tongkat ali hitam

Terdapat 3 jenis tumbuhan Tongkat Ali, iaitu kuning, hitam dan  merah. Pokok-pokok ini dapat dibezakan dari warna akarnya, selain dari rupa bentuk pokok itu sendiri. Bezanya dengan tongkat ali kuning dan merah, batang pokok tongkat ali ini berwarna hitam dan membongkok pada bahagian berdaun muda bagi mendedahkan dirinya kepada cahaya. Dengan penampilannya yang unik, pokok ini mudah dikenali jika berada di kalangan berbagai spesies tumbuhan hutan. Dalam rawatan tradisional, ia penting bagi penjagaan kesihatan dalaman lelaki dan wanita, meningkatkan tenaga batin, ramuan minyak urut, melegakan sakit saraf, dan penjagaan bagi ibu selepas bersalin.

Klasifikasi

Family: Annonaceae

Genus: Polyalthia

Species: Bullata King

Nama Saintifik

Polyalthia bullata King

Nama lain

Tongkat ali hitam (Johor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan,Negeri Sembilan, Terengganu), pokok pelih angin, tongkat ali, sepelih angin

habitat

Sering dijumpai di kawasan hutan tanah pamah.

sifat

Pokok renek atau pokok kecil dengan ketinggian mencapai 5 m. Ranting mempunyai bulu yang padat berwarna keemasan.

Daun tersusun berselang, berbentuk lanseolat atau oblong-lanseolat,hujung daun berbentuk akut,pangkal daun aurikulat, tulang daun dan peruratan sekunder tenggelam pada permukaan atas daun, menonjol dan berbulu pada permukaan bawah daun, peruratan daun sekunder mempunyai 25-40 pasangan.

Jambak bunga separa bertentangan dengan daun, mempunyai 1-3 kuntum bunga.Bunga bersaiz kecil,sepal berbentuk lanseolat,apeks sepal berbentuk obtus dan jarang berbulu, petal lurus dan sedikit melengkung serta jarang berbulu, karpel sedikit dan berbulu.

Buah jenis monokarpa, berbentuk hampir globus, puberulus,diameter 1 cm. Mempunyai dua biji dalam satu monokarpa, berwarna pucat dan permukaan rugosa.

cara pembiakan

Keratan batang dan biji

Pokok tongkat ali hitam biasanya tumbuh renek
Buah tongkat ali hitam

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Kajian kecil yang dijalankan selama 5 minggu dalam 14 lelaki mendapati bahawa mereka yang mengambil 100 mg ekstrak tongkat ali setiap hari mengalami peningkatan yang lebih besar dalam jisim tanpa lemak berbanding daripada mereka yang mengambil plasebo.

Manfaatnya juga sering didakwa mampu meningkatkan prestasi atlet dan meningkatkan jisim otot. Ini kerana ia mengandungi sebatian yang dipanggil quassinoids, termasuk eurycomaoside, eurycolactone, dan eurycomanone.

Selain itu, Sebatian aktif lain dalam tongkat ali adalah Glyco Saponins dan Eurypeptides. Eurypeptides adalah rantaian besar asid amino yang bertanggungjawab bagi kesan peningkatan testosterone dalam tongkat ali.

Mengambil terlalu banyak herba ini boleh menyebabkan keracunan merkuri atau plumbum atau kesan sampingan yang lain.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti quassinoids,  eurycomaoside, eurycolactone, eurycomanone, Glyco Saponins dan Eurypeptides.

Farmakologi Tradisional Tongkat Ali Hitam

Tumbuhan ini digunakan secara tradisi untuk menguatkan tenaga batin lelaki. Air rebusan diminum sebagai tonik. Selain daripada itu, tumbuhan ini digunakan untuk menguatkan buah pinggang dengan meminum air rebusannya secara berterusan selama satu bulan.

Tumbuhan ini juga digunakan untuk merawat darah tinggi dan kencing manis dengan menghancurkan bunga, akar dan daun sehingga menjadi serbuk lalu dimakan (dijadikan makjun).

Selain tonik untuk lelaki, air rebusan daun ini digunakan sebagai ubat rheumatic. Orang Asli kaum Temuan di Negeri Sembilan menggunakannya untuk mengubati lemah tenaga batin.

Selain itu, kajian farmakologi ke atas sebatian saponosides dan glycosides dalam Tongkat Ali Hitam membantu untuk melancarkan peredaran darah melalui pembersihan dan penyucian sistem, meningkat jisim otot, tenaga dan stamina, menggalakkan sintesis sperma .

Ia juga diketahui bagi membantu mereka yang mempunyai masalah mati pucuk (seksual dysfunction), mengawal kolesterol dalam darah bagi membantu mencegah masalah jantung dan tekanan darah tinggi, meningkatkan tahap testosteron, menguatkan ereksi dan meningkatkan jumlah sperma bagi lelaki, sebagai perangsang bagi kedua-dua lelaki dan wanita.

Tambahan, ia turut berguna untuk merawat tekanan darah tinggi, batuk kering, demam, demam kuning, cirit-birit dan disenteri, meningkatkan mental, kepekaan fizikal dan persembahan.

Ia juga dipercayai dapat mengurangkan kelesuan mental dan keletihan, mengawal kencing tidak lawas, kesukaran hamil, lemah pinggang dan kaki dan lumpuh.

Cara guna (perubatan traditional)

Penjagaan kesihatan dalaman lelaki dan wanita

Cara 1

Akar tongkat ali hitam yang telah dikeringkan dijadikan satu daripada bahan dalam ramuan untuk meningkatkan kesihatan dalaman wanita dan lelaki. Sediaan dimakan dua biji dua kali sehari dan dijadikan amalan untuk kesihatan badan (Pahang).

Cara 2

Beberapa akar daripada setiap pokok tongkat ali hitam dan belulang kecil dicampurkan dengan seringan dan limau-limau. Semua bahan direbus untuk dijadikan air minuman. Kesemua bahan perlu diambil dalam keadaan segar dan air rebusan boleh direbus berulang kali sehingga hilang rasa. Air rebusan boleh dijadikan sebagai minuman harian (Negeri Sembilan).

Cara 3

Secekak akar tongkat ali hitam yang telah dikeringkan dijadikan sebagai satu daripada bahan dalam ramuan ubat periuk. Air rebusan diminum dua kali sehari dan boleh dijadikan sebagai minuman harian (Terengganu).

Cara 4

Sejemput akar tongkat ali hitam yang telah dikeringkan dijadikan sebagai satu daripada bahan dalam ramuan minuman air akar kayu. Air rebusan diminum dua kali sehari dan boleh dijadikan sebagai amalan harian (Terengganu).

Meningkatkan tenaga batin

Cara 1

Akar dan batang dikeringkan dan dijadikan satu daripada ramuan meningkatkan tenaga batin. Ramuan direbus dan diminum secawan sekali sehari pada waktu malam (Kedah).

Cara 2

Sebanyak 250 g akar tongkat ali hitam dijemur sehingga kering bersama-sama dengan 1kg akar tongkat ali, 125g teras kemuning hitam, 250g ubi jaga, 125g akar harimau jalur, 250g akar kerbau jantan, 250g teras rancang besi, 250g teras rancang tembaga, dan 250 g akar selayar. Semua bahan diracik halus dan dijemur selama seminggu dan masukkan ke dalam ketuhar selama 20 min pada suhu 130°C. Kesemua bahan dikisar sehingga menjadi serbuk halus dan dimasukkan ke dalam kapsul. Kapsul dimakan dua biji dua kali sehari (Pulau Pinang).

Ramuan minyak urut

Cara 1

Akar tongkat ali hitam dikeringkan dan dijadikan satu daripada bahan dalam ramuan minyak urut (Johor).

Cara 2

Akar dan batang yang telah dikeringkan dijadikan satu daripada bahan dalam ramuan minyak urut. Minyak disapukan dua kali sehari (Kedah).

Melegakan sakit saraf

Cara 1

Beberapa akar daripada setiap pokok tongkat ali hitam, asam bukit, gelenggang besar, urat kuda, kancing baju merah, keluduk bukit, dan tongkat haji samad dipotong dan dikeringkan. Semua bahan direbus dengan sekole air sehingga tinggal separuh. Air rebusan diminum 1/2 cawan dua kali sehari dan dijadikan amalan (Kedah).

Cara 2

Beberapa akar segar daripada pokok tongkat ali, teja lawang, dan kancing baju dicampurkan dengan sedikit kulit halban tanduk segar sebesar tiga jari. Kesemua bahan direbus bersama-sama 1e air sehingga menjadi 1/2e. Air rebusan diminum secawan sekali sehari pada waktu malam sebelum tidur (Kedah).

Cara 3

Akar tongkat ali hitam yang telah dikeringkan dijadikan satu daripada ramuan dalam kapsul untuk sakit urat. Semua bahan yang telah dikeringkan dikisar menjadi serbuk untuk dimasukkan ke dalam kapsul.Kapsul dimakan dua biji dua kali sehari sehingga sakit urat hilang (Kelantan).

Penjagaan bagi ibu selepas bersalin:

Akar  dikeringkan dan dijadikan satu daripada ramuan air rebusan. Ramuan yang telah dikeringkan, direbus dengan tiga gelas air sehingga menjadi segelas air. Air rebusan diminum dua kali sehari sebelum makan (Johor).

Kesan sampingan

Dilarang pengambilan dalam sukatan yang besar dalam tempoh yang singkat. Wanita hamil, sedang menyusu dan individu di bawah umur 16 tahun tidak digalakkan mengambil (supplement) tongkat ali (Herba dan tumbuhan).

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top