Pokok Jambu Air

Pokok jambu air menghasilkan buah yang enak. Rasanya manis menjadikan ia buah kegemaran rakyat Malaysia. Buah jambu air sering kelihatan dijual di tepi jalan dan juga pasaraya. Rasanya agak kelat dan berwarna hijau sekiranya belum masak dan menjadi merah dan sangat sedap apabila sudah masak. Kandungan air dalam buah ini juga tinggi dan menjadikan ia serat yang terbaik untuk diambil bagi penjagaan kesihatan.

Klasifikasi

Family: Myrtaceae

Genus: Syzygium

Species: Aqueum

Nama Saintifik

Syzygium aqueum (Burm.f.) Alston

Nama lain

Jambu air, jambu cili, jambu penawar

habitat

Tumbuhan ini biasanya ditanam di kawasan rumah atau di kawasan kebun.

sifat

Pokok kecil yang boleh mencapai ketinggian sehingga 10 m. Ia mempunyai batang yang berbengkak-bengkok, biasanya bercabang berhampiran pangkal batang. Kulit batang berwarna perang cerah dan merekah apabila pokok semakin tua.

Daun tersusun secara setentang, berbentuk aliptik-kordat hingga obovat-oblong, hujung daun berbentuk kaudat, dan daun sedikit bau apabila diramas. Tangkai daun pendek.

Jambak bunga pada aksilari dan terminal, mempunyai 3-7 kuntum bunga. Bunga berwarna putih, mempunyai empat petal yang berbentuk seperti spatula. Stamen bunga banyak, panjang dan berbulu.

Buah jenis beri, berbentuk kon, dan berwarna putih hingga merah. Mengandungi 1-2 biji atau maksimum sehingga enam biji yang bersaiz kecil dan berbentuk bulat.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Daun jambu air mampu meredakan demam campak
buah jambu air yang belum masak berwarna hijau dan rasanya kelat

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Dalam penemuan hasil kajian yang dijalankan, buah jambu air mempunyaia kandungan vitamin A dan C yang tinggi. Dalam kajian yang diterbitkan oleh Journal of Clinical Nutrition membuktikan bahawa kepekatan vitamin C dalam yang cukup tinggi berkesan mengurangkan risiko strok sebanyak 42 peratus.

Kandungan flavonoid yang hadir dalam jambu air memberikan sifat anti oksidan. Ia membantu bagi mengatasi masalah keradangan yang berlaku disebabkan oleh penyakit kanser dan jantung.

Daun jambu air mempunyai polifenol yang mana ia baik untuk pesakit diabetes. Ia mampu mengurangkan risiko mendapat diabetes.

Kandungan niacin sangat berkesan bagi meningkatkan lemak HDL dan menurunkan kadar trigliserida dalam darah. Serat yang terdapat dalam jambu air dapat mengendalikan kolesterol jahat supaya tidak berlebihan. Jesteru, penyakit kardiovaskular dapat dielakkan.

Selain itu, ia juga sangat kaya dengan tannin, fenolik dan flavonoid yang sangat berkesan sebagai anti bakteria.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti flavanoids, niacin, tannin, polifenol, fenolik, vitamin A dan C.

 

Farmakologi Tradisional Pokok jambu air

Dalam rawatan tradisional, penggunaan buah jambu air dengan kerap dalam diet harian mampu memelihara kecantikan kulit dari masalah kulit. Tambahan, kulit muka juga menjadi awet muda. Ia turut digunakan untuk mengelakkan sembelit kerana disebabkan kandungan serat yang tinggi dalam buah ini.

Masyarakat melayu menggunakan tumbuhan ini sebagai ramuan minyak urut, merawat kudis dan kayap, meredakan demam denggi, demam campak, sakit tonsil, mandian bagi ibu selepas bersalin dan juga sebagai rawatan komplemen kepada masalah batu karang.

Kandungan air dalam jambu air yang tinggi membantu menjaga tubuh agar tetap terhidrasi dan menambahkan tenaga.

Di Indonesia, mereka menggunakan daun jambu batu untuk mengawal kandungan gula di dalam darah. Ia turut digunakan untuk menjaga kesihatan mata dan kulit.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat kayap

Tiga inci akar jambu air dijadikan satu daripada ramuan diasah di belakang piring pasu dan dicampurkan di dalam gelas berisi air. Sediaan diminum lima sudu untuk sekali minum dan boleh diamalkan sehingga sembuh (Kedah).

Meredakan demam denggi

Tiga inci akar jambu air dicampurkan dengan ramuan yang lain, diasah di belakang piring pasu, dan dicampurkan sedikit air. Sediaan diminum lima sudu untuk sekali minum dan boleh diamalkan sehingga sembuh (Kedah).

Meredakan demam campak

Daun jambu air yang segar dan muda digiling dengan secubit bedak sejuk dan air. Sediaan disapu di bahagian campak tiga kali sehari sehingga sembuh (Kedah).

Merawat kudis

Cara 1

Daun jambu air yang segar dan muda digiling dengan secubit bedak sejuk dan air. Sediaan disapu di bahagian kudis tiga kali sehari sehingga sembuh (Kedah).

Cara 2

Tiga inci akar jambu air dijadikan satu daripada ramuan diasah di belakang  piring pasu dan dicampurkan di dalam gelas berisi air. Sediaan diminum lima sudu untuk sekali minum dan boleh diamalkan sehingga sembuh (Kedah).

Ramuan minyak urut

Lima hingga enam helai daun jambu air dijadikan satu daripada ramuan dimasak sehingga garing bersama-sama cengkih, lada ekor, dan minyak kelapa. Minyak boleh digunakan pada bila-bila masa apabila diperlukan (Johor).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Daun jambu air dicampurkan bersama-sama pandan, serai wangi, senduduk, lempoyang, mengkudu, belimbing sirih, dan limau purut dibasuh dengan garam dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari (Johor).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top