Pokok Subang Nenek

Pokok subang nenek juga dikenali sebagai pokok butang baju siti fatimah. Ia diakui oleh ramai pengamal perubatan terutamanya keberkesanannya untuk mengubati sakit gigi. Penggunaan secara tradisional dengan cara meletakkan bunga di bahagian gigi yang sakit. Ia menghasilkan rasa kebas dan berangin seterusnya dapat mengurangkan rasa sakit. Daun subang nenek juga dijadikan sebagai ulam bagi meransang pencernaan air liur, merawat sembelit dan buasir. selain itu, ia juga digunakan untuk merawat inflamasi dalam mulut, melegakan masalah dermatitis, diuretic semulajadi dan membantu menegangkan kulit wajah.

Klasifikasi

Family: Asteraceae (Compositae)

Genus: Acmella

Species: Uliginosa

Nama Saintifik

Acmella uliginosa 

Nama lain

Subang nenek (Kelantan, Perak), anting-anting (Negeri Sembilan), pokok getang, kerabu

habitat

Herba ini boleh dijumpai di kawasan semak, di pinggir hutan, dan belukar serta sekitar kawasan kampung.

sifat

Jenis herba yang merayap dan boleh mencapai ketinggian sehingga 40 cm. batang berbentuk silinder hingga bersegi, berwarna hijau kemerahan dan permukaan batang strigos.

Daun tersusun secara setentang, berbentuk ovat, pangkal daun berbentuk obtus, hujung daun hampir akut, tepi daun bergigi serat, permukaan daun berbulu hirsut.

Jambak bunga pada terminal aatau aksilari, jenis berkepala tunggal. Kaliks bunga bercantum pada bahagian bawah, berbentuk ovat-lanseolat. Kelopak kepala bunga berwarna kuning, berbentuk oblong-eliptik, hujung membulat hingga berlobus 2-3. Filari berbentuk konikal, berwarna kuning. Floret berwarna kuning, berlobus lima, dan berbentuk akuminat.

Buah jenis aken, berbentuk oblongoid, berwarna perag berserta papus berwarna putih pada hujung buah.

cara pembiakan

Keratan batang

bunga subang nenek mampu memberikan kesan kebas bagi rawatan sakit gigi
Banyak kegunaan subang nenek dan ia mudah ditanam

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Laporan kajian yang dilaporkan menunjukkan daun segar subang nenek menunjukkan kehadiran coumarin, flavonoid, naphtoquinone, saponin, lignan, triterpene dan tannin. Ia mempunyai aktiviti anti bakteria di mana ia menghalang pertumbuhan sebahagian bakteria.

Flavonoid ialah bahan yang disintesiskan oleh tumbuhan sebagai tindak balas kepada jangkitan mikrorganisma. Ia bertindakbalas ke atas sintesis asid nukleik, menghalang fungsi sitoplasma dan juga metabolisma tenaga.

Aktiviti antioksidan yang ada dalam tumbuhan ini disebabkan oleh kehadiran coumarin. Tannin dikenali sebagai agen antimicrobial yang mampu menghalang pertumbuhan mikrorganisma dengan memendakkan protein microbial menyebabkan kekurangan kepada nutrient protein yang diperlukan.

Selain itu, ia juga bersifat anti fungal dengan menghalang perbentukan spora dan pertumbuhan fungi.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti coumarin, flavonoid, naphtoquinone, saponin, lignan, triterpene dan tannin.

Farmakologi Tradisional Pokok Subang Nenek

Kegunaan tradisional bagi pokok subang nenek sinonim sebagai anti biotik. Selain itu, ia dikatakan sangat mujarab baik meredakan sakit gigi. Ia dipercayai memberikan rasa kebas di bahagian yang sakit. Bahagian yang sering digunakan selalunya ialah daun dan bunga.

Di Malaysia, ia digunakan sebagai ubat tahan sakit, ulser mulut, sakit tekak dan sakit perut.

Di Malaysia, ia digunakan untuk mengatasi masalah pembuangan air kecil (kecing tidak lawas), demam, meningkatkan sumber vitamin yang diperlukan oleh badan, menambah darah dan juga kegunaan bagi wanita selepas bersalin.

Cara guna (perubatan traditional)

Meredakan sakit gigi

Cara 1

Bunga subang nenek diletakkan pada gigi yang berlubang (Kelantan)

Cara 2

Bunga subang nenek diletakkan di atas gigi yang sakit dan digigit sehingga rasa sakit gigi hilang (Perak, Negeri Sembilan)

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

BMC

Scroll to Top