Pokok Tahi Ayam

Pokok ini menjadi kegemaran serangga seperti semut untuk membuat sarang. Bunyi nama pokok tahi ayam agak menggelikan akan tetapi pokok ini sebenarnya menghasilkan bunga yang mempunyai warna yang menarik. Cuma, batang dan daunnya berbau busuk. Pokok ini sangat sinonim dalam masyarakat melayu kerana biasanya ia digunakan untuk menjarakkan kehamilan, meredakan demam kuning dan melegakan sakit urat. Ia tumbuh meliar di kawasan terbuka kerana ia jenis tumbah invasif dan mudah diperolehi bagi tujuan rawatan tradisional. 

Klasifikasi

Family: Verbenaceae

Genus: Lantana

Species: Camara

Nama Saintifik

Lantana camara

Nama lain

Pokok tahi ayam (Terengganu), bunga tahi ayam (Pahang, Pulau Pinang, Kedah), tahi ayam (Kedah, Perak)

habitat

Biasanya dijumpai tumbuh meliar di kawasan terbuka atau terganggu seperti ladang atau padang ternakan dan boleh tumbuh hingga 1700 m altitud.

sifat

Merupakan tumbuhan renek, tumbuh menegak dan bercabang banyak. Boleh mencapai ketinggian sehingga 5 m. Batangnya bersegi empat dan seringkali mempunyai struktur seperti kekait dan batang berbau.

Daun tersusun secara bertentangan, berbentuk ovat, permukaan daun kasar dan berkedut serta berbau busuk.

Jambak bunga berbentuk leper. Tiub korola bunga memanjang, sedikit melengkuk, berwarna jingga kuning atau jingga hingga merah jambu.

Buah jenis drup, berbentuk globos, permukaan buah licin, berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi warna biru gelap atau hitam keunguan apabila masak. Buahnya jenis berbiji satu.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji benih

Bunga tahi ayam mempunyai pelbagai warna
Bau pokok tahi ayam busuk

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Hasil kajian yang dijalankan menemukan pelbagai aktiviti teraputik yang terkandung dalam pokok ini. Antaranya ialah anti bakteria, anti oksidan, anti piretik, racun serangga, anti mikrob dan penyembuh luka.

Ketika ini, pokok bunga tahi ayam digunakan dalam gabungan teknologi untuk menghasilkan fungsi fitoremidiasi. Ia bagi membolehkan penyingkiran logam berat yang berada di dalam tanah.

Kandungan bahan aktif utama di dalam pokok ini ialah alkaloid, saponin, tannin, germacrene. Kesemua bahan-bahan ini diketahui mempunyai nilai teraputik yang tinggi dalam rawatan tradisional.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, saponin, tannin, germacrene.

Farmakologi Tradisional Pokok Tahi Ayam

Di India, pokok ini sering diproses bahagian daunnya untuk menghasilkan minyak bagi tujuan antiseptik untuk parut. Akarnya digunakan untuk rawatan untuk mengurangkan sakit gigi.

Selain itu, daun tahi ayam direbus dan digunakan untuk merawat bengkak dan sakit pada badan, menurunkan tekanan darah dan membantu sistem penghadaman.

Bau busuk yang dihasilkan oleh tumbuhan ini selalunya digunakan sebagai tanaman perangkap bagi hama kerana serangga ini gemarkan dengan warna terang bunga tahi ayam. Ia juga turut digunakan untuk menghalau nyamuk bagi pencegahan denggi.

Cara guna (perubatan traditional)

Pelapik tungku

Cara 1

Daun tahi ayam dan daun kapal terbang dibalut pada tungku untuk kegunaan semasa bertungku (Kedah).

Cara 2

Dua ranting daun pokok tahi ayam dibalutkan pada tungku untuk kegunaan semasa bertungku (Kedah).

Melegakan sakit urat

Beberapa helai daun pokok tahi ayam dijadikan balut tungku. Bertungku dua kali sehari (Kedah).

Meredakan demam kuning

Tujuh kuntum bunga daripada setiap pokok tahi ayam, cempaka, kekwa, matahari, alamanda, kertas dan kenanga direbus dan dibuat mandi tiga kali sehari sehingga sembuh (Perak).

Menjarakkan kehamilan

Daun tahi ayam ditumbuk dan dicampurkan dengan isi kunyit, dan digunakan sebagai barut perut untuk wanita selepas bersalin (Terengganu).

Mengawal tekanan darah rendah

Akar pokok tahi ayam direbus dan diminum dua kali sehari pada waktu pagi dan petang selama seminggu. Manakala pucuk pokok tahi ayam dimakan mentah (Pahang).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top