pokok ganja-ganja

Pokok ganja-ganja merupakan tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat. Ia bukanlah tumbuhan yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah. Ia menghasilkan bunga yang menarik dan daunnya sering dimasak untuk dimakan. Rasanya sedikit pahit. Jadi, ia sesuai dijadikan sebagai minuman tonik bagi menjaga kesihatan secara keseluruhan. Ia mampu membantu sistem pencernaan badan dengan baik, mengurangkan radang dan ia juga mampu menyembuhkan luka serta membantu sistem peredaran darah.

Klasifikasi

Family:  Lamiaceae

Genus: Clerodendrum

Species:  Indicum (L.) Kuntze

Nama Saintifik

Clerodendrum indicum (L.) kuntze

Nama lain

Tongkat rasul (Pulau Pinang), Pokok Panjang (Kelantan), ganja-ganja, penatoh

habitat

Di semenanjung Malaysia, tumbuhan ini mudah dijumpai di kawasan lembap yang berumput dan di kawasan terbuka.

sifat

Merupakan tumbuhan renek yang boleh mencapai ketinggian sehingga 1-2 m tinggi. Batangnya berbentuk silinder, berlekuk, berwarna hijau dan licin.

Daun tersusun secara berpusar 3-5 atau bertentangan, tidak bertangkai, berbentuk oblong-lanseolat, tepi daun rata hingga berombak, hujung daun berbentuk akut-akuminat dan pangkal daun berbentuk kuneat, licin.

Jambak bunga jenis panikel pada terminal, bunga berwarna kuning krim tersusun,petal berbentuk oblong, stamen dan stil panjang, berwarna merah.

Buah jenis beri, berbentuk ovoid berwarna hijau bertukar biru gelap apabila masak.

cara pembiakan

Biji benih dan keratan batang

Pokok ganja-ganja sesuai untuk meredakan batuk
Pokok ganja-ganja menghasilkan bunga berwarna merah

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Pokok ganja-ganja mempunyai aktiviti anti radang seperti mana yang dilaporkan dari dapatan kajian yang dilakukan. Oleh demikian, ia secara tidak langsung sangat berguna bagi proses penyembuhan luka.

Daunnya mempunyai kandungan flavonoids, scutellarein, hispidulin, dan sterol. Bahagian batangnya pula mengandungi resin, kolesterol dan beta-sitosterol.

Bunganya mengandungi hyroquinone, ucinatone dan flavones. Di bahagian kulit kayunya, kandungan seperti D-mannitol dan sorbitol dapat ditemui. Manakala akarnya mengandungi phenolic glycosides dan saponins.

Kehadiran saponins bertindak sebagai anti histamin atau anti radang. Jesteru, ia membantu menghalang hipersensitiviti badan terhadap agen luar seperti debunga yang boleh mendatangkan alergik kepada badan.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti flavanoids, steroids, scutellarein, hispidulin, sterol, hyroquinone, ucinatone dan flavones

Farmakologi Tradisional Pokok Ganja-Ganja

Menurut Ayurveda, pokok ganja-ganja sangat bagus untuk mengurangkan radang, menyembuhkan luka dan membantu peredaran darah dalam badan. Ia juga boleh membantu sistem pencernaan badan. Dalam sistem pernafasan, ia melegakan batuk dan asma disebabkan kemampuannya menyingkirkan mukus badan. Ia juga meningkatkan penghasilan peluh pada badan.

Daunnya sering digunakan sebagai minuman tonik. Daun yang kering dibakar seperti tembakau rokok bagi melegakan asma. Pes daunnya digunakan untuk merawat diabetes, mengatasi masalah bengkak pada nodus limfa.

Rebusan batang digunakan sebagai antidote untuk gigitan ular. Jus dari kulit kayu digunakan untuk merawat malnutrisi.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat sakit pinggang

Daun ganja-ganja dibuat ulam dan dimakan dua kali sehari sehingga sembuh (Pulau Pinang).

Mengawal tekanan darah

Daun ganja-ganja dikeringkan bersama-sama belimbing buluh, duri tujuh, pokok bismillah, cekur mas, belimbing tanah, pokok beruas sungkai, amin buah, rebung buluh dan dukung anak. Semua bahan ini dikisar dan dimasukkan ke dalam kapsul dan dimakan dua kali sehari (Kelantan).

Penjagaan kesihatan dalaman

Cara 1

Empat helai daun ganja-ganja direbus dengan 1 liter air hingga menjadi ½ liter air.  Air rebusan diminum sekali sehari untuk penjagaan kesihatan dalaman Wanita (Kedah).

Cara 2

Akar, daun dan buah ganja-ganja direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum dan dijadikan amalan untuk mengekalkan kesihatan dalaman lelaki dan Wanita (Kedah).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top