam dan selepas itu diminum segelas untuk dua kali sehari setiap pagi dan petang.

Mencuci kewanitaan

Daun pandan direbus bersama-sama daun inai, daun sirih dan buah manjakani. Sedikit garam ditambah. Setelah suam, air rebusan digunakan untuk mencuci kewanitaan.

Merawat rambut

Kisar 10 helai daun pandan yang segar dan campur 100ml santan kelapa tua. Urut kulit kepala dengan campuran tersebut dan balut kepala dengan tuala. Biarkan selama 30 minit. Basuh kepala kemudiannya dengan air.

Pewangi alami

Ikat atau potong daun pandan menjadi kecil dan masukkan ke dalam bekas. Boleh diletakkan ke dalam kereta atau almari rumah untuk bau dan juga bagi menghalau lipas secara semula jadi.

Buang angin dalam badan

3 helai daun pandan direbus bersama dengan sehiris halia serta seketul gula batu. Air rebusan diminum suam.

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top