Pokok Asin-Asin

Peningkatan penggunaan pokok herba dalam rawatan tradisional banyak memberi pilihan kepada masyarakat untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Pokok asin-asin juga mempunyai pelbagai jenis kandungan bahan aktif yang mampu merawat penyakit seperti ulser, radang, diabetis, meningkatkan penghasilan susu badan. Pun begitu, penggunaan pokok asin-asin secara berlebihan mendatangkan masalah kepada badan iaitu penyakit paru-paru (bronchiolitis obliterans) seperti mana dilaporkan dalam banyak kajian yang dijalankan. 

Klasifikasi

Family: Phyllanthaceae

Genus: Sauropus

Species: Androgynus (L.) Merr

Nama Saintifik

Sauropus Androgynus (L.) Merr

Nama lain

Asing-asing (Kedah, Pulau Pinang, Perlis), Asing-asing gajah (Kedah, Negeri Sembilan), taruk manis, cermela hutan, pucuk manis (Johor, Negeri Sembilan), katuk, cekur manis

habitat

Tumbuh semulajadi di kawasan panas dan lembab (Asia) dan sering dijumpai di kawasan kampung dan biasanya ditanam.

sifat

Tumbuhan herba renek yang mempunyai ketinggian mencapai 3m. Batang dan cabang pokok bewarna hijau, permukaannya licin.

Dahan muda berbentuk segi empat dan berbentuk teret apabila matang.  Daunnya jenis ringkas, tersusun secara berselang, berbentuk ovat, hujung daun akuminat. Mempunyai jambak bunga pada aksilari, ada 1-2 bunga atau beberapa bunga jantan dan betina berada di bawah cabang daun yang tersusun secara kelompok.

Bunga jantan berbentuk cakera, sepal berbentuk obovat. Bunga betina adalh tunggal, mempunyai kaliks bewarna merah dan mempunyai enam lobus. Buah jenis kapsul, bewarna putih dan berbentuk globus. Bijinya bewarna hitam.

cara pembiakan

Keratan batang dan pemangkasan

Pokok asin-asin mempunyai banyak khasiat
pokok asin-asin juga dikenali sebagai cekur manis

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian menunjukkan bahagian daun pokok asin-asin mempunyai kepekatan bahan aktif yang tinggi seperti terpenoid, steroid, tannin. Hasil penyelidikan secara in vivo dan in vitro menemukan aktiviti famalogikal seperti anti-oksidan, anti radang, anti ulser, anti diabetik, pemutih kulit dan aktiviti yang mengawal sistem imun badan.

Kandungan phytosterols dalam pokok asin-asin diketahui membantu bagi mensintesis dan merembeskan hormon wanita (progesteron) dan estradiol. Hormon ini mengawal sistem pembiakan dan kelenjar mamal. 

Kajian turut menemukan octadecatrienoic acid yang penting untuk mengawal tekanan darah, kadar degupan jantung, ransangan sistem saraf, pengecutan otot dan penyembuh luka.

Linoleic acid yang dihasilkan oleh pokok asin-asin merupakan asid lemak perlu yang mana badan tidak dapat mensintesiskan sendiri bahan ini. Ia diperlukan sebagai komponen penting dalam diet harian. 

Ujian toksik yang dijalankan ke atas pokok asin-asin menunjukkan kadar mortaliti Artemia uramiana (larva udang harimau) meningkat apabila kepekatan ekstrak daun yang digunakan semakin meningkat. 

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, steroids, phenols, asid lemak, terpenoid.

Farmakologi Tradisional Pokok Asin-Asin

Dalam rawatan tradisional, pokok asin-asin digunakan untuk meningkatkan penghasilan susu badan, merawat ulser dan diabetik, mengurangkan berat badan.

Pokok asin-asin dipercayai mampu mengurangkan panas badan, pening kepala, penyakit jantung, tekanan darah rendah

Di Malaysia, ia digunakan untuk mengatasi masalah pembuangan air kecil (kecing tidak lawas), demam, meningkatkan sumber vitamin yang diperlukan oleh badan, menambah darah dan juga kegunaan bagi wanita selepas bersalin.

Cara guna (perubatan traditional)

Meredakan demam

Daun pucuk asin-asin diramas bersama-sama daun kaduk, kekabu dan belimbing buluh di dalam sebesen air. Air tersebut dijadikan mandian tiga kali sehari sehingga sembuh.

Merawat luka

Cara 1

Tumbuk daun pucuk asin-asin dengan sebatang serai, sebuku kunyit, dan secubit garam sehingga lumat dan dipanaskan. Sediaan kemudiaan ditempelkan pada bahagian luka dan dibalut kain. Kaedah diulang selama tiga hari atau sehingga sembuh.

Cara 2

Keringkan daun pucuk asin-asin dengan daun bunga raya, daun janda rusa, daun kesun kelapa, dan daun bunga susu. Kesemua daun yang telah dikeringkan direbus dengan air asam jawa. Air rebusan dilumurkan pada keseluruhan badan pesakit selama semalaman dan diamalkan sehingga sembuh.

Merawat sakit mulut (ulser)

Beberapa helai daun pucuk asin-asin ditumbuk dan disapu pada bahagian ulser. Sediaan disapu dua kali sehari dan diamalkan sehingga sembuh (Kedah).

Merawat buasir

Akar pucuk asin-asin segar dibersihkan dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum tiga kali sehari sehingga sembuh (Kedah).

Rawatan komplemen kepada masalah ketumbuhan tulang

Rebus daun pucuk asin-asin dengan daun jarum tujuh bilah, akar kerbau amuk, daun jarak bunting, daun perandai, daun pokok ajaib dan akar putih. Air rebusan diminum sehingga sembuh.

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top