Pokok Bunga CIna

Bunga cina berwarna putih. Baunya sangat harum dan mekar sepanjang tahun. Ia juga dikenali sebagai bunga melur. Pokok bunga cina mempunyai kandungan kimia yang tertentu. Daunnya jika dihancurkan dikatakan boleh ditampal pada kepala untuk merawat sakit kepala. Buahnya juga sering digunaan untuk meransang dan melawaskan air kecil, merawat demam panas dan batuk berdarah. Tumbuhan ini mempunyai aktiviti farmakologi yang tinggi seperti anti-mikrobial, anti-kanser, anti arthritis dan banyak lagi.

Klasifikasi

Family: Rubiaceae

Genus: Gardenia

Species: Jasminoides J.Ellis

Nama Saintifik

Gardenia jasminoides J.Ellis

Nama lain

Bunga cina (Melaka, Kelantan, Pulau Pinang, Johor), santan cina (Johor), bunga susu (Pahang), kaca piring, buah patah, buah batik, buah kuning.

habitat

Sering dijumpai di kawasan taman dan juga di halaman rumah (ditanam).

sifat

Tumbuhan renek yang mencapai ketinggian sehingga 2 m. Tumbuhan ini tidak mempunyai cecair putih atau lateks.

Kulit batang berwarna kelabu. Daun jenis ringkas, tersusun secara bertentangan, berbentuk eliptik dan lebar, hujung daun berbentuk akut-akuminat dan pangkal daun berbentuk kuneat.

Jambak bunga terletak pada aksilari. Bunga berwarna putih dan besar, mempunyai enam petal. Buah berbentuk bujur, berwarna hijau dan terbuka dengan cara merekah.

cara pembiakan

Keratan batang

Warna putih daun bunga cina menarik perhatian bagi serangga
bunga cina mempunyai banyak khasiat perubatan

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Berdasarkan penemuan saintifik hasil kajian yang dilakukan, pokok bunga cina mengandungi iridoids, iridoid glucosides, triterpenoids, organic acids, geniposide, genipin, gardenoside, crocin.

Bunganya mengandungi asetat stiren, asetat stirolil, linalol dan manit. Buahnya mengandungi alfa krosetin, glikosid, klorogenin dan minyak meruap. Bijinya mengandungi asid linoleik, asid oleik, asid palmitik dan kanji. Manakala kulit kayunya mengandungi beta-sitosterol dan nonakosan.

Ekstrak pokok ini mempunyai pelbagai aktiviti famakologi seperti anti-kanser, anti-arthritis, anti-radang, anti-artherosclerotic, anti-apoptotic, anti-oksidan, anti-thrombotic, anti mickrobial.

Ia turut ditemui mempunyai kesan pelindung melalui pelbagai mekanisma seperti neuroprotective bagi penyakit Alzheimer, hepatoprotective, gastroprotective, retinoprotective, skin protective.

 

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti iridoids, iridoid glucosides, triterpenoids, organic acids, geniposide, genipin, gardenoside, crocin.

 

Farmakologi Tradisional Pokok Bunga Cina

Dalam rawatan tradisional menggunakan bunga Cina digunakan sebagai kalung di kalangan penduduk Kepulauan Polynesia. Di Korea pula, buahnya digunakan dalam pembuatan pencelup kuning untuk makanan dan pakaian.

Masyarakat di negara China menggunakan bunga ini dalam perubatan tradsional mereka. Bunga ini dikatakan boleh menyembuhkan penyakit sendi. Selain itu, ia digunakan untuk mengurangkan panas dalam badan. Buahnya digunakan untuk menghentikan pendarahan dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Di Malaysia, daun pokok ini digunakan untuk menambah air susu ibu. Caranya ialah dengan menggiling daun tersebut hingga halus dan menampalnya di sekeliling payudara pada waktu pagi sebelum mandi.

Tambahan, pokok bunga cina turut digunakan sebagai pewarna makanan dan menghasilkan minuman teh.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat buasir

Akar bunga cina dijadikan datu daripada ramuan dalam pembuatan kapsul. Semua ramuan dikeringkan, dikisar, dan dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul ini dimakan dua kali sehari (Kelantan

Meredakan pening kepala

Bunga cina diramas di dalam air dan dilumurkan di kepala semasa mandi dua kali sehari selama tiga hari (Johor).

Merawat gastrik

Akar bunga cina dijadikan satu daripada ramuan dalam pembuatan kapsul. Semua bahan yang digunakan dikering, dikisar dan dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul ini dimakan dua kali sehari (Kelantan).

Meredakan demam panas

Cara 1

Beberapa helai daun bunga cina diramas di dalam air dan dilumurkan di kepala. Diamalkan dua kali sehari (Pulau Pinang).

Cara 2

Daun bunga cina, cekur manis, bunga raya, gandarusa, dan susun kelapa dikeringkan dan direbus bersama-sama asam jawa. Air rebusan dilumurkan pada badan selama semalaman (Pahang).

Cara 3

Daun bunga cina dan daun bunga raya merah diramas di dalam air dan dilumurkan di kepala dan seluruh badan setiap hari sehingga seumbuh (Pahang).

Mengawal tekanan darah untuk ibu selepas bersalin

Sepuluh ranting pokok bunga cina dan sepuluh rumpun daripada setiap akar tenggek burung, batang menteja, batang pasak bumi yang diracik, kayu lawang, dan batang setawar direbus sebagai ubat periuk. Ramuan direbus sehingga air rebusan menjadi separuh. Air rebusan dibahagikan kepada lima bahagian dan diminum selang tiga hari sekali (Johor).

Meredakan angin pasang

Akar bunga cina dijadikan satu daripada ramuan dalam pembuatan kapsul. Semua bahan yang digunakan dikeringkan, dikisar dan dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul ini dimakan dua kali sehari (Kelantan

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top