Pokok Petai

Pokok yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu di mana buahnya dijadikan sebagai ulam dan pelbagai jenis masakan yang lain. Buah ini dipercayai mempunyai banyak khasiat seperti untuk merawat masalah hati, bengkak buah pinggang dan kencing manis. Ia turut berkesan untuk membunuh cacing  di dalam perut dan usus. Namun begitu, bagi penggemarnya, biji petai ini sememangnya menjadi pilihan dalam hidangan disebabkan oleh kehadiran pelbagai nutrisi yang bermanfaat untuk kesihatan.

Klasifikasi

Family: Fabaceae

Genus: Parkia

Species: Speciosa

Nama Saintifik

Parkia speciosa

Nama lain

Petai

habitat

Pokok yang tumbuh meliar dalam hutan di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Berasal daripada negara Asia Tenggara yang bercuaca panas lembap.

sifat

Merupakan pokok sang saka besar dan rendang di mana tingginya boleh mencapai sehingga 30 meter. Mempunyai akar tunjang.

Buah yang dihasilkan berbentuk ‘papan’ di mana terdapat deretan buah dalam satu papan sekitar 12 ke 15 biji. Memiliki kulit yang tebal dan lembut. Juga bebiji licin.

Kebiasaannya biji dimakan mentah sebagai ulam ataupun jeruk. Ia menghasilkan bau yang kuat apabila dimakan dalam semua keadaan.

cara pembiakan

Keratan batang

Buah petai sangat digemari terutamanya oleh masyarakat Melayu
buah petai yang dimakan mentah berbau agak busuk

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian ke atas biji petai atau bekasnya menunjukkan ia mengandungi sejumlah flavanoid dan polifenol yang tinggi. Flavanoid yang hadir termasuklah catechin, quercetin, dan gallic acid. Kehadiran bahan ini membolehkan sifat anti keradangan dapat dihasilkan oleh buah petai. 

Di samping itu, sifat antioksidan juga turut terkandung dalam pokok petai disebabkan oleh kehadiran bahan tannin dan saponin. Kehadiran sejenis protein dikenali sebagi trytophan yang akan bertukar kepada serotonin di mana ia mampu meningkatkan emosi seterusnya memberi rasa selesa dan tenang.

Kandungan vitamin C dalam petai mampu mengawal bahan radikel bebas yang menyebabkan pembentukan sel kanser. Kandungan sulfur yang tinggi pula membantu mengelakkan dari serangan jantung. Petai turut mempunyai sifat antimikrobial dengan kehadiran komponen seperti hexathionine dan trithiolane

Petai boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan kerana kandungan asid amino yang terkandung dalam biji petai yang mengandungi unsur sulfur. Kandungan asid amino tersebut yang menjadikan biji petai menghasilkan bau yang sangat menyengat dan tidak enak.

Ingredien Aktif

Flavonoids, tannin, saponin, turpenoid, steroid, polifenol, asid amino, catechin, quercetin, dan gallic acid, sulfur, hexathionine

Farmakologi Tradisional Pokok Petai

Pengambilan biji petai dalam hidangan membantu dalam pengawalan stress. Ia mampu mengawal emosi seseorang.

Di Thailand, pengambilan petai dipercayai mampu mencegah kanser esofagus. Petai juga sering dikaitkan dalam pengawalan kandungan gula di dalam darah di samping mengawal tekanan darah. Ia mampu mengelakkan dari serangan jantung.

Turut digunakan bagi mengurangkan kadar ulser gastrik. Masyarakat orang asli turut menyatakan bahawa petai mampu melindungi tulang dan menguatkan gigi.

Zat besi yang tinggi mencegah seseorang daripada mengalami anemia. Masyarakat turut menyatakan petai sangat penting bagi sistem penghadaman dan mampu mengelakkan sembelit. 

Cara guna (perubatan traditional)

Rawatan alahan pagi (morning sickness)

Memakan petai di antara waktu makan dapat mengekalkan paras glukosa dan mengelakkan alahan pagi bagi kaum wanita.

Rawatan sakit gigitan serangga

Kulit bahagian dalam petai dihancurkan dan disapukan ke bahagian yang terkena gigitan serangga.

Rawatan pedih ulu hati

Petai perlu dimakan apabila setiap kali mengalami keadaan pedih ulu hati

Rawatan ketuat

Sedikit petai diambil dan diletakkan di bahagian atas ketuat. Gunakan plaster untuk melekatkannya di atas ketuat.

Kesan sampingan

Mempunyai kesan sampingan sekiranya pengambilan petai secara berlebihan yang mana boleh merosakkan buah pinggang. Ia disebabkan kehadiran asid amino yang ada di dalam petai. Digalakkan untuk mengambil secara berpada (Hellodoktor.com).

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top