Pepulut

Pokok Pepulut mudah ditemui di kawasan terbuka. Pokok ini tumbuh dengan banyak dan ia sangat mudah menguasai sesuatu kawasan di mana terdapatnya tumbuhan lain disekitarnya. Ia dianggap sebagai rumpai yang tumbuh meliar dan pokok ini antara pokok yang tidak dimakan oleh binatang ternakan.

Ia mempunyai banyak khasiat dalam rawatan tradisional seperti rawatan sakit gigi dan juga retak tulang. Khasiat lain dalam rawatan tradisional menggunakan pokok pepulut seperti luka, radang dan masalah kulit sensitif.  

Klasifikasi

Family: Malvaceae

Genus: Urena

Species: Lobata

Nama Saintifik

Urena lobata

Nama lain

Papulut, pulut bunga putih, pulut (Kedah), pepulut tanjung (Pahang), kepulut (Perlis), Kelulut (Selangor), pepulut

Habitat

Di Semenanjung Malaysia, pokok pepulut banyak ditemui di kawasan terbuka dan tumbuh di tepi jalan kebiasaannya mudah ditemui di kawasan berbukit

Sifat

Pokok ini mempunyai ketinggian yang mencapai sehingga 1.5 m. Batangnya tumbuh secara menegak, panjang berbentuk silinder, berbulu stelat.

Daunnya berselang seli, berbentuk ovat, hujung daun berbentuk subakut, tepi daun jenis serat bergigi, mempunyai tangkai yang panjang. Bunga pokok pepulut berbentuk jambak, jenis tunggal, bewarna merah jambu. Ia mempunyai lima petal pada bunganya dan berbentuk obovat.

Buah dari pokok ini berbentuk globos dengan permukaan yang leper, dilitupi bulu stelat dan berbentuk spinos.

Cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Pepulut sering digunakan untuk merawat sakit gigi
Pepulut mempunyai khasiat dalam rawatan tradisional

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian menunjukkan pokok pepulut mempunyai sifat anti bakteria, Ia mengandungi alkaloid, flavonoids di bahagian daun dan akar. Bijinya mengandungi enzim urease. Ekstrak akar mengandungi kemampuan antioksidan. ia mampu mencegah daripada pembentukan sel kanser.

Ekstrak biji juga dapat mengurangkan masalah diarrhea. Daun yang diekstrak dengan methanol menunjukkan ada kesan sitotoksik dan antioksidan pada kanser payu dara

Ingredien Aktif

Mengandungi alkaloids,  flavonoids, glycosides, terpenoids.

Farmakologi Tradisional Pepulut

Jus yang dihasilkan daripada daunnya digunakan untuk merawat sakit perut, cirit birit, demam malaria. Masyarakat Orang Asli Malaysia menggunakan seluruh bahagian pokok pepulut untuk merawat tulang patah, luka, dan sengatan serangga.

Daunnya juga digunakan merawat keradangan usus dan juga pundi kencing.  Akarnya bersifat diuretik dan digunakan sewaktu kesukaran untuk melahirkan anak. Ranting pokok ini dikunyah untuk merawat sakit gigi.

Di India, biji pokok pepulut digunakan untuk menghasilkan sabun kesihatan bagi mengatasi masalah kulit sensitif.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat kesuburan

Cara 1

Akarnya dibersihkan dan dijemur bersama kacip Fatimah, serapat pokok, bubin, mata itik, periuk kera, dara rindu, dan sepang. Kesemua bahan direbus sebanyak secekak setiap satu bahan. Air rebusan diminum sekali setiap hari. 

Cara 2

Bahan ini boleh turut dikisar bagi tujuan dijadikan serbuk atau kapsul.

Rawatan tulang patah

Tumbuk daun pepulut sehingga lumat dan disapukan pada bahagian yang patah dan dibalut dengan kain. 

Rawatan muntah darah

Bahagian akar pokok  dibersihkan dan direbus bersama sepokok kucing galak dan daun serta ranting pokok baru cina. Air rebusan diminum tiga kali sehari selepas makan.

Melawaskan kencing

Beberapa helai daun  diletakkan di bawah tungku dan dipanaskan bersama. Tungku di kawasan yang sakit atau lenguh.

Melegakan sakit urat

Beberapa helai daun pepulut diletakkan di bawah tungku dan dipanaskan bersama. Tungku di kawasan yang sakit atau lenguh.

Mengawal tekanan darah tinggi

Akar pepulut dibersihkan, dipotong kecil dan dikeringkan bersama senduduk bukit, mentajam, sendayan dan kelubi. Campuran direbus sehingga mendidih. Air rebusan dibiarkan sejuk dan setengah cawan air diminum dua kali sehari pada waktu pagi dan malam selepas makan.

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top