Kunyit Hitam

Pokok kunyit hitam sama seperti pokok kunyit biasa cuma ia sedikit berwarna kehitaman. Pokok ini mempunyai banyak khasiat dari segi perubatan. Khasiat di dalam Kunyit hitam mampu dimanfaatkan untuk membantu masalah kulit gatal. Dimana di dalam kunyit hitam memiliki kandungan yang bersifat anti-bakteria yang bermanfaat untuk kulit gatal. Khasiat lain juga mampu untuk melawan keradangan pada kulit dengan berkesan. Dalam masakan masyarakat di Malaysia, kunyit adalah sejenis rempah yang tidak asing lagi digunakan bagi memberi warna dan juga menjadi agen pengawet.

Klasifikasi

Family: Zingiberaceae

Genus: Curcuma

Species: Caesia

Nama Saintifik

Curcuma caesia

Nama lain

Kunyit hitam (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Terengganu).

habitat

Di Semenanjung Malaysia, biasanya ditanam dan mempunyai taburan yang meluas di barat daya India

sifat

Sejenis tepus, tumbuh menegak dengan ketinggian mencapai sehingga 0.5-1 m. Rizomnya jenis tuber yang mempunyai bau manis seperti kapur barus, berdiameter 2-6 cm, kebiasaannya berbentuk rata dan diliputi dengan banyak akar yang tebal. Bahagian dalam rizom berwarna biru hitam.

Daun berbentuk oblong hingga lanseolat dan permukaan glabrus, bahagian tengah atau midrib daun (bahagian atas daun) terdapat jalur ungu gelap di sepanjang midrib.

Jambak bunga jenis spika yang tumbuh banyak sebelum pembukaan daun. Braktea berwarna hijau dan koma braktea berwarna merah gelap. Bunga berwarna kuning puvat dengan sisi tepi berwarna merah. Kaliks berbentuk obtus, korola berwarn akuning dengan labellum berlobus tiga, bentuk hampir eliptik.

Buah jenis beri atau seperti buah drup, berbentuk subglobus atau berbentuk buah pir, berwarna kekuningan, terbelah kepada dua bahagian apabila matang, dan mengandungi satu biji. Biji berbentuk ellipsoid atau ovoid, berwarna perang gelap, keras, berkedut dan ditutupi oleh aril (salut biji) yang berwarna merah dan berbentuk seperti jaring.

cara pembiakan

Rizom

 

Ciri-ciri kunyit hitam ia mempunyai jalur kehitaman pada permukaan daun
kunyit mempunyai pelbagai khasiat

Penemuan dan kajian saintifik/akademik

Penyelidikan yang dijalankan menunjukkan ia mempunyai kesan antioksida yang dapat menghalang oksidasi sel dalam badan dan pembentukan radikal bebas yang berlebihan. Proses ini penting bagi mencegah rantaian tindak balas yang boleh merosakkan sel dan menyebabkan masalah kesihatan.

Kajian terhadap ekstrak rizomnya mendapati ianya dapat memberi kesan pengenduran (relaksan) otot lantas mengurangkan penyempitan salur nafas dan membantu mengawal asma.

Salah satu kajian yang pernah dijalankan berkaitan kunyit hitam membuktikan kesan analgesiknya. Dalam kajian tersebut, rasa sakit pada model haiwan telah didapati berkurangan kesan daripada ekstrak kunyit hitam.

Kajian klinikal menggunakan ekstrak kunyit hitam melaporkan potensi ia dalam mengurangkan pertumbuhan sel kanser dan menggalakkan kematian sel kanser melalui apoptosis. Antara kajian rawatan kanser yang dijalankan termasuklah leukimia, melanoma, kanser pangkal rahim dan juga saluran hempedu.

Ekstrak kunyit hitam ke atas model tikus mendapati penurunan glukosa darah yang terkawal dan melancarkan peredaran darah. Pada peringkat molekul sel, metabolisme sel didapati bertambah baik. Hal ini seterusnya dapat membantu dalam mencegah masalah obesiti.

Ia juga dikatakan mamppu mencegah penyakit Alzheimer, mampu memberikan aktiviti antikemurungan. Ia mampu meningkatkan ketumpatan neuron pada Kawasan hippocampus otak yang menggalakkan ketahanan memori dan pembelajaran.

Ekstrak kunyit hitam berjaya merencat pertumbuhan virus berbahaya seperti HCV yang menyebabkan hepatitis, dan H5N1 yang menyerang sistem pernafasan manusia.

Ingredien Aktif

Ingredien aktif wujud seperti alkaloid, flavanoids, camphor, ocimene, ar-tumerone, ar-cucurmene.

Farmakologi Tradisional Kunyit Hitam

Dalam perubatan tradisional, ia sering digunakan bagi tujuan awet muda. Ia dapat membantu kesihatan kulit, serta membuat kulit lebih anjal dan lembab.

Satu khasiat kesihatan yang tidak diketahui ramai dan paling tidak dapat disangkal adalah kebolehannya untuk menambah tahap tenaga.

Masyarakat Melayu mengamalkan pengambilan kunyit hitam kerana dikatakan mampu untuk membantu masalah kulit gatal. Dimana di dalamnya memiliki kandungan yang bersifat anti-bakteria yang bermanfaat untuk kulit gatal. Khasiatnya juga mampu untuk melawan keradangan pada kulit dengan berkesan.

Selain itu, ia mampu menormalkan jumlah darah yang keluar ketika haid, mengawal haid, menghindari warna darah menstruasi yang tidak normal, dan masalah pre-menstrual syndrome (PMS) seperti perut kembung.

Cara guna (perubatan traditional)

Merawat tulang patah

Cara 1

Rizom kunyit hitam bersama dengan daun halban dan rizom halia bara ditumbuk, dipupukkan pada bahagian sakit dan dibalut. Kaedah diulang sehingga sembuh (Kedah).

Cara 2

Rizom kunyit hitam, kunyit putih, sirih dan gambir dikunyah dan disemburkan pada bahagian yang patah (Pahang).

Melegakan sakit urat saraf

Rizom kunyit hitam dijadikan satu daripada campuran ramuan dalam pembuatan kapsul. Bahan dijemur, digoreng, dikisar dan dijadikan kapsul. Kapsul dimakan dua kali sehari pada waktu malam (Terengganu).

Ramuan minyak urut

Rizom kunyit hitam dijadikan satu daripada ramuan dalam pembuatan minyak urut yang dimasak menggunakan minyak kelapa (Perlis, Perak, Pahang).

Mengurangkan jerawat

Rizom kunyit hitam dan temu lawak dikisar bersama-sama beras yang telah direndam semalaman dan hasilnya disapukan pada muka (Selangor).

Ramuan jamu

Rizom kunyit hitam, rizom temu hitam dan rizom kunyit putih dikisar, ditapis dan diminum. Sediaan diminum lebih kurang ½ gelas setiap kali minum, dua kali sehari, setiap pagi fan malam sepanjang tempoh berpantang (Johor).

Mandian bagi ibu selepas bersalin

Daun kunyit hitam dijadikan satu daripada campuran ramuan yang dibersihkan dan direbus. Air rebusan digunakan sebagai air mandian ketika berpantang (Terengganu, Pulau Pinang, Pahang).

Kesan sampingan

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan setakat hari ini.

Sumber Rujukan

Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Scroll to Top